Bagi memupuk nilai perpaduan dan persefahaman dalam kalangan belia, sebuah kajian Prophetic Interfaith Dialogue yang diketuai oleh Dr. Alwani Ghazali dari Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya (UM) telah dijalankan di beberapa Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) di Selangor dan Negeri Sembilan. Beberapa sesi temu bual berkumpulan dijalankan bagi memahami pengalaman mahasiswa bukan Islam dalam interaksi dengan masyarakat Muslim serta pengetahuan mereka tentang hubungan Nabi Muhammad SAW dengan masyarakat bukan Muslim.
Kajian ini merupakan usaha untuk meraikan nilai kebersamaan masyarakat majmuk di Malaysia sekaligus mengkaji faktor yang dapat menjadi pencetus kepada interaksi harmoni antara agama di Malaysia. Ia telah ditaja sepenuhnya oleh Pusat Komuniti dan Kelestarian Universiti Malaya (UMCares).
Seramai sekitar 50 mahasiswa daripada Manipal International University, UNITAR International University, Nilai University, INTI International University dan Taylor’s University telah menjalani temu bual berkumpulan dalam kajian yang dinamakan “An Exploratory Study On The Concept Of Prophetic Inter-faith Dialogue Among Malaysian Youth.” atau kajian berkenaan kefahaman belia Malaysia berkenaan gaya Nabi Muhammad berinteraksi dengan bukan Muslim.
Dengan mengaplikasikan teknik temu bual berkumpulan terhadap beberapa mahasiswa dari pelbagai universiti tersebut, kajian ini dilakukan untuk mendapatkan respon mahasiswa bukan Islam dan pengalaman mereka dalam berinteraksi dengan orang Islam, tidak kira pengalaman positif atau negatif dalam konteks dialog yang pernah dilalui sama ada di sekolah mahupun dalam komuniti masyarakat.
Apa yang menarik dalam temu bual ini adalah dapat memberi peluang kepada mahasiswa bukan Islam untuk berkongsi pengalaman mereka berinteraksi dengan Muslim dan bertanyakan secara lansung beberapa isu dan konflik yang dihadapi mereka dalam dialog seharian kepada pakar yang berautoroti.
Menurut Dr Alwani yang merupakan ketua penyelidik bagi projek ini, “Dalam kajian saya ini, saya ingin mengetahui pengalaman belia bukan Islam dalam berinteraksi dengan masyarakat Muslim di Malaysia. Nampaknya pelbagai cerita yang dapat saya dengar.”
Seorang peserta berbangsa Cina dari Nilai University, Lee Wei Chen, 27, berkongsi pengalamannya yang dibesarkan oleh keluarga Melayu Islam semasa kecil dan mempunyai hubungan yang baik dengan mereka. Situasi berubah apabila berada di dalam masyarakat Melayu ketika semakin menginjak dewasa. Masyarakat mula terdedah dengan propaganda daripada internet dan media sosial.
“Semasa kecil apabila budak budak pergi padang untuk bermain, kami main sama sama. Kami tidak kisah samaada dia Melayu atau Cina atau India. Hari ini, apabila tercetus apa-apa isu perkauman, saya sedih apabila orang Melayu mengatakan bahawa kaum Cina dan India adalah kaum pendatang dan kami patut dihalau pulang ke negara asal, ” katanya.
Seorang pelajar dari INTI University turut menceritakan pengalaman beliau dengan jirannya yang berbangsa Melayu yang pernah menyimbah air pada kereta keluarganya kerana tersilap meletakkan kereta di hadapan rumah jiran tersebut.
Gan Xin Yi dari INTI University pula menyatakan, “Mungkin ada sesetengah orang Melayu generasi ibu bapa atau datuk nenek kita yang mempunyai pemikiran bahawa ini Tanah Melayu dan hanya orang Melayu Islam sahaja yang berhak keatasnya. Kami tidak mempunyai masalah dengan kata-kata tersebut kerana kami faham ada sesetengah golongan mungkin agak susah untuk menerima agama lain di negara ini tapi kefahaman tersebut agak lebih baik sekarang. Bagi saya semuanya bergantung kepada didikan generasi sebelumnya, samaada berfikiran terbuka atau tidak dalam mendidik anak anak.”
Di samping pengalaman-pengalaman yang kurang menyelesakan tersebut, terdapat juga pengalaman-pengalaman menarik lagi melucukan.
Balamurgam, seorang pelajar dari Manipal International University berkongsi keakraban beliau dengan rakan-rakan Melayu sejak di tingkatan 4 lagi. “Dalam kelas saya, ada 36 pelajar dan 22 daripada mereka adalah Melayu. Kami selalu berjalan-jalan dan bersantai bersama. Kadang-kadang kami berbasikal, kadang-kadang ke gerai cendol. Kami buat perkara nakal pun sama-sama seperti menyepahkan selipar,” katanya.
Pengalaman Handrit Kaur dari UNITAR International University juga tidak kurang menariknya. Beliau berpandangan bahawa rakan-rakan berbangsa Melayu agak baik kerana mereka jujur, “Kalau mereka ada perkara yang tak puas hati, mereka tak cakap belakang.”
Sementara itu, Dr. Alwani Ghazali berkata, “Persoalan yang lebih besar ialah adakah peserta kajian mengenali Nabi Muhammad SAW? Jika ya, bagaimana pengalaman mereka ini mempengaruhi pengetahuan dan persepsi mereka tentang interaksi Nabi Muhammad dengan bukan Muslim. Alhamdulillah saya bersyukur kerana ramai juga di antara peserta kajian yang mengetahui banyak maklumat tentang Nabi Muhammad SAW melalui buku teks pelajaran Sejarah. Mereka tahu membezakan antara penganut agama yang tak mengamalkan nilai-nilai Islam dengan Nabi Muhammad. Itu sudah cukup baik.”
Harapan penganjur agar penjelasan yang telah diberikan kepada mahasiswa bukan Islam terhadap beberapa salah faham isu dan konflik dapat mengubah tanggapan negatif mereka terhadap Muslim dan memberi pendedahan terhadap konsep berinteraksi Nabi Muhammad SAW dengan orang bukan Islam.
Maklumat lanjut mengenai kajian ini boleh didapati melalui Nurul Maziah Mohd. Nor di mazghuraba95@gmail.com