18 March 2025

Ayuh lepaskan diri dari belenggu tabiat merokok!

Featured

Tundukkan

Oleh Mohd Anuar Ramli, Muhamad Nabil Saiful Anuar Mata merupakan...

Hidupkan kebersamaan

Oleh Nur Faezah Musthapar Bulan Ramadan sentiasa dinanti-nantikan oleh setiap...

Untuk semua

Oleh Muzalwana Abdul Talib Permohonan kemasukan ke institusi pengajian tinggi...

Of transparency and compliance

By Suria Zainuddin As of 1st March 2025, all individuals...

Our stories

By Zuraini Md Ali and Nurul Alia Ahamad Since its...

Share

Oleh: Prof. Madya Dr. Nur Amani Natasha Ahmad Tajuddin dan Dr. Mohd. Afiq Mohd. Nor

Budaya vap didapati semakin popular dalam kalangan remaja dan perokok sejak tahun 2004 dengan false claim yang vap adalah alternatif kepada budaya merokok konvensional malah telah juga diuar-uarkan oleh pihak tidak bertanggungjawab sebagai alat untuk berhenti merokok.

Baru-baru ini kita digusarkan pula dengan berita vap tidak dikenakan cukai. Di mana sikap prihatin dan empati golongan “senior” terhadap generasi muda dan anak-anak yang sepatutnya dilindungi daripada bahaya asap rokok dan vap?

man in white shirt with white smoke concept photography
Budaya vap dilihat ranggi dan mengikut ‘trend’, menjadikannya tarikan untuk remaja mula mencuba – Gambar hiasan dari Unsplasah

Setiap minit ada perokok yang mati akibat daripada kesan merokok, berikutan ini, kematian mereka perlu diganti dengan perokok baru iaitu generasi muda. Taktik syarikat tembakau dan vap yang menghasilkan pelbagai peranti baru yang mudah dibawa atau disorok oleh pelajar sekolah dan universiti, dengan pelbagai perisa dan bau tiruan yang membahayakan nyawa semakin mendapat perhatian pelbagai pihak.

Rokok mengandungi nikotin, dan hampir kesemua vap di pasaran didapati mengandungi nikotin, bahan utama yang menyebabkan ketagihan. Vap boleh menyebabkan masalah pernafasan yang kronik dan penyakit asma tidak terkawal, manakala nikotin boleh menyebabkan degupan jantung yang laju, tekanan darah tinggi dan juga serangan jantung. Oleh kerana ini, ramai remaja yang mengevap dan merokok tidak dapat bersukan dengan efektif berbanding rakan mereka yang tidak.

Peranan masyarakat melindungi kanak-kanak dan remaja dari rokok dan vap
Selaras dengan Generasi Bebas Asap Rokok dan kempen Generation End Game Anti-Rokok Bawah 18 tahun (GEGAR-18), individu yang lahir pada tahun 2005 ke atas akan menjadi generasi yang tidak terdedah kepada apa-apa produk rokok dan tembakau. Kini semakin banyak individu, industri dan NGO bergabung tenaga untuk membanteras isu vap daripada semakin meluas di kalangan generasi muda. Banyak kajian saintifik telah membuktikan vap mengandungi lebih dari 230 bahan kimia yang berbahaya untuk kesihatan. Antara bahan yang terdapat di dalam cecair vap tersebut adalah propylene glikol, yang berasal daripada minyak masak. Bahan-bahan kimia ini apabila disedut akan mendap di sel-sel paru-paru dan akhirnya akan menyukarkan paru-paru untuk mengembang seperti normal. Lama-kelamaan ia boleh menyebabkan kerosakan kepada paru-paru keadaan yang dipanggil EVALI.

Banyak maklumat mengenai bahaya rokok dan vap boleh diperolehi daripada pelbagai sumber. Program kesedaran telah dan masih giat dilakukan di sekolah, pusat pengajian tinggi dan untuk orang awam bagi membuka minda semua tentang bahaya rokok dan vap kepada kesihatan fizikal dan minda.

Vap bukanlah pengganti rokok, dan bukan juga alat untuk rawatan berhenti merokok kerana banyak kajian membuktikan pengevap akan menjadi pengguna berganda (vap dan rokok pada masa yang sama) selepas beberapa tempoh, dan meningkatkan risiko buruk kesihatan.

Kanak-kanak meniru perbuatan orang tua yang ada bersama mereka, jika terdedah kepada aktiviti vap dan rokok yang tidak berfaedah ini. Mereka akan mempunyai pendapat bahawa perbuatan ini adalah selamat dan boleh diamalkan. Di sinilah peranan ibu bapa, masyarakat dan kerajaan untuk terus memberi maklumat yang benar dan menunjukkan contoh yang baik kepada generasi muda untuk melakukan perkara yang betul dari usia muda.

woman in blue blazer and purple skirt sitting on purple chair
Vap atau rokok elektronik bukan pengganti rokok sebenar, dan bukan jalan ke arah menghentikan tabiat merokok – Gambar hiasan dari Unsplash

EVALI dan paru-paru

Seseorang yang mengambil vap ini mempunyai risiko tinggi untuk mendapat komplikasi penyakit berkaitan paru-paru seperti EVALI – E-Cigarette and Vaping product-use Associated Lung Injury. Kandungan yang terdapat di dalam cecair vap itu telah dibuktikan mempunyai ribuan bahan kimia yang berbahaya kepada manusia dan ada di antaranya mempunyai potensi menyebabkan kanser.

Pada September 2019, telah meletusnya EVALI ini di Amerika Syarikat dalam kalangan belia yang menyebabkan lebih 2000 orang telah dimasukkan ke wad dan mengorbankan 68 orang secara keseluruhannya. Letusan EVALI ini mengejutkan ramai pihak kerana ramai menyangka bahawa produk ini asalnya selamat untuk digunakan.

Mereka yang terselamat daripada kes EVALI yang teruk ini walaubagaimanapun terpaksa bertahan dengan penggunaan bantuan oksigen di rumah kerana kecederaan dan kerosakan pada paru-paru tersebut mengambil masa yang lama untuk kembali pulih sepenuhnya.

Antara sebab utama insiden EVALI di Amerika Syarikat ini adalah kerana terdapat bahan tertentu yang telah ditambah ke dalam cecair vap seperti Vitamin E-Acetate dan Tetrahhydricainnbol (THC) selain Nikotin, Gliserin, Propylene Glycol dan pewarna.

Jika kesan kanser akibat merokok konvensional mengambil masa puluhan tahun untuk diketahui, amalan mengevap juga mempunyai risiko besar yang sama kerana kajian-kajian terkini sudah banyak membuktikan bahaya penggunaannya terhadap paru-paru.

Merokok di dalam kenderaan mendedahkan orang lain kepada bahaya asap rokok – Gambar hiasan dari Unsplash

Amalan merokok di rumah dan kereta

Perokok yang merokok di dalam rumah atau kereta sebenarnya bukan sahaja memberi kesan bahaya terhadap kesihatan kepada orang yang terdekat iaitu sebagai perokok sekunder, bahkan amalan ini boleh memberi kesan buruk kepada psikologi dan kesihatan fizikal kepada orang muda terutamanya anak-anak kecil yang melihat tabiat tersebut di hadapan mata mereka.

Adalah tidak adil untuk seseorang itu merokok dan menghembuskan asap rokoknya di dalam kawasan kurang pengudaraannya dan menjadikan orang sekelilingnya mangsa menyedut asap rokok. Perlu diketahui bahawa, kesan asap rokok masih ada di dalam kereta atau di dalam kawasan tertutup kerana bahan kimia dari asap rokok yang dihembus akan mendap pada kusyen, dashboard, langsir dan permaidani dan ia akan bertindak dengan udara, kemudian menghasilkan reaksi kimia yang akan masuk melalui saluran pernafasan dan meresap melalui kulit anak-anak. Disinilah kesan asap sisa rokok yang tidak nampak dimata kasar tetapi menyebabkan masalah kesihatan yang teruk dan juga masalah pembelajaran yang terbantut dalam jangka pendek dan panjang.

Maka, amalan merokok di dalam rumah, kereta atau mana-mana kawasan tertutup perlulah dihentikan untuk keselamatan dan kesihatan semua.

Harapan untuk perokok dan pengevap

Kajian telah banyak membuktikan bahawa merokok adalah tabiat yang sangat tidak bermanfaat dan memberikan ancaman bahaya kepada kesihatan fizikal dan mental. Kajian-kajian mengenai tabiat mengevap juga semakin lama semakin banyak mendedahkan bahawa penggunaan vap juga mempunyai risiko-risiko yang tinggi kepada kesihatan badan. Menukar daripada merokok kepada mengevap bukanlah pilihan terbaik kerana masih mendedahkan diri kepada bahan-bahan kimia yang berbahaya.

Sempena Hari Anti Merokok Sedunia pada 31 Mei, perokok dan pengevap diseru untuk berhenti daripada merokok dan vaping selama-lamanya. Manfaatkan program-program perkhidmatan berhenti merokok yang disediakan oleh kerajaan dengan kerjasama pihak swasta seperti jomquit melalui laman www.jomquit.com bagi membantu diri untuk keluar daripada terus terbelenggu dengan tabiat yang buruk ini.

Dr. Nur Amani Natasha Ahmad Tajuddin merupakan Pakar Perunding Perubatan Keluarga, Jabatan Perubatan Rawatan Utama, Fakulti Perubatan, Universiti Malaya; manakala Dr. Mohd. Afiq Mohd. Nor adalah Pakar Perubatan Kecemasan, Jabatan Perubatan Kecemasan, Pusat Perubatan Universiti Malaya. Mereka boleh dihubungi di amaninatasha@um.edu.my