23 June 2024

Ayuh teroka potensi bersama Portugal

Featured

Ragbi kita perlu naturalisasi

Siapa tahu, satu hari nanti mungkin pasukan Bunga Raya juga mampu membuat kejutan sebagaimana dilakukan oleh pasukan naturalisasi UAE (ranking ke-73 dunia) yang mengalahkan Korea Selatan (ranking ke-33 dunia, ke-3 Asia) dengan mata 36 berbalas 32 di ARC 2024?

For you is yours

A human being, irrespective of his or her faith, can be treated justly as long as their human needs are concerned.

Exploring our own Renaissance

The Renaissance, a period of rebirth in arts, science, and culture from 1359 to 1600, was a time when society celebrated versatility. This era saw the emergence of polymaths—individuals who excelled in multiple fields. Leonardo da Vinci, one of the most iconic figures of the Renaissance, epitomised this ideal.

Berkorbanlah, demi mendidik hati

Oleh: Prof Madya Dr Mohd Anuar Ramli Setiap tahun, umat...

Menghargai seorang bapa

Dalam institusi keluarga, bapa memainkan peranan yang penting. Ibaratnya bapa merupakan nakhoda yang mengemudi bahtera sebuah rumahtangga di samudera institusi keluarga.

Share

Oleh: Jamian Mohamad

Dari segi sejarah, kontak pertama Malaysia atau secara khususnya Melaka dengan Eropah bermula pada abad ke-15. Pada tahun 1511, Portugal berjaya menduduki dan menguasai Melaka serta kawasan sekitarnya. Hasil peninggalan daripada penjajahan inilah terbinanya monumen di tengah-tengah bandaraya, iaitu kota A Famosa yang telah membentuk identiti serta simbol bagi negeri Melaka yang masih utuh hingga ke hari ini. Pendudukan Belanda dengan terbinanya bangunan The Studthuys selepas itu menyebabkan penguasaan orang Portugis di Melaka mulai berkurangan sedikit demi sedikit. Walau bagaimanapun, kewujudan masyarakat berketurunan Portugis ini masih dapat dilihat di Perkampungan Portugis Ujong Pasir. Bahasa Portugis Melaka yang diwarisi dan dituturkan oleh generasi di perkampungan ini masih kekal hingga ke hari ini.

Justeru itu, pemilihan Melaka Bandaraya Bersejarah sebagai tapak warisan dunia adalah tepat sama sekali. Tanggal 15 April merupakan sambutan Melaka sebagai Bandaraya Bersejarah yang diadakan saban tahun. Hari tersebut merupakan cuti umum bagi seluruh negeri Melaka. Signifikan dari pengisytiharan tersebut ialah pengiktirafan dunia bahawa negeri Melaka telah tersenarai sebagai tapak warisan dunia dan mendapat pengiktirafan dari UN Educational, Scientific and Cultural Organization (UNESCO). Hal ini juga adalah lantaran keunikan dan kepelbagaian etnik yang menghuni negeri ini termasuk Melayu, Cina, India, Sikh, termasuk dari komuniti Peranakan Baba Nyonya, masyarakat Chitty Melaka serta komuniti Portugis Melaka.

Tiada kedutaan

Apa yang menjadi persoalan ialah tiada hubungan dua hala yang jelas antara Malaysia dan Portugal walaupun wujud komuniti Portugis Melaka. Kerjasama terdahulu yang pernah direkodkan ialah pertemuan yang dilakukan pada 20 September 1996 oleh Perdana Menteri Malaysia waktu itu, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Presiden Portugal, Dr. Jorge Sampaio serta Perdana Menteri, Antonio Guterres. Lawatan rasmi tiga hari tersebut antara lain bertujuan untuk meningkatkan kerjasama ekonomi dan hubungan perdagangan antara kedua-dua negara.

Selepas tarikh tersebut, tiada lawatan rasmi dan hubungan kerjasama yang wujud antara kedua-dua negara. Tambahan pula, ketiadaan kedutaan mahupun konsulat di kedua-dua buah negara ini sedikit sebanyak mengurangkan keakraban hubungan antara kedua-dua negara. Dari segi sejarah, terdapat sebuah pejabat konsulat Portugal di Kuala Lumpur yang diusahakan oleh individu tetapi hanya bersifat sementara. Cadangan mengenai pembukaan konsulat Portugal di Melaka suatu ketika dulu juga indah khabar dari rupa. Justeru itu, pelajar yang mendapat biasiswa melanjutkan pelajaran ke Portugal perlu memohon visa di kedutaan Portugal terdekat, iaitu di Bangkok, Thailand. Bagi negara penutur bahasa Portugis, hanya Brazil dan Timor Leste sahaja yang mempunyai kedutaan masing-masing di Kuala Lumpur.

Seperti mana yang kita sedia maklum, peranan kedutaan amat penting di mana seseorang duta besar dan pegawai diplomatik ditempatkan di sesebuah negara dengan negara lain. Mereka menjadi penghubung dan menangani isu-isu diplomatik utama termasuk politik, ekonomi dan sosial. Kewujudan pejabat diplomatik ini adalah sebagai salah satu cara sesebuah negara untuk berinteraksi, menyampaikan utusan serta menyalurkan maklumat tentang peristiwa semasa yang berlaku antara negara sendiri dan negara asal kedutaan tersebut.

Akibat daripada ketiadaan perwakilan Malaysia-Portugal ini menyebabkan isu-isu besar seperti politik, ekonomi, sosial, malah kedaulatan dan ketenteraan tidak dapat diselesaikan dengan segera. Begitu juga dengan hal ehwal yang lebih kecil seperti perniagaan, pelancongan, sukan, penghijrahan, visa, ekspatriat dan sebagainya juga tidak dapat diuruskan dengan lebih lancar.

Potensi kerjasama pelbagai bidang

Dari segi ekonomi, terdapat hubungan perdagangan antara kedua-dua negara. Menurut perangkaan Jabatan Statistik Malaysia pada 2020, jumlah nilai dagangan antara kedua-dua negara bernilai USD257.5 juta. Perangkaan tahun 2021 pula menyatakan jumlah import adalah sebanyak RM171,842, eksport (RM389,997), dan imbangan dagangan (RM218,155). Jumlah ini berkurangan berbanding tahun-tahun sebelumnya disebabkan oleh pandemik Covid-19 yang melanda seluruh dunia.

Berdasarkan statistik di atas, walaupun hubungan dagang antara Malaysia dan Portugal hanya berlaku pada skala yang kecil tetapi ini tidak bermaksud jalinan diplomatik kedua-dua negara tidak dapat diperkasakan. Malaysia juga seharusnya merintis jalan menjalinkan hubungan dengan negara-negara Lusofon lain yang berpotensi untuk dijadikan rakan dagang seperti Angola dan Mozambique dengan jumlah penduduk masing-masing seramai 35 juta dan 33 juta orang. Setakat ini, Malaysia tidak mempunyai hubungan bilateral yang jelas antara kedua-dua negara tersebut disebabkan ketiadaan pejabat kedutaan mahupun konsulat. Brazil dan Timor Leste sahaja yang mempunyai kedutaan masing-masing di Malaysia.

Hubungan yang sedia ada perlu diperkukuhkan; sekurang-kurangnya kerjasama dari segi pendidikan, bahasa dan budaya yang boleh dimanfaatkan oleh kedua-dua negara. Pernyataan Menteri Pendidikan Tinggi YB Dato’ Seri Mohamed Khaled bin Nordin pada 30 Januari 2023 lepas seharusnya diambil iktibar dalam mencapai agenda utama Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT). Beliau antara lain menyatakan bahawa:

“Untuk menjayakan misi ini, kita akan mempelbagaikan destinasi latihan ijazah tinggi. Bukan meneruskan ketaasuban kepada sebahagian negara seperti UK dan US. Sesetengah negara Eropah bukan sahaja mempunyai sistem pendidikan tinggi terbaik, tetapi yuran yang murah dan kadangkala percuma. Negara seperti Thailand, Indonesia, India, Iran, Arab Saudi, Turkiye, negara- negara Scandinavia, German, Perancis, Portugal, semuanya mesti diterokai untuk menjadi destinasi latihan ijazah tinggi”.

Ramai tidak menyedari bahawa University of Coimbra yang terletak di bahagian tengah Portugal merupakan antara universiti tertua di Eropah. Dari segi sejarah, terlalu banyak kajian sejarah yang masih belum diterokai oleh para sejarawan negara. Banyak kajian sejarah Portugis Melaka sebagai contoh hanya bersumberkan rujukan sekunder tanpa merujuk kepada sumber rujukan utama bahasa Portugis. Sama ada tidak berani atau enggan mempelajari bahasa Portugis terus menjadi tanda tanya, walhal Arkib Kebangsaan Torre de Tombo di tengah-tengah bandar Lisbon banyak menyimpan khazanah yang belum lagi diselidiki oleh para sarjana tempatan.

Malaysia seharusnya membuka pintu kerjasama lebih luas agar kita dapat meneroka bidang pelancongan di Portugal yang kaya dengan bangunan-bangunan bersejarah. Istana silam yang dibina pada zaman pemerintahan Islam serta deretan monumen-monumen lama mampu memikat pelancong Malaysia. Tambahan pula, Portugal dikatakan sebagai antara negara yang paling aman di Eropah. Bagi pihak Malaysia pula, kita boleh mempromosikan kekayaan alam semulajadi dari segi flora dan fauna yang terdapat di negara ini. Kita juga boleh mengetengahkan kekayaan budaya dan masyarakat sesuai dengan slogan pelancongan, iaitu “Malaysia: Truly Asia”.

Tingkat kerjasama untuk menggilap potensi sukan anak muda harus agar terus mampan di negara kelahiran Cristiano Ronaldo. Nama-nama pemain bolasepak yang pernah beraksi di Portugal termasuk Nazmi Faiz Mansor-2012 (Beira Mar S.C), Ahmad Fakri Saarani-2012 (Atlético S.C.), Dominic Tan dan Syamer Kutty Abba-2018 (Vilaverdense F.C), Safawi Rasid-2020 (Portimonense S.C.). Pemain Portugal pula harus dijemput sama ada secara kontrak ataupun pinjaman sebagai hubungan timbal balik kedua-dua negara. Apa yang lebih penting kepada pemain ialah mereka harus memahami perbezaan bahasa dan budaya agar tidak berlaku kejutan apabila mereka berkelana di negara asing.

Bahasa Portugis seperti mana yang kita tahu merupakan bahasa rasmi Portugal, Brazil, Angola, Mozambique, Sao Tome and Principe, Guine Bissau, Cape Verde, Equatorial Guinea, Timor Leste dan Macau. Bahasa Portugis merupakan antara 10 bahasa yang paling meluas digunakan di dunia dengan jumlah penutur melebihi 265 juta orang. Brazil menjadi penyumbang terbesar bagi penutur bahasa Portugis ini. Justeru itu, tidak hairan bahawa sambutan Hari Bahasa Portugis Sedunia atau World Portuguese Language Day yang diadakan pada setiap 5 Mei diraikan secara besar-besaran di negara-negara Lusofon (negara yang menuturkan bahasa Portugis). Diharap konsep Malaysia Madani yang dibawa dalam dasar kerajaan terkini dapat diterjemahkan melalui kerjasama baru yang lebih terbuka antara Malaysia dengan negara-negara luar terutamanya negara-negara penutur bahasa Portugis.

Penulis merupakan pengajar Jurusan Bahasa dan Budaya Portugis serta Penyelaras Kursus Bahasa Asing, Fakulti Bahasa dan Linguistik, Universiti Malaya. Beliau boleh dihubungi di jamian@um.edu.my