25 January 2025

Bantulah ibu tunggal yang paling terkesan dengan peningkatan kos sara hidup

Featured

Melurus kekeliruan Rejab

Oleh: Prof. Dr. Khadijah Mohd Khambali @ Hambali Setiap kali...

For our tomorrow

Eco-Labelling in Malaysia and China: Strategies for environmental conservation...

Beware of them

By Prof. Dr. Siti Nursheena Mohd Zain School holidays in...

Our tour

By: Assoc. Prof. Sr Dr. Zuraini Md Ali Every corner...

Untuk dimanfaati

Oleh: Mohd Khairi Ismail Kemajuan teknologi kecerdasan buatan (AI) telah...

Share

Oleh: Prof. Madya Dr. Ilhaamie binti Abdul Ghani Azmi

Dewasa ini, kos sara hidup sering diperkatakan. Semenjak dari penularan pandemik Covid 19 bermula awal tahun 2020, kos sara hidup semakin meningkat. Apabila ia meningkat, kebiasaannya bukan mudah untuk turun semula. Justeru, ini menunjukkan keperluan kepada kawalan terhadap kos sara hidup ini. Antara ramai-ramai orang, ibu tunggal yang paling terkesan dengan peningkatan kos sara hidup ini terutamanya yang tinggal di ibu kota.

Kos sara hidup adalah kos bagi mendapatkan keperluan asas seperti makanan, pengangkutan dan tempat tinggal serta keperluan lain seperti akses internet. Baru-baru ini, makanan asas seperti harga ayam, minyak masak, dan telur telah meningkat. Justeru, terdapat kesan sampingan peningkatan harga makanan asas ini yang mana harga barangan lain turut meningkat seperti harga petrol. Ini menambah bebanan rakyat terutamanya ibu tunggal yang menyara anak bersendirian tanpa bantuan suami di sisi.

woman holding boy during daytime
Ibu tunggal banyak terkesan dengan keadaan semasa ekonomi. Gambar hiasan dari Unsplash.

Kos sara hidup merupakan antara elemen dalam penentuan gaji pekerja. Justeru, sekiranya kos sara hidup semakin meningkat, namun tahap gaji tetap tidak meningkat, ini akan menyebabkan rakyat menghadapi kekangan dari segi perbelanjaan dan penyimpanan pendapatan bagi masa depan.

Ramai orang keliru dengan maksud ibu tunggal. Ada yang mengatakan janda atau balu dan ada yang mengatakan wanita yang berumah tangga dan mempunyai anak tetapi tidak mendapat bantuan kewangan daripada suami untuk menyara anak. Dan ada yang mengatakan wanita yang tidak berumah tangga tetapi memiliki anak juga termasuk dalam kategori ini.

Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) pada tahun 2015 telah mendefinisikan wanita tunggal kepada tiga iaitu pertama, wanita yang menjadi ketua isi rumah dalam perkahwinan, kedua; balu atau bercerai dan ketiga; mempunyai anak yang belum berkahwin; wanita yang mempunyai suami yang tidak sihat dan tidak berkemampuan untuk bekerja dan wanita yang tidak pernah berkahwin tetapi mempunyai anak.

Daripada definisi ini, KPWKM telah mendapati seramai 235,240 ibu tunggal di Malaysia. Namun begitu, hanya seramai 83,773 ibu tunggal telah berdaftar dengan Jabatan Pembangunan Wanita secara keseluruhan (MStar, 2016) dan pada tahun 2021, ia meningkat kepada 161,277 (data.gov.my, 2021).

Ibu tunggal dilaporkan mengalami kekurangan ilmu pengetahuan, kemahiran, rangkaian sosial, sumber kewangan dan konflik dalam tanggungjawab antara kerja dan keluarga (Onileowo, 2021). Mereka juga tidak mempunyai akses internet untuk memohon bantuan kewangan secara maya (Wiki Impact).

Walaupun majoriti mereka bekerja (84%) tetapi 16% menerima gaji kurang daripada RM969 sebulan daripada pekerjaan mereka seperti pembuatan roti, katering, menjahit, mencuci pakaian dan perkhidmatan pengangkutan untuk kanak-kanak (Wiki Impact). Ini menunjukkan bahawa segelintir ibu tunggal adalah berkemahiran rendah.

Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia, mana-mana rakyat yang memperolehi pendapatan kurang daripada RM 2,500 adalah dikategorikan sebagai B40. Justeru, kita sebagai umat Islam adalah wajib membantu penduduk yang miskin terutamanya yang dikategorikan sebagai miskin tegar agar mereka boleh keluar dari kepompong kemiskinan ini. Saranan untuk membantu mereka terutamanya ibu tunggal boleh dilihat daripada hadis Riwayat Bukhari nombor 5353 yang bermaksud: “Seseorang yang membantu balu atau orang miskin adalah seperti mujahid yang berperang kerana Allah SWT atau seperti seseorang yang melakukan ibadat sembahyang sepanjang malam dan berpuasa sepanjang hari.”

woman hugging boy on her lap
Walaupun bekerja, golongan ibu tunggal secara puratanya tidak mampu menanggung keperluan kehidupan di ibukota. Gambar hiasan dari Unsplash.

Kehidupan ibu tunggal boleh dibantu dengan keusahawanan Islam. YaPIEM, contohnya dalam bulan Oktober lepas telah melancarkan program keusahawanan bagi membantu asnaf termasuk ibu tunggal. Menerusi program ini, ibu tunggal dilatih bagaimana untuk menjalani perniagaan bagi menyara kehidupan mereka. Begitu juga dengan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) juga turut perihatin dengan golongan tidak bernasib baik ini.

Keusahawanan merupakan sembilan daripada sepuluh cara bagi memperolehi rezeki yang halal. Walaupun hadis ini adalah hadis daif, namun ia menunjukkan bahawa menerusi keusahawanan, seseorang itu akan memperolehi keuntungan yang berlipat ganda. Namun begitu, ia perlulah dilakukan berlandaskan syariat Islam bagi memperolehi keberkatan dan keredhaan Allah SWT.

Perdana Menteri ke 10 iaitu Datuk Seri Anwar Ibrahim juga mula menggerakkan inisiatif menangani isu kos sara hidup dengan perlancaran NACCOL. Ini adalah usaha komprehensif kerajaan baru bagi meringankan bebanan rakyat. Contoh terkini ialah pengumuman untuk tidak menaikkan tarif bil elektrik.

Tanpa suami di sisi, ibu tunggal paling terkesan dengan peningkatan kos sara hidup. Justeru, perlu diadakan satu program keusahawanan direka khusus bagi meringankan bebanan ibu tunggal ini. Menerusi program ini, ibu tunggal dapat keluar daripada kepompong kemiskinan tegar dan seterusnya, dapat menyumbang kepada masyarakat dari segi penjanaan pekerjaan dan pendapatan.

Penulis merupakan Profesor Madya di Jabatan Syariah dan Pengurusan, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, dan boleh dihubungi di amieazmi@um.edu.my