Oleh: Dr. Nur Afiqah Mohd Salleh
Laporan World Drug Report 2021 yang diterbitkan oleh United Nations Office on Drugs and Crime telah menunjukkan peningkatan penggunaan dadah secara global sebanyak 22 peratus, berbanding pada tahun 2010. Peningkatan ini dijangka akan terus meningkat sebanyak 11 peratus sebelum tahun 2030 di seluruh dunia, dengan peningkatan sebanyak sekurang-kurangnya 10 peratus di negara berpendapatan sederhana tinggi seperti di Malaysia.
Statistik ini mendesak kita untuk menilai kembali usaha kita dalam mengatasi masalah berkaitan penggunaan dadah, sekaligus mencabar persepsi dan cara kita memandang isu penggunaan dadah ini secara total. Pada hari ini, persepsi majoriti masyarakat terhadap penggunaan dadah masih lagi dilihat berbentuk menghukum, dan sering kali dikaitkan dengan sisi-sisi negatif seperti imej fizikal seseorang pengguna dadah dan salah laku jenayah. Sisi negatif sebegini juga sudah bertahun-tahun menjadi modal drama televisyen dan iklan pencegahan dadah, yang kadang-kadang membawa imej dan persepsi yang kurang tepat.
‘Dadah musuh negara’ yang boleh dikatakan antara slogan kempen yang paling berjaya di negara ini, tanpa disedari telah menjadikan pengguna dadah sebagai musuhnya, dan bukannya dadah itu sendiri. Ini dapat dilihat melalui pelbagai strategi pencegahan yang lebih menjurus kepada kempen kesedaran dan penangkapan pengguna dadah berskala besar, berbanding usaha-usaha untuk mengubah faktor persekitaran yang menyebabkan seseorang itu lebih berisiko untuk menggunakan dadah, seperti faktor kemiskinan dan pengalaman trauma daripada zaman kanak-kanak (adverse childhood experience).
Budaya memupuk stigma dan diskriminasi terhadap pengguna dadah yang berlaku secara tidak langsung ini sebenarnya lebih meminggirkan dan memudaratkan pengguna dadah. Persekitaran yang dicorakkan dengan stigma dan diskriminasi yang tinggi telah menutup jalan untuk mereka tampil ke hadapan bagi mendapatkan rawatan kesihatan, terutamanya rawatan berkaitan penggunaan dadah mereka. Perasaan takut dan bimbang ditangkap, dan seterusnya ditahan di dalam lokap, penjara atau pusat serenti akibat penggunaan dadah menyebabkan mereka lebih selesa berada di pinggiran masyarakat.
Rekod pemenjaraan boleh menyukarkan mereka mendapat kerja, sekaligus membantutkan proses pemulihan. Selain itu, keruntuhan institusi kekeluargaan boleh berlaku akibat pemenjaraan pengguna dadah di kalangan bapa, ibu dan anak. Pemenjaraan bukan sahaja boleh menjarakkan hubungan kekeluargaan, malah boleh menyebabkan sesebuah keluarga menjadi lebih terhimpit dengan kemiskinan, kerana lumpuhnya fungsi pencari nafkah utama dalam keluarga. Anak-anak yang lahir dengan bapa atau ibu yang sering keluar masuk penjara atau pun pusat serenti juga terabai. Trauma zaman kanak-kanak seperti inilah yang boleh meningkatkan lagi risiko penggunaan dadah di kalangan anak-anak ini, dan secara tidak langsung membiarkan kitaran hidup keluarga mereka yang keji di mata masyarakat ini berterusan.
Sesetengah negara maju telah pun mengambil langkah mengubah dasar polisi dadah di negara masing-masing, daripada bersifat menghukum kepada pemulihan dan kemasukan semula ke dalam masyarakat. Amalan tradisi penangkapan dan pemenjaraan seseorang pengguna dadah kebanyakannya telah digantikan dengan pendekatan inovatif yang meletakkan seorang individu pengguna dadah dan keluarganya di titik pertengahan sistem penjagaan kesihatan dan sosial yang mampan. Contoh yang paling popular adalah di Portugal, di mana pengguna dadah yang ditahan memiliki sejumlah kecil dadah untuk penggunaan sendiri tidak lagi dirujuk kepada sistem penjenayahan. Sebaliknya, pengguna dadah tersebut dirujuk kepada jawatankuasa yang terdiri daripada doktor, peguam dan pekerja sosial yang akan menentukan rawatan dan sokongan sosial yang terbaik untuk individu tersebut.
Strategi yang dinamakan sebagai proses dekriminalisasi ini jelas sekali mencabar prinsip dan cara kita menilai isu dadah, terutamanya dalam memikirkan sejauh mana sistem pemenjaraan ataupun pusat-pusat serenti sebenarnya berkesan dalam menangani masalah penggunaan dadah di negara kita. Sebagai contoh, kajian yang diterbitkan di jurnal berwasit Lancet menunjukkan bahawa pengguna-pengguna dadah di Malaysia kembali menggunakan dadah (relapse) hanya selepas 31 hari keluar dari pusat serenti. Hal ini amat berbeza dengan individu-individu yang mendapatkan rawatan secara sukarela di dalam komuniti seperti di Portugal, di mana mereka kembali menggunakan dadah hanya selepas 352 hari.
Usaha merawat pengguna dadah dalam komuniti dijangka dapat mengurangkan beban negara ke atas pemenjaraan. Kajian kami menunjukkan bahawa kos pemenjaraan bagi seorang banduan di Malaysia adalah melebihi RM20,000 setahun. Kos rawatan metadon, iaitu rawatan untuk menangani kebergantungan seseorang pengguna kepada dadah jenis opioid, adalah hanya sebanyak RM6,560 setahun bagi mereka yang dirawat dalam komuniti. Jurang perbezaan kos kedua-dua strategi yang sangat besar ini seharusnya menjadi petanda kepada fokus teknik pemulihan pengguna dadah yang dijadikan pilihan.
Stigma dan diskriminasi sedia ada ini dilihat oleh penulis terpupuk oleh pandangan bahawa setiap individu yang menggunakan dadah pastinya akan bergantung kepada dadah seumur hidup mereka. Statistik global telah menunjukkan dalam 269 juta orang yang menggunakan dadah, hanya 13 peratus sahaja dari populasi pengguna dadah yang berhadapan dengan masalah kecelaruan penggunaan (susbtance use disorder) atau pengguna bermasalah (problematic drug use). Di peringkat ekstrim ini, masalah kebergantungan kepada dadah (atau ketagihan) merupakan masalah penyakit kronik yang memerlukan rawatan perubatan komprehensif secara menyeluruh. Masalah kebergantungan kepada dadah ini pula telah dikenal pasti berpunca antaranya daripada pemenjaraan yang berulang, peluang mendapatkan pekerjaan yang rendah, tiada sistem sokongan sosial yang kuat, dan akses kepada rawatan kesihatan yang rendah.
Jelas yang kebergantungan kepada dadah itu sebenarnya adalah penyakit kronik yang berulang. Jika seseorang pengguna itu berjaya untuk tidak menggunakan dadah pada hari ini, ada kemungkinan besar dia mungkin menggunakan dadah pada keesokkan harinya, bergantung kepada faktor dalaman dan luaran individu tersebut. Penggunaan dadah sebagai suatu bentuk penyakit perlu dikenal pasti dan dirawat; bukannya dihukum. Namun demikian, sebahagian besar masyarakat masih lagi memukul rata semua pengguna dadah sebagai pesalah laku jenayah, dan beranggapan bahawa semua pengguna dadah merupakan pengguna yang bermasalah. Ini telah menyukarkan usaha untuk mengenal pasti kelompok pengguna dadah yang benar-benar bermasalah untuk dirujuk kepada pakar perubatan, dan kesudahannya banyak usaha sebegini telah pun gagal.
Selain itu, penggunaan istilah juga memainkan peranan yang sangat besar dalam pembentukan persepsi yang betul dalam konteks penggunaan dadah ini. Terminologi yang menggambarkan stigma dan diskriminasi ke atas pengguna telah pun ditolak oleh kebanyakan jaringan advokasi global. Penggunaan istilah seperti ‘drug addict’ atau ‘penagih dadah’ perlu dielak untuk mengekalkan integriti pengguna dadah sebagai seorang manusia yang mempunyai hak asasi yang sama dengan individu yang lain.
Bersempena dengan Hari Sifar Diskriminasi, penulis ingin mempelawa masyarakat untuk mencabar diri sendiri untuk menilai semula pemahaman kita tentang penggunaan dadah. Pemahaman tentang isu penggunaan dadah seharusnya berlandaskan bukti saintifik dan ilmu, bukannya semata-mata daripada persepsi binaan sendiri, atau pengalaman yang diceritakan orang lain, melalui naratif yang berat sebelah.
Sejauh manakah kita membenarkan label negatif yang selalu dikaitkan dengan penggunaan dadah ini mencorakkan pemahaman kita? Apakah adil untuk membiarkan pengguna dadah terus-terusan dihukum tanpa peluang kedua?
Penulis merupakah pensyarah kanan di Jabatan Perubatan Kemasyarakatan dan Pencegahan, Fakulti Perubatan, Universiti Malaya, dan penyelidik di Centre of Excellence for Research in AIDS (CERiA), Universiti Malaya. Beliau juga merupakan Timbalan Setiausaha Kehormat Malaysian AIDS Council, dan boleh dihubungi di imohdsalleh@um.edu.my