8 February 2023

COP27: Ada apa untuk Malaysia?

Featured

Kisah minggu ketigabelas

Sehari sebelum warga kampus mula bercuti untuk perayaan Tahun Baru Cina baru-baru ini, pasukan kami sempat menjengah Fakulti Kejuruteraan untuk merakamkan suasana kampus.

Memperkasakan ta’aruf, tafahum dan tasamuh dalam Masyarakat MADANI di Malaysia

Masyarakat majmuk terbentuk di Malaysia melalui sejarah yang panjang. Ia merupakan ciri keunikan tempatan kerana kejayaan menghasilkan miniatur Asia yang mempunyai komposisi pelbagai bangsa utama Asia seperti Melayu, Cina dan India. Takdir sejarah ini perlu diterima dan diperkasakan dari semasa ke semasa.

Let’s craft an ideal 21st century city out of KL

Kuala Lumpur, the capital of Malaysia, has a rich history dating back to the late 1800s. It began as a small tin-mining settlement in the 1850s and was granted city status in 1972. During the late 19th and early 20th centuries, Kuala Lumpur developed rapidly as a centre of tin mining and trade, leading to increased immigration and economic growth.

Normalisasi sembang lucah: Mengemis perhatian murahan

Walau bagaimanapun, banyak unsur gurauan atau lawak jenaka dewasa ini yang berbaur lucah atau mempunyai maksud tersirat dilihat semakin berleluasa dan parah.

Ibu bapa pendamping tumbesaran anak-anak zaman digital

Teknologi telah banyak memberi manfaat kepada masyarakat di seluruh dunia. Walau bagaimanapun, tidak dapat dinafikan, terdapat juga kesan negatif ke atas perkembangan kanak-kanak dan remaja.

Share

Oleh: Prof. Madya Dr. Zul Ilham Zulkiflee Lubes

Dalam tempoh kurang seminggu dari hari ini, 195 wakil negara dan para pemerhati antarabangsa akan berkampung di Sharm el-Sheikh, bandar peranginan Laut Merah di Mesir untuk kesekian kalinya bagi menghadiri Sidang Kemuncak Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (COP27). Masyarakat antarabangsa sudah tentulah menzahirkan harapan tinggi kepada persidangan kali ini selepas UN COP26 tahun lepas, yang berjaya menghidupkan kembali sasaran mengekang perubahan iklim kepada 1.5 darjah Celsius, sungguh pun selepas itu berdenyut lesu.

person holding green leafed plant
Kita semua mempunyai peranan untuk dimainkan bagi menyelamatkan Bumi (Gambar hiasan dari Unsplash)

Sasaran COP27 tahun ini ialah untuk memastikan Perjanjian Paris 2015 (COP21) dapat dipraktikkan sepenuhnya, yang juga bakal digelar sebagai Buku Panduan Paris (Paris Rulebook) melalui aku janji yang bakal ditanda tangani oleh negara-negara terlibat. Menurut Setiausaha Agung badan dunia itu, Yang Terutama Antonio Guterres, persidangan kali ini akan menjadi “ujian litmus” pertama untuk melihat betapa seriusnya dunia melihat kepada ancaman perubahan iklim yang sudahpun memberikan dampak jelas kepada beberapa negara berisiko tinggi.

Sudah pastilah apabila menyebut tentang perubahan iklim, kita akan dapat mengingati gerakan “Mogok Sekolah untuk Iklim” yang dipelopori aktivis alam sekitar Sweden, Greta Thunberg serta Simon Kofe, Menteri Kerajaan Tuvalu yang memberikan ucapan video untuk COP26 dengan berdiri di dalam air laut, sebagai simbolik ancaman mendesak peningkatan paras laut kepada negara-negara kepulauan di Pasifik termasuk Tuvalu. Namun begitu, ada beberapa isu penting yang perlu menjadi perhatian kita selain perkara-perkara simbolik ini.

Antaranya ialah topik ulangan yang dijangka bakal dibangkitkan dalam persidangan kali ini iaitu gesaan pengurangan penggunaan arang batu untuk penjanaan kuasa elektrik bagi mengurangkan kadar pelepasan gas rumah hijau. Rakyat Malaysia harus sedar bahawa data pada tahun 2019 daripada Institut Tenaga Antarabangsa menunjukkan 45.9% penjanaan kuasa elektrik negara adalah daripada arang batu, sumber utama berbanding gas asli (37.1%), diikuti tenaga boleh baharu (16.5%) dan minyak (0.5%). Jika gesaan terhadap pengurangan arang batu diteruskan, adakah alternatif kepada sumber ini akan menaikkan tarif elektrik? Bersediakah kita?

Tidak dinafikan bahawa Persidangan Kemuncak Iklim ini adalah pentas utama dunia untuk perbincangan terhadap tindakan iklim tetapi ianya tidak seharusnya hanya dipelopori negara-negara kuasa besar yang kaya dan mengenepikan perihal dan pandangan negara-negara membangun. Satu lagi implikasi besar yang dijangka ialah komitmen untuk penghapusan subsidi bahan api fosil. Negara kita adalah antara negara yang memberikan subsidi bahan api fosil yang signifikan untuk kesejahteraan rakyatnya dan sekiranya ia perlu dikurangkan, kosnya sudah pasti berpindah kepada pengguna 32 juta kenderaan bermotor yang berdaftar di Malaysia. Ini belum lagi mengambil kira kesan rantaian terhadap keseluruhan ekosistem ekonomi terutamanya harga bahan mentah, makanan dan perkhidmatan perlu.

Namun begitu, dari sudut yang positif, Malaysia mempunyai peluang yang besar untuk memanfaatkan peluang ekonomi terhadap persetujuan negara-negara dalam urus niaga perdagangan kredit karbon antarabangsa di persidangan ini. Dengan memahami selok-belok mekanisme perdagangan karbon dan strategi yang kemas, negara kita yang kaya dengan kaedah penyelesaian berasaskan alam semulajadi (nature-based solutions) untuk mengatasi perubahan iklim dijangka dapat menawarkan kredit karbon kepada negara-negara yang memerlukan. Jika perkembangan ini diikuti dengan teliti dan disertai dengan kepakaran yang bersesuaian, Malaysia berpotensi tinggi untuk menjadi hub perdagangan karbon di rantau ini.

Setiap negara juga dimestikan untuk mengemaskini sasaran sifar karbon masing-masing dalam COP27 ini. Sebagai negara yang mempunyai iklim berkembapan tinggi di samping bentuk muka bumi yang boleh menyumbang kepada hujan lebat yang mengakibatkan fenomena banjir besar, Malaysia perlu memantapkan pelan tindakan hala tuju pengurusan banjir sedia ada bagi meningkatkan daya tahan dan kesediaan negara dalam menghadapi pelbagai dampak perubahan iklim.

white electic windmill
Sasaran sifar karbon bukan sesuatu yang mustahil (Gambar hiasan dari Unsplash).

Selain itu, persidangan yang menjadikan Mesir sebagai tuan rumah, di negara benua Afrika yang rentan terhadap impak perubahan iklim ini, turut memberikan tanda betapa pentingnya fokus diberikan kepada keperluan adaptasi dan dana yang secukupnya. Selain dari tindakan mitigasi untuk mengurangkan pelepasan karbon, dana pembiayaan juga diperlukan untuk pendekatan adaptasi, seperti tindakan jangka panjang memastikan pelan perbandaran dan projek pembangunan infrastruktur negara yang dijalankan mengambil kira faktor perubahan iklim, bagi mengelakkan risiko bencana banjir dan kenaikan aras lautan. Apa yang lebih merisaukan ialah kesan berganda perubahan iklim yang boleh menjurus kepada krisis sumber makanan dan seterusnya ketidaksamaan sosio-ekonomi dan alam sekitar.

Harapan tinggi diletakkan kepada Kuala Lumpur untuk memainkan peranan sebagai suara negara membangun dan turut serta di persada antarabangsa dalam memastikan COP27 berjaya dengan seimbang, dalam dekad kritikal ini yang turut menyaksikan ancaman varian Covid-19 terbaru, krisis tenaga dan kenaikan kos akibat Perang Rusia-Ukraine.

Dr. Zul Ilham Bin Zulkiflee Lubes ialah Profesor Madya di Program Sains Pengurusan Alam Sekitar, Institut Sains Biologi, Fakulti Sains Universiti Malaya dan kini Sarjana Pelawat Fulbright di Universiti Cornell, Ithaca New York, Amerika Syarikat.