18 March 2025

Ibadat solat penentu integriti ummah

Featured

Tundukkan

Oleh Mohd Anuar Ramli, Muhamad Nabil Saiful Anuar Mata merupakan...

Hidupkan kebersamaan

Oleh Nur Faezah Musthapar Bulan Ramadan sentiasa dinanti-nantikan oleh setiap...

Untuk semua

Oleh Muzalwana Abdul Talib Permohonan kemasukan ke institusi pengajian tinggi...

Of transparency and compliance

By Suria Zainuddin As of 1st March 2025, all individuals...

Our stories

By Zuraini Md Ali and Nurul Alia Ahamad Since its...

Share

Oleh: Prof. Madya Dr. Mohd. Anuar Ramli

Peristiwa Israk dan mikraj merupakan sebuah kisah yang penting dalam sejarah umat Islam. Ia melibatkan dua perjalanan Nabi SAW, iaitu peristiwa Israk dan Mikraj. Peristiwa Israk bermula dari perjalanan Nabi dari Masjidil Haram di Mekah ke Masjidil Aqsa di Baitul Muqaddis dan ia dirakam dengan jelas dalam surah al-Isra’, iaitu ayat pertama. Manakala peristiwa mikraj bermula dari perjalanan Nabi SAW dari Masjidil Aqsa di Baitul Muqaddis ke Sidratul Muntaha dalam bentuk jasad dan ruh. Ia terakam dalam surah al-Najm ayat 13-18.

Peristiwa yang dilatari dengan pelbagai kisah duka yang dialami oleh Rasulullah SAW. Ia berikutan kehilangan insan yang disayangi oleh baginda, iaitu isteri kesayangan, Sayyidatina Khadijah dan bapa saudara, iaitu Abu Talib. Mereka merupakan orang yang memberi dokongan kuat kepada perjuangan dakwah Nabi SAW. Di samping bagi menghiburkan rasa sedih yang dialami Baginda, lebih utama dalam perjalanan Israk Mikraj ini adalah hadiah besar kepada umat Nabi Muhammad SAW, iaitu kefarduan solat yang lebih sistematik berbanding sebelumnya. Jika sebelumnya, ibadat solat dilakukan pada waktu pagi dan petang sebanyak dua rakaat.

Betapa Nabi SAW amat menyayangi dan memahami kesibukan umatnya dalam menjalani kehidupan. Baginda telah melakukan perundingan bagi mendapatkan diskaun waktu solat bagi umat Baginda. Proses negosiasi telah berjaya mendapat potongan waktu sebanyak 90 peratus daripada Allah SWT. Daripada jumlah 50 waktu solat yang difardukan hinggalah dikurangkan kepada 5 waktu solat sehari semalam. Ia dijelaskan dalam hadis Nabi SAW:

“Bumbung rumahku terbuka ketika aku berada di Makkah, lalu turun malaikat Jibril. Kemudian dia memegang tanganku lalu membawaku naik ke langit. Maka Allah telah memfardhukan 50 solat ke atas umatku. Lalu aku berulang-alik menemui-Nya, maka Allah menyatakan bahawa lima solat menyamai 50 solat, tidak diubah lagi penyataan itu untukku.” (HR al-Bukhari dan Muslim)

Peristiwa ini menunjukkan betapa syariat Islam mengambilkira realiti kehidupan manusia dengan mensyariatkan ibadat solat sebanyak lima waktu sehari semalam, iaitu zuhur, asar, maghrib, isyak dan subuh. Pensyariatan ini walaupun bersifat fardu, tetapi masih lagi berada dalam ruang waktu yang luas untuk melaksanakannya. Jelasnya, Islam memberi kemudahan kepada umatnya agar ibadat ini dapat dilaksanakan dengan sebaiknya. Malahan, sekiranya ada masyaqqah (situasi sukar), akan diberi ruang keringanan (rukhsah) sama ada dalam bentuk memendekkan (taqsir) seperti solat qasar, atau mendahulukan (taqdim) seperti solat jamak taqdim dan melewatkan (takkhir) seperti solat jamak takkhir.

Pada dasarnya, mendirikan solat fardu adalah kewajipan kepada tiap mukallaf sama ada lelaki atau perempuan yang berakal dan baligh. Ulama telah menegaskan hukum meninggalkan solat dengan beberapa ketetapan. Pertama, orang yang meninggalkan solat dengan sengaja dan mengingkari kewajipannya, maka hukumnya kafir dan terkeluar daripada agama Islam. Kedua, orang yang meninggalkan solat kerana malas tanpa mengingkari kewajipannya, maka hukumnya adalah berdosa dan perlu menggantikannya. Nabi SAW bersabda:

Sesungguhnya antara seorang lelaki, dan kesyirikan dan kekufuran ialah pada meninggalkan solat (HR Muslim)

Namun begitu, ibadat solat semakin dipandang remeh oleh umat Islam. Ramai yang mengambil mudah dan meninggalkan solat tanpa rasa berdosa dan salah. Sedangkan ibadat solat merupakan perkara pertama yang akan dihisab pada hari kiamat kelak: Nabi SAW bersabda:

Perkara pertama yang dihisab dari seorang hamba pada hari kiamat adalah solat. Apabila solatnya baik, maka seluruh amalnya pun baik. Apabila solatnya buruk, maka seluruh amalannya pun buruk. (HR al-Tabrani)

Selain itu, melaksanakan ibadat solat dengan sempurna juga dapat menjadi mekanisme pembentukan akhlak yang mulia dan dapat mencegah perbuatan keji serta mungkar. Pada masa kini, masyarakat kita semakin tenat dengan gejala sosial dan maksiat. Ia termasuklah perbuatan zina yang berleluasa, budaya mengumpat dan menfitnah dalam media sosial yang semakin berlebihan, gejala rasuah yang berakar umbi dan seumpamanya. Jadi, dengan melaksanakan ibadat solat dengan sempurna, perbuatan keji dan maksiat dapat dielakkan. Perkara ini ditegaskan dalam al-Quran, surah al-Ankabut, ayat 45: Sesungguhnya solat itu mencegah dari perbuatan keji dan mungkar.

Di samping itu, satu penyakit masyarakat masa kini yang semakin parah adalah sikap mengambil mudah dalam temu janji. Ramai yang tidak menepati masa yang ditetapkan untuk segenap urusan seharian. Wujudnya frasa “janji Melayu” ibaratnya perbuatan ini telah dinormalisasi dalam masyarakat. Dengan melazimi ibadat solat pada awal waktu, ia akan membentuk sikap tepati masa dalam kehidupan umat Islam, khususnya masyarakat Melayu. Jadi, tiada istilah janji Melayu untuk menjustifikasikan perbuatan sering menunda dan melewatkan temujanji yang banyak merugikan pihak lain.

Jelasnya, peristiwa Israk dan Mikraj telah memberikan pelbagai ibrah sebagai panduan kehidupan kepada umat Islam terutamanya dalam melaksanakan kewajipan mendirikan solat fardu. Di samping ia dapat mendatangkan pahala dan keredhaan Allah, ibadat solat juga dapat mencanai sikap yang positif, dan berintegriti dalam masyarakat Islam. Amatlah rugi di dunia mahupun akhirat mereka yang tidak melaksanakan kewajipan solat. Walaupun sesibuk mana kita dengan urusan duniawi, namun ibadat solat janganlah diabaikan.

Penulis merupakan Profesor Madya di Jabatan Fiqh dan Usul, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, dan boleh dihubungi di mohdanuar@um.edu.my