Oleh: Prof Madya Dr Melati Sumari
Teknologi telah banyak memberi manfaat kepada masyarakat di seluruh dunia. Walau bagaimanapun, tidak dapat dinafikan, terdapat juga kesan negatif ke atas perkembangan kanak-kanak dan remaja. Mengetahui cara teknologi memberi kesan kepada paten keibubapaan adalah sangat penting. Banyak kajian telah menunjukkan kesan negatif teknologi digital kanak-kanak. Penggunaan gajet secara berlebihan sejak kecil boleh menjejaskan banyak bidang kehidupan kanak-kanak. Contohnya, kanak-kanak yang sibuk menggunakan gajet sebagai ganti alat permainan akan hilang fokus, kurang kemahiran komunikasi, lemah kemahiran berbahasa dan berkemungkinan menjejaskan penguasaan akademik. Kanak-kanak juga mungkin tidak mempunyai kreativiti kerana penumpuan lebih diberikan kepada skrin. Justeru tidak hairan apabila ketagihan dan kerbergantungan kepada gajet dalam kalangan kanak-kanak yang sedang membesar menjadikan keibubapaan dalam era teknologi digital menjadi semakin sukar dan mencabar.
Dari segi perkembangan psikologi, kanak-kanak dan remaja masih melalui fasa-fasa yang memerlukan mereka menguasai dan melaksanakan tugas perkembangan. Pada era di mana teknologi belum begitu berkembang, mereka mempelajari dan menguasai tugas perkembangan dengan bantuan guru, ibu bapa, dan masyrakat persekitaran. Secara amnya, orang orang dewasa akan memastikan anak-anak muda bertingkahlaku dan bertindak mengikut norma sosial yang diterima, dan tidak menyalahi undang-undang. Akses kepada teknologi menjadikan kebergantungan kepada orang-orang dewasa menjadi kurang. Panduan hidup yang biasanya disampaikan dan diajar oleh orang dewasa secara bersemuka telah mendapat campurtangan media dalam talian. Campurtangan media dalam talian datang dalam bentuk laman web, media sosial, dan mesej melalui aplikasi teks.
Media telah melaporkan tentang kanak-kanak dan remaja yang terpengaruh dengan kandungan seksual grafik, dan permainan ganas yang boleh menjejaskan perkembangan mental dan emosi mereka secara serius. Untuk mencegah dan mengurangkan kesan negatif teknologi ke atas anak-anak mereka, ibu bapa secara akan bertambah tugas untuk menyelia anak-anak.
Beberapa panduan yang boleh diguna pakai dalam menyelia dan mengawal anak-anak bawah umur di era digital ialah:
1) Menggunakan aplikasi pengawalan seperti Google Family Link. Perkhidmatan kawalan ibu bapa keluarga oleh Google ini membolehkan ibu bapa melaraskan parameter untuk peranti yang digunakan oleh anak mereka. Aplikasi ini membenarkan ibu bapa menyekat kandungan, meluluskan atau tidak meluluskan aplikasi tertentu, menetapkan masa skrin dan lain-lain bentuk kawalan.
2) Memastikan anak-anak sentiasa aktif. Ibu bapa perlu merancang jadual harian anak-anak dan memastikan jadual dipatuhi ke paras optima. Perkara ini agak mencabar memandangkan kebanyakan keluarga terdiri dari ibu bapa bekerja. Namun, kerjaya tidak boleh dijadikan alas an dalam mengabaikan tanggungjawab ini. Adakah ibu bapa ingin mengharapkan pihak berkuasa mengawal anak-anak mereka? Sudah tentu tidak.
3) Membina hubungan yang bermakna dengan anak-anak. Kesibukan ibu bapa dengan kerjaya seringkali mengorbankan hubungan kedua belah pihak. Keibubapaan hari ini tidak sama dengan keibubapaan 20 tahun yang lepas. Justeru, ibu bapa perlu meraancang bagaimana mereka boleh mencipta ruang komunikasi sihat bersama anak-anak.
4) Menyediakan jadual harian untuk anak-anak yang berada di bangku persekolahan. Sebagai contoh, tetapkan selepas pukul 8 malam, mereka perlu mengulangkaji tanpa gajet di sisi.
Ibu bapa perlu meningkatkan usaha bagi menjadi ibu bapa yang berfungsi bagi memastikan pengaruh maklumat yang mudah diperolehi melalui akses kepada internet dapat ditapis bersesuaian dengan usia anak-anak dan selari dengan tatasusila budaya dan undang-undang.
Penulis merupakan Profesor Madya di Jabatan Psikologi Pendidikan dan Kaunseling, Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya, dan merupakan pakar dalam bidang terapi dan kaunseling perkahwinan dan keluarga. Beliau boleh dihubungi di melati@um.edu.my