5 February 2023

Inisiatif pensijilan kotej halal bantu peniaga kecil Malaysia

Featured

Kisah minggu ketigabelas

Sehari sebelum warga kampus mula bercuti untuk perayaan Tahun Baru Cina baru-baru ini, pasukan kami sempat menjengah Fakulti Kejuruteraan untuk merakamkan suasana kampus.

Memperkasakan ta’aruf, tafahum dan tasamuh dalam Masyarakat MADANI di Malaysia

Masyarakat majmuk terbentuk di Malaysia melalui sejarah yang panjang. Ia merupakan ciri keunikan tempatan kerana kejayaan menghasilkan miniatur Asia yang mempunyai komposisi pelbagai bangsa utama Asia seperti Melayu, Cina dan India. Takdir sejarah ini perlu diterima dan diperkasakan dari semasa ke semasa.

Let’s craft an ideal 21st century city out of KL

Kuala Lumpur, the capital of Malaysia, has a rich history dating back to the late 1800s. It began as a small tin-mining settlement in the 1850s and was granted city status in 1972. During the late 19th and early 20th centuries, Kuala Lumpur developed rapidly as a centre of tin mining and trade, leading to increased immigration and economic growth.

Normalisasi sembang lucah: Mengemis perhatian murahan

Walau bagaimanapun, banyak unsur gurauan atau lawak jenaka dewasa ini yang berbaur lucah atau mempunyai maksud tersirat dilihat semakin berleluasa dan parah.

Ibu bapa pendamping tumbesaran anak-anak zaman digital

Teknologi telah banyak memberi manfaat kepada masyarakat di seluruh dunia. Walau bagaimanapun, tidak dapat dinafikan, terdapat juga kesan negatif ke atas perkembangan kanak-kanak dan remaja.

Share

Oleh: Dr. Siti Aisyah Samudin dan Dr. Hanira Hanafi

Malaysia adalah negara pelopor industri halal yang mempunyai lebih 40 tahun pengalaman dalam membangunkan industri ini. Di samping itu, kelebihan ‘halal’ di Malaysia adalah diletakkan di bawah tanggungjawab kerajaan (government scrutiny) yang menjadi satu kelebihan di mata dunia, menjadikannya sebagai negara yang dirujuk di peringkat antarabangsa dalam pengendalian urusan persijilan halal. Untuk itu, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bersama Jabatan Agama Islam Negeri-JAIN bersama dengan Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) telah dilantik sebagai pihak berkuasa berwibawa halal di negara ini, berdasarkan Perintah Perihal Dagangan (Penandaan dan Persijilan Halal, 2011). Governan halal yang jelas oleh kerajaan Malaysia seperti inilah yang membezakan Malaysia daripada negara lain dan membolehkan Malaysia menjadi pemain utama dalam industri halal global.

Industri Kecil dan Sederhana (IKS) ditakrifkan sebagai perusahaan perkilangan ataupun syarikat yang menyediakan perkhidmatan berkaitan perkilangan dengan pusingan ganti tahunan tidak melebihi RM 25 juta dan di samping pemilikan kakitangan sepenuh masa tidak melebihi 150 orang. IKS terdiri daripada beberapa sektor utama merangkumi sektor Pembuatan, Perkhidmatan, Pembinaan, Pertanian dan Perlombongan & Pengkuarian. IKS terbahagi kepada tiga saiz utama, iaitu industri mikro, industri kecil dan juga industri bersaiz sederhana.

Penggunaan perkataan halal bagi maksud industri di Malaysia telah bermula seawal tahun 1965 oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) yang terhad dalam bentuk kenyataan sahaja. Penglibatan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dalam memberi pengesahan status halal kepada produk makanan dan barangan gunaan Islam di negara ini bermula pada tahun 1974 apabila Pusat Penyelidikan, Bahagian Hal Ehwal Islam, Jabatan Perdana Menteri memberi surat pengesahan halal kepada produk-produk yang memenuhi kehendak syarak. Pada 1 September 2002, kerajaan telah memutuskan bahawa semua urusan pengesahan halal dilaksanakan sepenuhnya oleh JAKIM melalui Bahagian Kajian Makanan dan Barangan Gunaan Islam yang mempunyai hanya 28 jawatan.

Walaupun Malaysia mempunyai pasaran industri halal yang luas, hanya sebilangan kecil sahaja usahawan tempatan yang memenuhi permintaan tersebut. Selain itu, penglibatan usahawan bumiputera juga didapati masih berada pada tahap agak rendah meskipun terdapat usaha-usaha dan inisiatif yang dilaksanakan oleh pelbagai kementerian, agensi dan pemain-pemain industri. Berdasarkan maklumat yang diperoleh daripada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), terdapat lebih 200,000 usahawan yang terlibat dalam industri berkaitan halal. Walau bagaimanapun, berdasarkan data Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), pada tahun 2019 hanya sejumlah 6,599 usahawan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PKS) yang telah mendapat pensijilan halal. Daripada jumlah tersebut, hanya sekitar 1,000 ke 1,500 usahawan sahaja yang mempunyai keupayaan untuk mengeksport produk (export-ready).

Sepanjang tempoh pelaksanaan PKP akibat wabak covid-19 yang lalu ramai pekerja yang terpaksa diberhentikan pekerjaan dan hilang punca pendapatan. Bagi meneruskan kelangsungan hidup, kebanyakan usahawan menceburi bidang perniagaan berasaskan makanan secara kecil-kecilan di rumah masing-masing. Namun, sebahagian mereka tidak dapat memasarkan produk dengan lebih jauh lagi disebabkan tidak melepasi piawaian pensijilan halal yang ditetapkan oleh kerajaan seperti kebersihan premis, kualiti alatan dan perkakasan yang digunakan, pembungkusan produk dan lain-lain supaya mematuhi prinsip halalan toyyiban.

Hal ini berikutan produk yang dihasilkan dari rumah adalah tidak layak untuk memohon pensijilan halal mengikut syarat utama bagi memohon Sijil Halal Malaysia iaitu pemohon perlu mendaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) atau Suruhanjaya Koperasi ataupun agensi kerajaan lain. Selain itu, pemohon juga dikehendaki mempunyai lesen perniagaan daripada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) serta telah mempunyai kilang yang beroperasi sepenuhnya sebelum permohonan dibuat.

Dr. Zalina Zakaria, Pengarah Pusat Penyelidikan Halal Universiti Malaya menjelaskan bahawa bagi setiap produk, pemohon perlu membuat permohonan untuk label pembungkusan yang mana ia akan disertakan sekali di dalam pengiktirafan sijil halal bagi produk tersebut. Hanya pemohon daripada kategori tertentu termasuk pemohon yang memiliki kilang atau premis makanan berasingan dari rumah kediaman yang layak memohon Sijil Pengesahan Halal. Berdasarkan senarai prosedur yang dijelaskan juga, antara syarat lain yang perlu diketahui adalah tempat penyediaan makanan juga harus mempunyai bangunan berasingan dengan tempat tinggal. Jika ia berada dalam bangunan yang sama, hendaklah ada pintu masuk yang berasingan ke kawasan pemprosesan.

Berdasarkan kekangan yang dihadapi, wujud penyelesaian dasar namun mungkin ambil masa lebih panjang. Oleh itu, antara inisiatif solusi lebih mudah dan menggunakan kos yang lebih rendah, cadangan bagi mewujudkan pensijilan melalui kotej halal diutarakan. Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan sebagai badan pentadbiran agama Islam negeri telah menjadi badan yang bertanggungjawab melaksanakan inisiatif ini.

Kotej halal merupakan satu inisiatif bagi membolehkan para peniaga makanan yang berusaha secara kecil-kecilan di rumah. Pada kebanyakan masa, kebanyakan peniaga kecil-kecilan gagal melepasi piawaian halal seperti tidak mempunyai premis perniagaan sendiri serta fasiliti yang sesuai dan lengkap. Melalui inisiatif ini, para peniaga diyakini mampu meluaskan lagi perniagaan dengan melalui peluang yang ada bagi memperoleh pensijilan halal dalam industri ini.

Cadangan awal inisiatif ini diwujudkan dengan melihat pada kekangan yang dialami oleh industri kecil dan sederhana dalam mendapatkan pensijilan halal. Lantaran itu, kerajaan Negeri Sembilan telah memperkenalkan satu inisiatif baharu yang dinamakan Halal Cottage dengan peruntukan RM500,000 dalam Belanjawan 2022. Inisiatif ini bertujuan membolehkan usahawan kecil melepasi piawaian pensijilan halal dengan geran bantuan tidak melebihi RM5,000. Menerusi inisiatif ini usahawan Cottage akan diberikan geran bantuan tidak melebihi RM5,000 seorang untuk menaik taraf premis dan alatan supaya memenuhi piawaian halal yang ditetapkan.

Kerajaan Negeri Sembilan menerusi Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) telah memperkenalkan program Halal Cottage ini bagi mewujudkan rangkaian halal yang lebih meluas di kawasan luar bandar. Ianya bertujuan membantu peniaga-peniaga kecil yang berpendapat dalam lingkungan 30k setahun dan tidak mempunyai premis perniagaan (perniagaan dijalankan di kawasan rumah secara kecil-kecilan sahaja) untuk mendapatkan pensijilan halal agar dapat meluaskan lagi pasaran perniagaan dalam produk makanan dan sembelihan unggas yang berskala kecil. Bayaran pensijilan yang dikenakan bagi premis makanan hanya serendah RM100 setahun manakala bagi produk dan perkhidmatan, antara RM100 hingga RM1,000 tertakluk kepada saiz industri. Selain yuran yang rendah, JHEAINS akan turut memberikan tunjuk ajar mengenai Manual Prosedur Pensijilan Halal Malaysia (Domestik) 2020 dan Manual Halal Management System (MHMS) iaitu manual berkaitan halal yang diguna pakai di seluruh Malaysia. Usahawan kecil juga diberi perkhidmatan coaching dan mentoring bagi membantu proses mendapatkan pensijilan halal.

Melalui Negeri Sembilan sebagai negeri pelopor dan contoh, amat molek sekali sekiranya negeri-negeri lain turut mengambil inisiatif yang sama dalam melaksanakan program kotej halal bagi memudahkan usahawan halal setiap negeri mengembangkan usahaniaga. Bahkan, adalah lebih menjadi satu keperluan sekiranya pihak JAKIM sendiri menjadi pusat atau pihak berotoriti dalam mentadbir dan mengeluarkan peraturan atau manual berkenaan pengurusan dan pentadbiran program kotej halal.

Kedua-dua penulis merupakan Pensyarah Kanan di Jabatan Syariah dan Undang-undang, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya dan boleh dihubungi di sitiaisyah.samudin@um.edu.my