Oleh: Prof. Madya Dr. Aizan Ali@Mat Zin
Firman Allah SWT yang bermaksud: Dan sesungguhnya masjid-masjid itu untuk (ibadah kepada) Allah semata-mata maka jangan kamu seru bersama-sama Allah sesiapapun. (Surah al-Jinn: ayat 18). Bertitik tolak daripada ayat ini, masyarakat Islam sering menuturkan bahawa masjid itu adalah rumah Allah SWT malah Masjidil Haram di Mekah dalam bahasa Arab turut disebut Baitillah (rumah Allah). Manakala pengunjung dan jemaah dipanggil tetamu Allah SWT ataupun ”Dhuyufurahman” dalam bahasa Arab.
Secara umum, aqidah umat Islam berpegang kepada prinsip bahawa Allah SWT tidak memerlukan rumah sebagaimana manusia. Allah SWT tidak berhajat kepada tempat dan tidak dapat dilihat serta tidak menyerupai makhluk di muka bumi maupun di langit. Ia adalah simbolik kepada hub ibadah yang mengumpulkan orang-orang yang beriman untuk beribadat hanya kepada Allah SWT secara berkelompok maupun bersendirian.
Kalimah masjid diulang sebanyak dua puluh dua kali dalam al-Quran manakala kalimah masajid (jamak) disebut sebanyak enam kali dalam surah al-Baqarah, al-Tawbah, al-Hajj dan al-Jinn. Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka mendefinisikan masjid sebagai bangunan khas tempat umat Islam melakukan solat Jumaat dan ibadah-ibadah lain. Manakala kamus Al-Mu`jam al-Wasit memberikan maksud yang lebih ringkas iaitu tempat solat berjemaah. Perkataan masjid berasal daripada kata kerja “sajada” yang bermaksud meletakkan dahi di bumi dalam keadaan merendahkan diri dan taat kepada Allah SWT. Ia selari dengan maksud Firman Allah SWT: dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk beribadat kepadaKu.(Surah Al-Zariyat: ayat 56)
Selain daripada fungsi hub ibadah, catatan sejarah Islam telah menonjolkan bahawa masjid telah berkembang sebagai hub pendidikan pada zaman Rasulullah SAW dan kekal sehingga hari ini. Pelbagai aktiviti pendidikan telah disuburkan dalam mendidik masyarakat Islam khususnya dalam ilmu agama. Walau bagaimanapun, hukum Islam tidak menghalang penyebaran ilmu aqli di masjid.
Jika dirujuk kepada kitab al-Fiqh ’ala al-Mazahib al-Arba`ah karangan Abdul Rahman al-Juzayriy, ulama empat mazhab utama (Syafie, Hanbali, Maliki dan Hanafi) bersepakat bahawa aktiviti pendidikan adalah harus hukumnya selagi ia tidak mengganggu jemaah yang sedang menunaikan solat. Justeru kita dapat melihat hukum ini memberi kesan kepada seni bina sebuah masjid. Terdapat banyak contoh ruang khusus samada dengan nama dewan, perpustakaan maupun kelas disediakan untuk tujuan pengajaran dan pembelajaran, antaranya di Masjid Negara Kuala Lumpur Malaysia, Masjidil Haram Mekah, Masjid Nabawi di Madinah dan Masjid al-Azhar di Cairo.
Lembaran sejarah Islam mencatat tindakan Rasulullah SAW membina masjid pertama di Quba dalam perjalanan menuju ke Madinah dalam misi hijrah Baginda SAW setelah berdakwah di Mekah selama tiga belas tahun. Ia menjadi keperluan utama bagi pemerkasaan perpaduan dan kesatuan ummah dalam mengatur misi pembentukan masyarakat madaniy di Madinah al-Munawwarah. Firman Allah SWT yang bermaksud: Hanya sanya yang layak memakmurkan (menghidupkan) masjid-masjid Allah itu ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat serta mendirikan sembahyang dan menunaikan zakat dan tidak takut melainkan kepada Allah, (dengan adanya sifat-sifat yang tersebut) maka adalah diharapkan mereka menjadi dari golongan yang mendapat petunjuk.(Surah Al-Tawbah: Ayat 18).
Jelas di dalam dalil ini, Allah SWT menegaskan bahawa syarat penting dalam usaha mengimarahkan masjid adalah keimanan kepada Allah SWT, Hari Akhirat, mendirikan solat, menunaikan zakat dan tidak takut kecuali kepada Allah SWT. Antara tafsir dan perincian ayat ini dalam Tafsir al-Baydhawi menyenaraikan aktiviti imarah masjid terdiri daripada menghiasi masjid dengan hamparan dan menyinarinya dengan lampu, sentiasa menghidupkannya dengan sentiasa beribadah, zikir, sesi pengajian ilmu dan menghindari aktiviti yang tidak selari dengan tujuan pembinaan masjid.
Masjid Quba merupakan masjid pertama yang dibina oleh Baginda Rasulullah SAW dalam sejarah kenabiannya. Walau bagaimanapun, Masjidil haram merupakan masjid yang pertama dibina oleh Nabi Ibrahim dalam sejarah umat manusia dan Masjidil Aqsa adalah yang kedua. Ia berdasarkan hadis di mana Abu Zar pernah mengajukan soalan kepada Rasulullah SAW: wahai Rasulullah! masjid manakah yang pertama dibina atas muka bumi ini? Baginda menjawab: Masjidil Haram. Aku bertanya lagi: kemudian masjid mana? Baginda menjawab: kemudian Masjid al-Aqsa. Aku bertanya lagi: berapa jarak antara keduanya? Baginda menjawab: empat puluh tahun. (Sahih al-Bukhari: 3366).
Dewasa ini, tradisi umat Islam terdahulu yang berlumba-lumba membina masjid di atas muka bumi tidak kira di benua mana sekalipun masih diteruskan, hatta berdekatan Kutub Utara di Kanada terdapat masjid The Midnight Sun, Nurd Kamal di utara Rusia, dan Islamsk Kultursenter i Nordland di Bodo, Norway. Berdasarkan Portal Masjid Malaysia, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), terdapat 6,808 buah masjid dan 18,363 surau di seluruh negara pada Februari 2024. Masjid-masjid di Malaysia telah berfungsi sebagai hub ibadah, pendidikan dan sosialisasi masyarakat Islam.
Portal Masjid Malaysia menunjukkan pilihan bidang ilmu untuk aktiviti takmir ada enam kesemuanya; Tafsir, Hadis, Aqidah, Tasawuf, Fiqh dan al-Quran. Namun, pemerhatian yang dilakukan mendapati bahawa bidang ilmu tidak terhad kepada ilmu naqli semata-mata, malah terdapat masjid yang turut menjemput pakar kesihatan mengisi slot kuliah maghrib dengan ilmu aqli bagi manfaat jemaah. Selain daripada itu, terdapat pelbagai aktiviti sampingan bersempena hari-hari istimewa dalam Islam seperti sambutan hari raya, Maulidur Rasul, program korban Aidil Adha pada bulan Zulhijjah, berkhatan, sambutan Maal Hijrah dan lain-lain.
Malah program kebajikan seperti menderma darah dan gotong royong sering diadakan dari semasa ke semasa di beberapa buah masjid. Program-program dan aktiviti ini telah menyuburkan hubungan persaudaraan sesama jemaah dan hadirin tidak keseorangan dalam mengerjakan ibadah wajib dan sunat. Kerjasama yang erat telah dipupuk dalam kalangan masyarakat setempat. Kreativiti pihak pengurusan masjid dalam memenuhi keperluan setempat terserlah apabila negara ditimpa pandemik COVID-19. Gerobok rezeki diwujudkan bagi membantu meringankan beban jemaah yang kehilangan kerja dan berdepan dengan krisis kewangan.
Kesimpulannya, pihak pengurusan masjid memainkan peranan penting dalam kelestarian institusi masjid agar terus teguh sebagai hub ibadah, pendidikan dan sosialisasi masyarakat Islam.
Penulis merupakan Profesor Madya di Jabatan Sejarah dan Tamadun Islam, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, dan boleh dihubungi di aizan@um.edu.my