4 December 2024

Kos pengurusan penjara dan alternatif Islaminya

Featured

Beyond the blessing

By Dr Cherish How As the Year of the Dragon...

Elak terperangkap dengan cinta ekspres

Oleh: Dr. Norsafatul Aznin binti A. Razak Dalam era moden...

Memperkasa mereka

Kesihatan mental remaja adalah salah satu aspek yang penting...

Algorithms of abuse

By Dr. Haezreena Begum Abdul Hamid Human trafficking is the...

Getting them on

By Ts Elman Mustafa El Bakri As 2024 draws to...

Share

Oleh: Dr. Siti Aisyah Samudin, Dr. Mohd Shahid Mohd Noh

Hukuman penjara dalam Islam bukanlah satu bentuk hukuman yang asing. Ia diletakkan di bawah kategori hukuman takzir apabila melibatkan kesalahan-kesalahan selain hudud atau melibatkan kesalahan hudud namun hukumannya tidak dapat dilaksanakan berikutan wujud halangan-halangan tertentu. Hukuman penjara turut dinyatakan di dalam al-Quran menerusi kisah Yusuf AS melalui firman Allah SWT:

“Dan Yusuf berkata kepada orang yang diketahuinya akan selamat di antara mereka berdua: Jelaskan keadaanku kepada tuanmu. Maka syaitan menjadikan dia lupa menerangkan (keadaan Yusuf) kepada tuannya (kerana itu, tetaplah Yusuf) dalam penjara beberapa tahun lamanya.” (Surah Yusuf: 42).

man in gray jacket sitting beside window
Hukuman penjara bukanlah sesuatu yang asing di dalam Islam (Gambar hiasan dari Unsplash)

Zaman Rasulullah SAW memperlihatkan hukuman penjara dengan sistem yang amat ringkas tanpa tempat tahanan khusus. Pesalah juga hanya diikat di kawasan sekitar masjid yang mempunyai tiang atau pagar. Sistem hukuman penjara menunjukkan perubahan pada zaman Umar al-Khattab RA. Pada zaman beliau, telah diwujudkan penjara pertama di kawasan Makkah iaitu rumah kediaman Safwan bin Umayah yang dibeli dengan harga 4000 dirham. Ali bin Abi Thalib RA dalam pemerintahannya turut membina tempat tahanan dikenali sebagai Penjara Nafi’. Namun, kerana binaannya yang kurang kukuh telah menyebabkan ramai tahanan melarikan diri. Selepas itu, dibangunkan semula penjara dikenali sebagai Mukhayyis dan disebut sebagai bangunan penjara pertama dalam sejarah Islam.

Seiring perkembangan masa dan pertambahan bilangan masyarakat, interaksi sosial semakin giat merentasi sempadan negara. Dari aspek jenayah, muncul istilah-istlah baharu bagi menerangkan bentuk-bentuk kesalahan dan hukuman yang bakal dikenakan merangkumi kesalahan tort, kecuaian, kesalahan di bawah jenayah syariah dan beragam lagi tindakan lain yang dianggap sebagai satu kesalahan di bawah undang-undang. Kebanyakan kesalahan di bawah undang-undang di Malaysia memperuntukkan hukuman yang boleh membawa kepada denda atau penjara atau sebatan.

Bagi kesalahan berat yang diperuntukkan di bawah Kanun Keseksaan, rata-rata pesalah yang dituduh di mahkamah didapati lebih gerun terhadap hukuman sebatan berbanding hukuman penjara menyebabkan kebanyakan mereka lebih memilih untuk dikenakan hukuman penjara lebih lama berbanding bilangan sebatan yang tinggi dalam rayuan mitigasi. Begitu juga penetapan hukuman di bawah Akta Mahkamah Syariah Bidangkuasa Jenayah 1965 yang memberi kuasa kepada Hakim Syarie untuk menjatuhkan hukuman penjara maksimum 3 tahun bagi pesalah jenayah syariah.
Situasi ini mengakibatkan berlakunya lambakan banduan dalam tahanan di penjara seluruh negara sekaligus memberi impak kepada peningkatan kos pengurusan dan penyelenggaraan banduan.

Mengenai jumlah banduan sedia ada, statistik terkini pada Mac 2022 merekodkan seramai 70,570 penghuni membabitkan 56,068 banduan direkodkan di 39 penjara di seluruh negara, manakala bakinya penghuni di pusat pemulihan dan pusat tahanan lain. Statistik ini menyaksikan lebihan kapasiti tahanan hampir 10,000 penghuni berbanding kapasiti maksimum kira-kira 63,000 orang di semua institusi di bawah pengurusan Jabatan Penjara.

Jumlah anggaran belanjawan mengurus sektor Kepenjaraan dan koreksional ialah sebanyak RM 1.019 billion yang menyamai jumlah belanja mengurus dua IPT di Malaysia. Peningkatan OPR dan inflasi yang berlaku pada di era pasca pandemik ini juga memberi kesan kenaikan pada belanjawan mengurus sektor tersebut. Penyaluran bajet sedemikian mungkin lebih produktif sekiranya di salurkan ke sektor-sektor yang lebih memerlukan dan mendatangkan hasil.

Perbelanjaan makin meningkat setiap hari dengan mengambil kira kos makanan dan penyelenggaraan lain yang juga semakin meningkat. Walau telah banyak yang disumbang oleh kerajaan di dalam usaha uintuk mengurang bajet tersebut dengan memperkenalkan beberapa skim pemulihan luar tembok, jumlah yang diperuntukkan untuk sektor yang dilihat ‘sakit’ atau tidak produktif itu terlalu membebankan.

Contohnya, jika 1 billion digunakan ke sesebuah IPT, jumlah tersebut dijangka mampu memberikan pulangan kepada negara dengan penghasilan graduan, pelajar dan staf akademik yang menyumbang kepada negara. Persoalannya, adakah jumlah wang yang sama itu berbaloi untuk disalurkan kepada banduan.

Secara dasarnya, kerajaan perlu menyediakan bagi kategori ini satu peluang pendidikan untuk mengoreksi kesilapan mereka dan mampu untuk kembali ke pangkuan masyarakat dengan identiti dan imej yang baharu. Namun setakat ini sejauh manakah bajet tersebut dapat menunjukkan keberhasilan.

Di Amerika pula, penjara swasta diwujudkan dan terbukti berkesan mengurangkan 10 peratus kadar pusingan modal pengurusan penjara seluruh Amerika yang asalnya berjumlah USD 74 billion. Melihat kepada modal pusingan pihak penjara menunjukkan bahawa penjara di negara barat itu amat produktif di dalam menghasilkan produk. Penjara di Amerika lebih memikirkan bagaimana mereka boleh menjana pendapatan menerusi penjara. Oleh yang demkian, mereka mengenakan pelbagai bayaran kepada banduan serta peluang pekerjaan di dalam penjara bagi menjadikannya penjara lyang ebih produktif terutamanya ketika menggunakan duit cukai yang dibayar rakyat. Kenaikan kos yang sama juga berlaku di United Kingdom di mana GBP 5.64 billion telah digunakan bagi menguruskan sistem kepenjaraan di negara barat tersebut.

brown wooden building under blue sky during daytime
Kos pengurusan penjara adalah tinggi (Gambar hiasan dari Unsplash)

Solusi Islam

Bayaran pampasan bagi kesalahan cuai

Cadangan pembayaran pampasan oleh pesalah terus kepada mangsa bagi kesalahan tanpa niat tidak memerlukan pesalah untuk diberi hukuman tambahan seperti hukuman penjara. Sebagai contoh, hukuman penjara boleh dikenakan sekiranya pesalah memandu dalam keadaan mabuk, di bawah pengaruh dadah atau alkohol dan sebagainya sehingga mengakibatkan kemalangan berlaku. Pun demikian, pihak pesalah yang mengakibatkan kemalangan semata-mata atas kecuaian seperti terjatuh, jalan raya yang licin dan sebagainya, maka penetapan nilai diyat sudah cukup menjadi hukuman ke atas mereka.

Selain itu, hukuman penjara seperti yang diamalkan oleh sistem perundangan sekarang tidak dinafikan memberi impak ke atas pesalah yang cuai mengakibatkan kemalangan. Namun demikian, impak tersebut bukan hanya dirasai oleh pesalah tetapi juga tanggungan mereka. Hal ini mengakibatkan rantaian pihak yang perlu diberi perhatian semakin panjang. Sekiranya pesalah ialah ketua keluarga atau orang yang memberi sumbangan dalam keluarga, hukuman penjara ke atas mereka sudah tentu memberi impak negatif kepada waris atau tanggungan. Hal ini menyebabkan fokus dan matlamat utama ganti rugi ke atas mangsa sedikit lari apabila ada kelompok lain yang terjejas iaitu pihak yang ditanggung pesalah.

Pemenjaraan dalam komuniti

Solusi yang mengambil kira peranan dan sumbangan semula banduan kepada masyarakat.

Sistem parol

Sistem yang berasaskan pelepasan banduan secara lesen dan program reintegrasi penghuni bagi pesalah jenayah ringan namun perlu pinda dahulu perintah kehadiran wajib (PKW). Dalam usaha mengusulkan Rang Undang-Undang (RUU PKW) untuk memasukkan hukuman alternatif pemenjaraan.

Hukuman Jalan Terakhir

Islam adalah agama pendidikan yang membina sahsiah manusia menerusi penerapan nilai-nilai yang baik bermula dari mereka dilahirkan hinggalah hujung hayat. Pendidikan di awal usia amatlah penting bagi memandu seseorang itu ke arah kebaikan disamping membina kekuatan diri dari terjebak ke dalam aktiviti yang merosakkan diri.
Pendidikan di awal usia yang mantap akan mewujudkan generasi dan persekitaran yang baik sekaligus berperanan di dalam membudayakan nilai-nilai murni dalam masyarakat.

Pembudayaan tersebut juga adalah satu pendidikan yang membentuk gaya hidup, berfikir dan berinteraksi sesama ahli masyarakat yang bakal menobatkan mereka sebagai masyarakat yang bertamadun. Ia sudah pasti memerlukan pelaburan yang besar sebagaimana yang dapat dilihat menerusi pembinaan infrastruktur pusat-pusat pendidikan bagi tujuan tersebut. Sebaliknya, jika misi ini gagal, pasti kos yang besar pula diperlukan untuk proses ‘hukuman’ dan ‘pendidikan di lewat usia’ atau penjara yang kita ketahui pada hari ini.

Dr. Siti Aisyah Samudin merupakan Pensyarah Kanan di Jabatan Syariah dan Undang-undang; manakala Dr. Mohd Shahid Mohd Noh merupakan Ketua, Jabatan Syariah dan Ekonomi, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya.