Oleh: Prof. Madya Dr. Mohd. Anuar Ramli
Masyarakat majmuk terbentuk di Malaysia melalui sejarah yang panjang. Ia merupakan ciri keunikan tempatan kerana kejayaan menghasilkan miniatur Asia yang mempunyai komposisi pelbagai bangsa utama Asia seperti Melayu, Cina dan India. Takdir sejarah ini perlu diterima dan diperkasakan dari semasa ke semasa. Ini disebabkan unsur agama dan kaum menjadi pemicu utama konflik dalaman sesebuah negara. Perpaduan yang dipupuk selama ini akan menjadi abu berterbangan jika api keagamaan dan perkauman terus ditiup sepanjang masa. Pihak yang menjadi provokator perlu dibasmi dari masyarakat kerana ia menjadi agen perpecahan dalam masyarakat majmuk di Malaysia.
Pada asasnya, umat manusia berasal dari keturunan Nabi Adam dan Hawa, kemudiannya berkembang biak sehingga terbentuknya keragaman bangsa dan etnik di samping berbagai keyakinan agama. Keragaman ciptaan ini adalah sunnatuLlah yang perlu dihadapi dengan kematangan. Malah, tujuan penciptaan ini selari dengan firman Allah SWT, dalam surah al-Hujurat, ayat 13 yang bermaksud:
Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu).
Berdasarkan ayat di atas, hikmah di sebalik kepelbagaian ini adalah supaya mereka saling kenal mengenali di antara satu sama lain (ta’aruf). Ini disebabkan asas hubungan manusia adalah perdamaian, bukan konflik kerana mereka makhluk sosial yang madani. Ia bermakna tiada seorang pun manusia yang mampu hidup sendiri. Mereka juga makhluk yang hidup bermasyarakat dan beradab. Dengan itu, setiap manusia berpotensi untuk berkomunikasi, berinteraksi dan bersosial dengan manusia lain dalam tataran kesopanan dan kesantunan sosial yang diatur dalam masyarakat.
Dalam masa yang sama, manusia juga makhluk homo festivus, iaitu makhluk yang menyukai sambutan perayaan, festival, pesta dan keramaian. Dengan itu mereka melaksanakan pelbagai amalan, upacara dan ritual bagi menikmati sambutan yang diadakan serta manifestasi rasa keberagamaan dan kebersamaan. Ia juga adalah selaras dengan kepercayaan, pegangan dan pantang larang masing-masing. Tidak kurang juga, wujudnya unsur peminjaman budaya antara satu sama lain. Jelasnya, di sinilah perlunya kepada usaha tafahum, iaitu saling faham memahami bagi mewujudkan persefahaman dan ikatan di antara satu sama lain.
Dalam meraikan sambutan perayaan dalam masyarakat majmuk di Malaysia, dapat dilihat keraian yang penuh warna warni. Ia melibatkan sambutan yang berbentuk keagamaan dan tradisi budaya. Di antara bentuk sambutan ini adalah pembakaran mercun dan main meriam buluh ketika malam perayaan. Pada masa ini aktiviti pembakaran mercun melibatkan hampir semua perayaan utama di Malaysia. Umpamanya, perayaan Aidil fitri dan Adha oleh orang Melayu, sambutan Tahun Baru Cina, Phai Thien Kong dan Chap Goh Mei oleh orang Cina, Deepavali oleh orang India dan Krismas oleh penganut Kristian. Selain itu, terdapat juga sambutan yang melibatkan perarakan di jalan dan rumah ibadat. Umpamanya sambutan Maal hijrah dan Maulidurrasul oleh orang Islam, perayaan Sembilan Maharaja Dewa oleh penganut Taoisme, perarakan kavadi ketika sambutan Thaipusam oleh penganut Hindu dan perarakan lilin ketika Festival St. Anne oleh penganut Kristian Katolik.
Tindakan pembakaran mercun dan perarakan keagamaan ini boleh menimbulkan ketegangan antara kaum dan agama sekiranya tidak ada tolak ansur antara tiap penganut agama. Di sinilah pentingnya pendekatan tasamuh, iaitu saling bertoleransi dalam kehidupan umat beragama. Setiap pihak perlu memainkan peranan dalam membentuk budaya toleransi dalam masyarakat majmuk di Malaysia. Selaras dengan itu, setiap pihak tidak boleh melampaui batasan dan undang-undang negara. Sikap ekstrem boleh menjejaskan keharmonian bersama.
Sebagai bangsa beragama, setiap pihak tidak tidak boleh memaki dan menghina sembahan serta perayaan pihak yang lain. Ini disebabkan tindakan ini boleh mengundang ketegangan sosial, mencetuskan konflik dan menambah jurang perpecahan dalam masyarakat majmuk di Malaysia. Dalam surah al-An’am, ayat 108, Allah SWT berfirman yang bermaksud:
Dan janganlah kamu cerca benda-benda yang mereka sembah yang lain dari Allah, kerana mereka kelak, akan mencerca Allah secara melampaui batas dengan ketiadaan pengetahuan. Demikianlah Kami memperelokkan pada pandangan tiap-tiap umat akan amal perbuatan mereka, kemudian kepada Tuhan merekalah tempat kembali mereka, lalu Ia menerangkan kepada mereka apa yang mereka telah lakukan.
Berdasarkan ayat di atas, umat Islam dilarang untuk mencaci sembahan agama lain kerana ia boleh menyebabkan reaksi pihak lain yang akan mencaci agama umat Islam. Larangan tegas ini bertujuan untuk menjaga keamanan sosial dalam kalangan umat beragama. Namun begitu, perlu digarisbawahi bahawa larangan ini tidak membawa kepada keredhaan dengan perkara yang bertentangan dengan Syarak. Sebaliknya, ia adalah batasan toleransi dalam kehidupan bersama.
Sehubungan dengan itu, proses membina bangsa Malaysia yang madani atau beradab merupakan usaha kolektif setiap pihak dalam masyarakat majmuk di Malaysia. Pendekatan Ta’aruf, Tafahum dan Tasamuh merupakan komponen penting yang perlu disuburkan dalam interaksi makhluk sosial bagi mewujudkan kelestarian dan keharmonian bersama untuk membentuk bangsa Malaysia madani yang bersatu padu.

Penulis merupakan Professor Madya di Jabatan Fiqh dan Usul, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya. Penulis boleh dihubungi di mohdanuar@um.edu.my