17 March 2025

Merungkai kos diabetes di Malaysia

Featured

Dia

Oleh Mohd Anuar Ramli Perempuan merupakan makhluk yang istimewa, diciptakan...

His (trade) war

By Goh Lim Thye The Trump administration’s trade war with...

Menyantuni mereka

Dalam dunia pendidikan, setiap pelajar berhak mendapat peluang untuk...

Our symbol

By Sheila Ramalingam In a landmark decision that intertwines national...

Eco-Guide cultivates environmental awareness

As environmental concerns continue to grow globally, fostering sustainability...

Share

Malaysia mempunyai obsesi yang luar biasa terhadap penciptaan rekod – sama ada yang terpanjang, terbesar, mahupun tertinggi. Namun, suatu rekod yang sangat pahit untuk ditelan ialah Malaysia mempunyai rekod kadar obesiti dan berat badan berlebihan tertinggi di kalangan negara Asia.

Salah satu daripada natijahnya ialah menurut Kaji Selidik Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2019, seorang daripada lima rakyat atau 20% daripada Malaysia yang berusia 18 tahun ke atas menghidap diabetes jenis dua (T2DM).

Bahkan prevalen ini dijangka meningkat kepada 31.3% menjelang 2025. Dalam erti kata lain, dalam masa kurang dari lima tahun lagi, seorang daripada tiga orang dewasa Malaysia bakal menghidap diabetes jenis dua.  

Apa itu diabetes? Diabetes adalah keadaan apabila paras gula atau glukosa dalam darah lebih tinggi daripada paras normal yang berpunca daripada kekurangan hormon insulin dalam badan atau peningkatan rintangan badan terhadap insulin.

white digital device beside white pen

Secara umumnya, diabetes terbahagi kepada dua jenis. Diabetes jenis satu berlaku apabila pankreas tidak berupaya menghasilkan insulin kerana sel-sel yang menghasilkan insulin telah dirosakkan oleh sistem imun tubuh sendiri, dan ini biasanya memerlukan rawatan suntikan insulin.

Manakala diabetes jenis dua pula merujuk kepada insulin tidak sensitif yang sedia ada dalam badan pesakit dan biasanya terjadi kepada mereka yang mempunyai sejarah diabetes dalam keluarga.

Walau bagaimanapun, diabetes jenis dua boleh dirawat dengan ubat-ubatan dalam bentuk pil ataupun gabungan bersama rawatan insulin. Menurut WHO, 90% pesakit diabetes di segenap dunia menghidap diabetes jenis dua.

Umum mengetahui akan impak penyakit diabetes terhadap tahap kesihatan seseorang penghidapnya. Namun begitu, aspek yang agak jarang diwacanakan ialah kos kewangan yang perlu ditanggung berkaitan penjagaan kesihatan bagi pesakit diabetes di Malaysia.

Pada tahun 2010, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah membelanjakan hampir RM2 bilion berkaitan pengurusan penyakit diabetes di negara ini. Manakala pada tahun 2019, KKM menyatakan bahawa jumlahnya telah mencecah RM3.2 bilion.

Dalam tempoh kurang dari sedekad, beban kewangan pengurusan berkaitan diabetes di negara ini telah meningkat sebanyak hampir 70%. Malahan beban pengurusan kewangan ini pada tahun 2019 sahaja telah melebihi 10% daripada peruntukan tahunan KKM.

Tanggungan kewangan berkaitan diabetes boleh dikategorikan kepada kos langsung dan kos tidak langsung. Sebagai contoh, penjagaan pesakit diabetes jenis dua melibatkan kos langsung seperti penggunaan sumber kesihatan seperti ubat-ubatan, khidmat pesakit dalam dan luar wad.

Manakala kos tidak langsung pula melibatkan kehilangan monetari (berkaitan dengan wang) yang disebabkan ketidakupayaan dan kematian, perbelanjaan pergi-balik ke hospital, kos penjagaan gizi dan nutrisi, dan kehilangan produktiviti dan pendapatan.

Menurut kajian bersama yang dijalankan oleh KKM dan WHO yang bertajuk ‘Penyakit Tidak Berjangkit dan Faktor Risikonya Terhadap Keluaran Dalam Negara Kasar Malaysia,’ kos kehilangan produktiviti yang berpunca daripada kematian berkaitan penyakit diabetes dianggarkan mencecah RM1 bilion.

Selain itu, diabetes merupakan penyumbang terbesar kepada ketidakhadiran atau absenteeism sebanyak 7.9 juta hari bekerja. Kehilangan monetari berpunca daripada ketidakhadiran ini bersamaan dengan RM1.35 bilion.

Malah, laporan yang sama juga menyorot suatu lagi fenomena yang begitu jarang disingkapi iaitu “presenteeism” iaitu kehilangan produktiviti yang berlaku apabila seorang pekerja yang tidak bekerja pada keupayaan penuh disebabkan diabetes.

KKM dan WHO menganggarkan “presenteeism” yang disebabkan diabetes telah mengakibatkan kehilangan produktiviti bernilai RM4.3 bilion.

Selain daripada kehilangan produktiviti, diabetes juga meletakkan beban kesihatan yang serius kepada negara akibat hilang upaya dan kehilangan tahun hidup sihat atau beban kos penyakit dianggarkan sekitar RM5.7 bilion.

Sebagai perbandingan, beban kos penyakit diabetes ini jauh lebih tinggi berbanding dengan penyakit kardiovaskular atau berkaitan jantung dan saluran darah (RM2.9 bilion) dan kanser (RM357 juta).

Nilai Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sewaktu penerbitan laporan di atas (2017) ialah RM1.4 bilion dan beban kos penyakit ini bersamaan dengan 0.4% daripada KDNK negara. Untuk konteks, beban kos penyakit sebanyak RM5.7 bilion ini juga empat kali ganda besar daripada peruntukan perbelanjaan pembangunan bagi KKM bagi tahun 2017 (RM1.3 bilion).

Menurut Wakil WHO Malaysia, Dr Lo Ying-Ru Jacqueline, “Setiap kehilangan upaya dan kematian pramatang dari penyakit tidak berjangkit (termasuklah diabetes) ialah suatu tragedi kerana kita memaklumi ianya boleh dielakkan.”

Justeru, beban kewangan berkaitan diabetes sama ada secara langsung dan tidak langsung kepada negara seharusnya menyedarkan betapa kita memerlukan penggemblengan keseluruhan ketumbukan jentera penyampaian kerajaan, pertubuhan swadaya (NGO) dan pemegang taruh terpenting iaitu masyarakat terbanyak demi menyelamatkan nyawa rakyat Malaysia.

sliced fruit and vegetables
Pemakanan sihat antara senjaa ampuh untuk melindungi diri dari diabetes – GAMBAR HIASAN

Kerajaan Malaysia telah pun menyahut cabaran ini melalui peluncuran Pelan Strategik Kebangsaan bagi Penyakit Tidak Berjangkit 2016-2025 serta strategi dan rancangan negara yang berkaitan demi mengurangkan faktor risiko berkaitan penyakit tidak berjangkit termasuklah diabetes.

Malahan, demi memastikan kelestarian masa depan negara, kita sebagai rakyat Malaysia juga perlu membuat perubahan swasadar melalui gaya hidup yang lebih sihat demi mengurangkan beban kewangan berkaitan penyakit diabetes.

Sebagai ilustrasi, pembinaan Hospital Pasir Gudang yang dijangka siap menjelang 2024 bakal menelan belanja sebanyak RM375 juta. Sekiranya penggemblengan tenaga kita berjaya mencapai pengurangan kos pengurusan penyakit diabetes sebanyak 12% (RM384 juta), kita sebenarnya sudah pun mampu membina sebuah lagi hospital yang baharu di negara ini.

Menarik rekod kita yang ini, bukan?

Penulis merupakan Pensyarah Kanan di Jabatan Kewangan, Fakulti Perniagaan dan Ekonomi, Universiti Malaya, dan boleh dihubungi di zaidizabri@um.edu.my