Mempelam harumanis sememangnya terkenal sebagai salah satu produk pertanian dari negeri Perlis. Musim berbuahnya yang singkat, sekitar bulan April dan Mei setiap tahun, menjadikannya antara tumpuan penyelidik yang ingin membantu pengusaha tanaman ini melipat gandakan keluaran mereka.
Baru-baru ini, sekumpulan penyelidik dari Institut Sains Biologi, Fakulti Sains, Universiti Malaya telah menganjurkan sebuah bengkel dan perkongsian maklumat mengenai kelebihan penggunaan biochar di dalam proses penanaman mempelam harumanis.
Program yang dianjurkan dengan kerjasama Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) Perlis dan Pertubuhan Peladang Kawasan di Arau, Perlis telah disertai oleh 30 orang pengusaha lading harumanis dan penduduk setempat.
“Program ini antara lainnya bertujuan untuk berkongsi dapatan dari geran penyelidikan kami kepada orang awam, terutamanya pengusaha harumanis di Perlis,” kata Dr. Rosazlin Abdullah, ketua kumpulan penyelidik UM.
Menurutnya lagi, biochar yang dihasilkan daripada proses pembakaran pirolisis sisa pertanian dan hutan adalah organik dan mesra alam. “Oleh kerana ruang rongga dan pori biochar yang besar, serta permukaannya yang luas, biochar mampu ‘memegang’ baja kimia dan seterusnya melambatkan pelepasan molekul baja ke tanah dan udara,” terang Dr. Rosazlin lagi.




Menariknya, program ini juga bersifat dua hala, di mana pihak MARDI turut berkongsi kemahiran dan kaedah penanaman dan pengurusan ladang mempelam harumanis berskala besar. Para peserta telah didedahkan dengan teknik memangkas pokok harumanis dengan betul, kerana ia memberi kesan kepada kerimbunan pokok dan penghasilan bunga kelak.
“Sisa ranting dan daun pokok yang dipangkas pula telah dijadikan biochar oleh pihak penyelidik UM, menggunakan kaedah pirolisis yang hanya menggunakan oksigen yang minimum, dan kurang menghasilkan asap.
Para pengusaha ladang bukan sahaja dapat menjimatkan kos baja dengan menggunakan biochar, malah turut berperanan mengurangkan pencemaran alam,” kata Pegawai Penyelidik MARDI Perlis, Zul Helmey Mohamad Sabdin, 31, yang turut menyertai program ini.
“Kaedah penanaman dan pengurusan harumanis yang didedahkan semasa program ini sangat brenilai kepada pengusaha harumanis seperti saya. Selain mengurangkan kos penanaman melalui penggunaan biochar yang dihasilkan sendiri, kini saya juga tahu yang petani seperti kami juga mampu menyelamatkan alam sekitar,” kata Roslan Ibrahim, 61, salah seorang peserta program.

“Adalah menjadi tanggungjawab penyelidik untuk sentiasa mencari penyelesaian kepada komuniti, termasuklah kaedah bagi mengatasi masalah penggunaan baja kimia. Kebaikan biochar telah terbukti berdasarkan kajian-kajian yang kami jalankan.
Melalui amalan pertanian yang baik, semua pihak mampu menjamin kelestarian tanah, pertanian dan alam sekitar dan akhirnya bersama-sama merealisasikan agenda Matlamat Pembangunan Mampan (SDGs) yang digariskan oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB),” kata Dr. Rosazlin mengakhiri temubual.

Maklumat lanjut mengenai program ini boleh didapati melalui Dr. Rosazlin Abdullah di rosazlin@um.edu.my