15 April 2024

Peranan teknologi AI dalam mencegah kebakaran hutan

Featured

Malaysia yang bagaimana akan kita tinggalkan kepada mereka?

Barangkali timbul persoalan pada benak sesetengah insan, cukup Muslimkah kita ini apabila mampu menunjukkan kemarahan dalam setiap isu yang berkaitan dengan agama sendiri?

Is it not a trial for us too?

Yet, our brothers and sisters in Palestine, the esteemed land of the prophets and the Night of Ascension of Prophet Muhammad to the heavens, as described in the Quran: “Glory be to the One Who took His servant Muhammad by night from the Sacred Mosque to the Farthest Mosque whose surroundings We have blessed, so that We may show him some of Our signs” (Surah al-Isra, 17: 1), deserve our solidarity.

15 tip berhari raya penuh adab dan etika

Tarikh 1 Syawal disambut setiap tahun dengan penuh meriah demi meraikan kemenangan umat Islam seluruh dunia. Hari Raya Aidilfitri merupakan sambutan meraikan kemenangan dalam melawan musuh nombor satu – hawa nafsu. Jihad melawan nafsu ini dibantu dengan senjata-senjata ibadat yang hebat, terutamanya puasa – dengan menahan diri dari lapar dan dahaga serta perbuatan yang boleh membatalkannya dari terbit fajar sehingga terbenamnya matahari selama kurang lebih 30 hari.

Berilah kepada mereka yang benar-benar berhak

Bulan Ramadan menjanjikan pahala yang berlipatganda kepada umat Islam tanpa mengira sama ada ia adalah amalan yang wajib atau sunat. Umumnya terdapat pelbagai amalan sunat yang digalakkan ketika bulan Ramadan seperti membaca al-Quran, berzikir, solat sunat, bersedekah dan pelbagai amalan kebajikan lain.

Jadikan Ramadan refleksi perpaduan masyarakat majmuk Madinah

Kedatangan bulan Ramadan sememangnya dinantikan oleh umat Islam saban tahun lantaran begitu banyak keistimewaan dan kemuliaan yang dijanjikan bersamanya. Namun, tidak semua dari kita berkesempatan bertemu dengan Ramadan seterusnya. Barangkali tahun ini adalah peluang terakhir untuk kita nikmati keindahan bulan Ramadan. Justeru, sebagai umat Islam kita mestilah memanfaatkan sebaik mungkin bulan Ramadan dengan memperbanyakkan dan menggandakan amalan kebaikan.

Share

Oleh: Prof Madya Dr Mohd Asyraf Zulkifley, dan Prof Madya Dr Mohd Edil Abd Sukor

Tahun ini pakar meteorologi meramalkan perubahan iklim yang tidak menentu akan berlaku di rantau Asia Tenggara termasuk Malaysia.

Keadaan ini dikatakan berkait rapat dengan perubahan suhu antara lautan dan atmosfera atau turut dikenali sebagai fenomena El Nino dan La Nina yang sekali gus boleh menyebabkan cuaca panas melampau. Fenomena ini juga akhirnya menatijahkan bencana jerebu serta kebakaran hutan dan belukar.

Pada Mac 2021, beberapa kawasan hutan di Kuantan, Pekan dan Rompin, Pahang dilaporkan terbakar disebabkan oleh cuaca panas yang berpanjangan. Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dilaporkan mengambil masa hampir seminggu untuk memadamkan kebakaran tersebut dengan kekuatan seramai 200 anggota dan pegawai dalam membantu operasi pemadaman.

Keadaan yang sama turut berlaku di Sarawak pada Ogos 2019 di mana lebih dari 370 kes kebakaran hutan dan belukar dilaporkan akibat dari cuaca panas dan kemarau yang berpanjangan.

Kebakaran hutan secara besar-besaran dan tidak terkawal ini memberikan kesan buruk kepada negara seperti masalah kesihatan, kerugian hasil dan produktiviti, kemusnahan hidupan liar dan tanaman serta pencemaran alam.

Oleh yang demikian, pihak berwajib perlu memfokuskan pada langkah pencegahan seperti mengenal pasti kawasan titik panas yang berpotensi mencetuskan kejadian kebakaran hutan. Langkah ini boleh mengurangkan kesan buruk akibat dari bencana yang boleh memberi kerugian besar secara nyata mahupun tidak nyata kepada negara.
Sebagai contoh, menurut Jabatan Perhutanan Sabah, kebakaran hutan simpan di Sabah pada musim kemarau pada tahun 2016 sahaja telah mengakibatkan kerugian sebanyak RM100 juta!

Kajian menunjukkan bahawa pemetaan bahan bakar merupakan elemen terpenting di dalam penentuan potensi serta risiko kebakaran hutan, selain dapat membantu di dalam simulasi pergerakan serta intensiti api dalam sesebuah kebakaran.

Pemetaan bahan bakar ini memerlukan proses yang sangat kompleks bermula dengan cerapan di lapangan, pemprosesan imej, pembangunan pangkalan data dan pengelasan bahan bakar.

Hasil pengelasan bahan bakar ini kemudiannya dapat dijadikan panduan serta amaran awal untuk pengurusan kebakaran hutan.

Buat masa ini, proses menghasilkan imej cerapan untuk pemetaan bahan bakar di Malaysia dilakukan dengan menggunakan teknologi dron ataupun satelit. Melalui imej cerapan yang dihasilkan, pembangunan pangkalan data dan pengelasan bahan bakar kebiasaannya akan dilakukan secara manual.

Walau bagaimanapun, proses pemetaan secara manual ini memakan masa sekurang-kurangnya 2 hari untuk memetakan kawasan seluas 600km2 dan sering memberikan hasil yang tidak konsisten serta kurang jitu. Hal ini menjejaskan keberkesanan dalam mencegah kebakaran hutan di kawasan-kawasan titik panas.

Sebagai alternatif, pihak berkuasa tempatan kini boleh mempertimbangkan untuk melakukan pemetaan bahan bakar secara automatik melalui teknologi kecerdasan buatan (AI). Selain itu, teknologi AI mampu menggunakan imej-imej yang dihasilkan oleh satelit dengan pantas dalam memetakan kawasan titik panas secara tepat dan konsisten.

Dengan teknologi AI juga, pihak berkuasa boleh mengenal pasti tahap keluasan titik panas sesebuah kawasan serta membuat keputusan yang lebih baik berkenaan pencegahan kebakaran hutan. Ini kerana, kawasan hutan atau belukar yang terjejas oleh kebakaran lazimnya berbeza mengikut lokasi dan persekitaran.

Sebagai misalan, kawasan hutan paya gambut lebih mudah terbakar dan cepat merebak kebakarannya berbanding kawasan hutan yang lain. Berdasarkan situasi ini, maklumat yang tepat dan konsisten amat perlu dalam perencanaan pelan pencegahan kebakaran hutan.

Untuk rekod, negara-negara maju yang sering berhadapan dengan bencana kebakaran hutan sudah pun menggunakan teknologi AI ini.

Contohnya di Australia, Syarikat Pano AI yang berpangkalan di San Francisco menawarkan penyelesaian pengesanan kebakaran belukar aktif bersepadu sepenuhnya dengan menggunakan satelit dan AI telah dilanggan oleh kerajaan Australia pada penghujung tahun 2022.

Teknologi ini berupaya mengesan kawasan yang terbakar dengan pantas dan sekali gus membantu pihak berkuasa terutamanya pihak bomba dalam mengenal pasti serta memadamkan kebakaran tersebut sebelum ia merebak dan menjadi ancaman kepada komuniti dan alam sekitar.

Selain itu, teknologi sebegini juga mampu memetakan bencana kebakaran hutan yang kerap berlaku atau berulang mengikut tahun. Di samping itu, keluasan kawasan kebakaran dan perubahan yang berlaku kepada bentuk kawasan terbakar juga dapat direkodkan serta dianalisis secara pintar.

Dalam hal ini, pemetaan bahan bakar berasaskan AI dilihat sebagai teknologi yang sangat berkesan untuk mencegah kebakaran hutan dan patut digunakan di Malaysia, kerana ia boleh membantu mengenal pasti dan bertindak balas terhadap kebakaran dengan pantas serta jitu.

Malahan, negara dapat meminimumkan kos kerosakan langsung mahupun tidak langsung yang berpunca daripada bencana ini.

Walaupun teknologi AI dilihat dapat digunakan di dalam mengumpul, menilai dan mengurus maklumat penting bagi pemantauan, pengesanan, pemadaman dan pencegahan kebakaran hutan secara efisien, ini tidak bermaksud tiada peranan yang perlu dimainkan oleh masyarakat terbanyak untuk mencegah bencana kebakaran hutan ini.

Barang diingat bahawa setiap individu mahupun syarikat supaya bertanggungjawab dan tidak melakukan sebarang tindakan yang boleh memburukkan keadaan sewaktu musim kemarau.

Ini termasuklah membakar kawasan hutan dengan sengaja bagi membolehkan tanaman baru dihasilkan atau membuat sebarang bentuk pembakaran terbuka tanpa kelulusan dari pihak berkuasa.

Ini kerana Jabatan Alam Sekitar boleh menggunakan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 untuk mengenakan denda maksimum sebanyak RM500,000 atau penjara tidak lebih lima tahun ataupun kedua-duanya sekali untuk kesalahan tersebut.

Oleh yang demikian, bersamalah kita menjaga hutan dan alam persekitaran demi kelestarian bumi untuk generasi yang akan datang.


Prof Madya Dr Mohd Asyraf Zulkifley merupakan pensyarah Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina, Universiti Kebangsaan Malaysia dan beliau boleh dihubungi melalui emel: asyraf.zulkifley@ukm.edu.my

Prof Madya Dr Mohd Edil Abd Sukor merupakan pensyarah di Fakulti Perniagaan dan Ekonomi, Universiti Malaya dan beliau boleh dihubungi melalui emel: mohdedil@um.edu.my