Oleh: Dr. Mohd. Shahid Mohd. Noh
Banyak pihak meramalkan pada tahun 2023 ini dunia akan mengalami kemelesetan dan inflasi kesan dan impak dari pemulihan ekonomi dunia selepas pandemik Covid-19. Hal ini dinyatakan oleh Gabenor Bank Negara, Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus bahawa Malaysia akan memasuki fasa mencabar pada tahun 2023 dengan memperlihatkan gangguan pada rantaian pembekalan, ketidaktentuan konflik geopolitik dan pasaran. Beliau juga menambah lagi inflasi yang dijangka lebih tinggi nanti masih menjadi risiko utama dalam memacu pertumbuhan ekonomi terutamanya kepada kuasa beli isi rumah dan aktiviti pelaburan yang lain. Walaubagaimanapun, negara kita tidak dihimpit dengan risiko kemelesetan sebagaimana yang dihadapi oleh negara dunia yang lain.
Laporan prospek ekonomi global yang terkini menjelaskan tiga perkara yang menjadi halangan utama kepada pemulihan dan pertumbuhan ekonomi khusus kepada negara-negara membangun antara lainnya ialah kadar hutang yang tinggi khususnya ketika kerajaan memberi pelbagai ransangan bagi meringankan beban rakyat sewaktu musim pandemik yang lepas. Kedua ialah pasaran komoditi yang tidak menentu menjadikan negara yang bergantung dengannya akan berada dalam kitaran boom and bust sementara yang ketiga pula ialah kesamarataan yang semakin menjurang dengan terutamanya melibatkan akses kepada vaksin, pendidikan dan penjagaan kesihatan serta peluang pekerjaan dan gaji yang semakin mengecil.
Perkara-perkara di atas dilihat sebagai satu cabaran mendatang pada tahun ini yang berkemungkinan sedikit sebanyak mendatang kesan negatif atau mungkin positif kepada penduduk di negara ini.
Usaha Kerajaan
Beberapa inisiatif kerajaan yang dilihat positif dalam membantu rakyat dan negara menangani inflasi ialah dengan penurunan kadar tol di dua lebuhraya Besraya dan Lekas. Selain itu, pengekalan tarif elektrik kepada pengguna domestik dan perusahaan kecil sederhana juga bakal membantu dalam mengurangkan bebas rakyat menghadapi inflasi yang masih tidak menunjukkan tanda penurunan.
Selain itu, jika dirujuk kepada belanjawan negara yang lepas, kerajaan memperuntukkan sejumlah RM 305 juta bagi membantu usahawan belia khususnya di bawah program penyediaan pekerjaan kepada golongan bersasar. Penurunan kadar cukai 2 peratus kepada mereka yang berpendapatan boleh cukai sebanyak RM 100000 boleh dilihat sebagai usaha membantu meringankan beban rakyat selain meningkat kuasa beli mereka.
Hidayah Al-Quran dalam Keadaan Inflasi
Peranan Al-Quran sebagai cahaya yang menunjuki manusia dalam mengharungi hidup ini bukanlah terhad hanya untuk perkara ukhrawi malah kitab mukjizat ini juga membimbing kita tatkala berada dalam kemelut dan konflik. Dalam hal ini, Al-Quran membimbing manusia dalam dua fasa, pertama, fasa sebelum krisis dengan membentuk kesedaran untuk berbelanja dengan berhemah dan berpada-pada.
Allah SWT berfirman dalam Surah al-An’am ayat 141: … Makanlah dari buahnya ketika ia berbuah, dan keluarkanlah haknya (zakatnya) pada hari memetik atau menuainya; dan janganlah kamu melampau (pada apa-apa jua yang kamu makan atau belanjakan); sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang melampau.
Ayat di atas mengandungi beberapa mesej seperti anjuran Allah SWT untuk memanfaatkan pemberiannya, mengeluarkan zakat serta tidak melampaui batas dalam memanfaatkan nikmat Allah SWT. Ayat tersebut juga saling berkaitan dan menyokong ayat 29 Surah al-Isra:
Dan janganlah engkau jadikan tanganmu terbelenggu di lehermu, dan janganlah pula engkau menghulurkannya dengan sehabis-habisnya, kerana akibatnya akan tinggallah engkau dengan keadaan yang tercela serta kering keputusan.
Allah SWT juga mengulangi pesanan dan bimbingan yang sama pada ayat 67 Surah al-Furqaan:
Dan juga mereka (yang diredhai Allah itu ialah) yang apabila membelanjakan hartanya, tiadalah melampaui batas dan tiada bakhil kedekut; dan (sebaliknya) perbelanjaan mereka adalah betul sederhana di antara kedua-dua cara (boros dan bakhil) itu.
Jelas di sini Allah SWT mengajar manusia untuk mensyukuri nikmat kurniaannya dengan penggunaan secara berhemah serta menyalurkan lebihan atau jumlah yang perlu kepada mereka yang berhak dan memerlukan sebagaimana ayat 19 Surah al-Dzaariyaat:
Dan pada harta-harta mereka, (ada pula bahagian yang mereka tentukan menjadi) hak untuk orang miskin yang meminta dan orang miskin yang menahan diri (daripada meminta).
Menerusi beberapa ayat Al-Quran di atas, dapat difahami bahawa setiap kurniaan Allah SWT itu sama ada berbentuk nikmat harta, wang dan sebagainya perlu diuruskan dengan penuh kesederhanaan dan memastikan harta itu tidak hanya dinikmati oleh satu golongan sebaliknya dikongsi bersama menerusi zakat dan sedekah. Justure dua kata kunci utama kepada pengurusan nikmat yang perlu dipelihara ialah kesederhanaan dan perkongsian. Secara kontranya boleh disimpulkan berlebih-lebihan, membazir, penggunaan secara melampau serta tidak berkongsi nikmat seperti kedekut atau bakhil hanya akan menjadikan harta itu semakin sedikit.
Bimbingan Ketika Berada dalam Krisis
Fasa kedua pula Allah SWT menyampaikan panduan bagaimana respon yang perlu dilakukan oleh manusia ketika berada dalam sesuatu konflik. Surah Yusuf AS yang berada dalam Al-Quran mengandungi kisah teladan kepada kita dalam pelbagai peringkat dan keadaan. Juga berlaku dalamnya bagaimana Allah SWT membimbing Nabi Yusuf dalam menguruskan krisis kemarau yang berlaku pada zamannya. Ayat 47 dan 48 Surah Yusuf bermaksud:
Yusuf menjawab: “Hendaklah kamu menanam bersungguh-sungguh tujuh tahun berturut-turut, kemudian apa yang kamu ketam biarkanlah dia pada tangkai-tangkainya; kecuali sedikit dari bahagian yang kamu jadikan untuk makan.
Kemudian akan datang selepas tempoh itu, tujuh tahun kemarau yang besar, yang akan menghabiskan makanan yang kamu sediakan baginya; kecuali sedikit dari apa yang kamu simpan (untuk dijadikan benih).
Kedua-dua ayat ini memandu Nabi Yusuf agar merancang dalam menghadapi krisis yang melanda dengan mengoptimakan sumber yang sedia ada. Sumber yang sedia ada itu pula hendaklah dikawal penggunaannya mengikut kepada keperluan dan etika penggunaan yang sesuai.
Dalam konteks individu hari ini, zaman inflasi adalah kitaran yang pasti berlaku dalam kitaran ekonomi kerana sesetengah ahli ekonomi menganggap inflasi yang berkadar sederhana adalah perlu bagi memacu pertumbuhan ekonomi sesebuah lokaliti. Apa yang perlu dilakukan ialah melaksanakan penggunaan sumber yang optimum dengan mengasingkan perkara keperluan dan kehendak. Hal ini boleh merujuk kepada prinsip doruriyyat (keperluan asasi), hajiyyat (kemestian) serta tahsiniyyat (pelengkap). Perbelanjaan yang berbentuk tahsiniyyat atau semata-mata kehendak boleh dikurangkan tanpa mengabaikan keperluan dan kemestian bagi mengekalkan hidup yang seimbang.
Seterusnya Allah SWT berfirman dalam ayat 49: “Kemudian akan datang pula sesudah itu tahun yang padanya orang ramai beroleh rahmat hujan, dan padanya mereka dapat memerah (hasil anggur, zaitun dan sebagainya)”.
Krisis ekonomi itu adalah satu kitaran yang pasti wujud bukan sahaja pada abad ini bahkan ia wujud di setiap zaman, abad dan dekad-dekad sebelum ini lagi. Walaubagaimana dahsyat pun sesuatu krisis itu ia pasti akan berakhir dan pulih seperti sediakala. Manusia pernah menghadapi krsisi yang dahsyat setelah perang dunia kedua yang menyaksikan kehancuran negara-negara utama dunia seperi China, Jepun, Jerman dan beberapa negara Eropah lainnya, namun hari ini ia telah kembali pulih dan ada yang menjadi negara yang lebih maju berbanding sebelumnya.
Lanjutan dari perkara di atas, sewajarnya kita tidak perlu berasa panik dengan ramalan-ramalan mengenai inflasi ini. Ia bukanlah krisis seperti peperangan, malapetaka gempa bumi yang menghancurkan, sebaliknya ia adalah krisis pembekalan dan ketidaktentuan harga yang boleh dimitigasi dengan beberapa mekanisma yang sedia ada dan diusahakan oleh pelbagai pihak.
Perancangan kewangan adalah perkara penting dalam semua keadaan dan suasana. Perancangan juga bukan bermaksud menyekat segala jenis perbelanjaan sehingga menukar secara total gaya hidup yang selama ini diamalkan. Cumanya pengawalan perbelanjaan dari yang tidak berapa penting kepada perkara yang lebih penting adalah satu perubahan yang perlu berlaku dalam suasana begini. Kita juga adalah unit ekonomi yang penting dalam ekosistem ekonomi di Malaysia. Sekiranya kesemua kita menyekat secara draftik corak perbelanjaan kita selama ini, ia mungkin sedikit sebanyak menggangu aliran wang di dalam ekonomi dan boleh menjadi faktor kepada deflasi yang juga merupakan satu krisis ekonomi yang lebih kompleks dan rumit.
Perancangan kewangan juga boleh dikategorikan dalam proses menghidupkan wasatiyah serta mengelakkan pembaziran dan israf. Mudah-mudahan usaha ini diberikan keberkatan sebagaimana usaha pengawalan yang dilakukan oleh Nabi Yusuf ketika krisis ekonomi di zamannya.
Penulis merupakan Ketua, Jabatan Syariah dan Ekonomi, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, dan boleh dihubungi di shahid82@um.edu.my