Oleh: Siti Nurmaliya Zakaria, dan Dr. Azmawaty Mohamad Nor
Bencana adalah peristiwa atau kejadian yang mengancam dan mengganggu kehidupan masyarakat yang disebabkan faktor alam atau bukan alam seperti banjir, gempa bumi, tanah runtuh, tsunami, kemalangan, dan kebakaran sehingga mengakibatkan adanya korban, kerosakan, kerugian harta benda dan memberikan kesan terhadap psikologi iaitu kesihatan mental. Baru-baru ini, berlakunya tragedi tanah runtuh di Father’s Organic Farm, Batang Kali yang membabitkan 92 orang mangsa dimana 30 orang dijumpai telah meninggal dunia, 61 orang selamat manakala 1 orang masih belum dijumpai. Dalam masa yang sama juga, negeri pantai timur kini sedang mengalami bencana banjir yang bukan sahaja menenggelamkan harta benda orang ramai tetapi turut mengorbankan nyawa orang yang tersayang. Dalam tempoh beberapa hari yang lalu pula, banjir di Kelantan telah meragut nyawa tiga beradik yang maut terkena renjatan elektrik. Manakala di Terengganu pula kanak-kanak perempuan dua tahun menjadi korban pertama banjir kali ini dalam kejadian di Kampung Apal. Bencana ini semestinya memberikan impak yang sangat besar terhadap mangsa dan ahli keluarga mangsa.
Bantuan kecemasan seperti peralatan perubatan adalah perkara ‘wajib’ dan sangat diperlukan apabila berlakunya bencana. Namun, tahukah anda selain menerima bantuan rawatan daripada luar, mangsa bencana juga sebenarnya sangat memerlukan bantuan dari sudut psikologi bagi membantu mereka daripada menghadapi kesan negatif terhadap mental akibat daripada bencana tersebut. Justeru, bantuan psikologi boleh digunakan untuk membantu mangsa dalam mengawal impak dari sudut psikologi terhadap bencana yang berlaku. Bantuan psikologi juga disebut sebagai pertolongan cemas psikologi (Psychological First Aid atau PFA).
PFA terdiri daripada satu set tindakan membantu yang sistematik yang bertujuan untuk mengurangkan tekanan selepas trauma awal dan menyokong fungsi penyesuaian jangka pendek dan jangka panjang. PFA adalah melibatkan bantuan kemanusiaan, sokongan dan praktikal untuk mangsa bencana yang mengalami pendedahan kepada tekanan yang serius serta memerlukan sokongan. Sokongan ini termasuk memberi penjagaan dan sokongan praktikal yang tidak mengganggu, menilai keperluan dan kepentingan mangsa, membantu mangsa dalam memenuhi keperluan asas seperti makanan, minuman, pertolongan kesihatan dan sebagainya, mendengar dengan empati luahan mangsa dan membantu mangsa untuk berhubung terhadap maklumat, perkhidmatan yang disediakan dan sokongan sosial yang diperlukan oleh mangsa bencana.
Kesukaran yang dialami oleh emosi mangsa tidak kelihatan seperti kecederaan fizikal, tetapi kesannya adalah sama dimana keduanya menyakitkan dan melemahkan mangsa. Berdasarkan tragedi-tragedi yang berlaku baru-baru ini, semestinya mangsa bencana tersebut akan mengalami salah satu emosi seperti terkejut, keliru, tidak percaya, takut, bimbang, dan sedih. Adalah menjadi perkara biasa apabila mangsa bencana dipengaruhi secara emosi selepas mengalami dan melalui peristiwa yang mengubah kehidupan mereka. Namun, sekiranya emosi ini berlebihan dan tidak dikawal dengan baik, maka berisiko untuk menjejaskan kesihatan mental mangsa. Oleh itu, dari sudut pengurusan emosi mangsa, persediaan awal dari aspek psikologi amat penting bagi mengatasi tekanan akut dan membantu memberi kekuatan serta semangat kepada mangsa. Melalui Bantuan Pertolongan Cemas Psikologi (PFA), mangsa bencana akan dibantu untuk mengawal tekanan akut tersebut supaya mangsa dapat menjalani kehidupan dengan lebih baik agar dapat mewujudkan dan mengekalkan persekitaran dari aspek keselamatan, ketenangan dan keselesaan, keterkaitan, memperkasakan diri dan harapan. PFA bukan sahaja boleh digunakan kepada mangsa malah juga kepada keluarga mangsa. Dalam tragedi tanah runtuh dan banjir yang berlaku baru-baru ini, semestinya kesedihan dialami oleh ahli keluarga yang mengalami kehilangan orang yang tersayang dalam tragedi tersebut. Berdasarkan terapi kesedihan, terdapat lima peringkat kesedihan yang dialami oleh individu yang mengalami kehilangan dalam hidup.
Peringkat tersebut adalah denial di mana individu yang mengalami fasa ini akan menafikan perkara yang telahpun berlaku dalam hidup. Peringkat kedua, kemarahan dan peringkat ini adalah normal bagi individu yang mengalami kesedihan akibat kehilangan di mana individu akan mula memarahi diri sendiri, rakan-rakan, orang sekeliling, malah juga mempersoalkan berkenaan takdir hidup yang dialaminya. Peringkat ketiga adalah tawar-menawar dan di peringkat ini individu akan meminta dengan memohon dengan bersungguh-sungguh untuk mengembalikan semula apa yang hilang. Peringkat keempat, adalah kemurungan. Kemurungan dalam situasi ini bukanlah satu penyakit mental yang bermasalah tetapi sebaliknya ia adalah normal apabila individu yang mengalami kesedihan ini untuk mengasingkan diri mereka, kurang bercakap, dan kurang bersosial. Ini merupakan proses untuk penyembuhan terhadap kesedihan yang dialami. Peringkat terakhir adalah penerimaan. Pada peringkat penerimaan ini, individu mula sedar akan kehilangan yang dialami dan redha dengan takdirnya. Namun begitu, penerimaan ini bukanlah bermakna bahawa individu itu telah sembuh sepenuhnya daripada kesedihan kerana perasaan sedih akibat kehilangan tidak akan hilang.
PFA bukanlah khusus kepada profesion kaunseling dan psikiatri semata-mata, tetapi ia melibatkan kesemua individu yang bertanggungjawab terhadap peristiwa atau situasi yang berlaku dan tidak memerlukan sebarang kelayakan khas. Mana-mana individu yang mendapati bahawa diri mereka berada di kawasan atau tempat yang mengalami krisis bolehlah mentadbir atau mengaplikasikan PFA ini dalam membantu mangsa yang mengalami reaksi stress akut, individu yang berisiko mengalami kesukaran untuk berfungsi dengan baik akibat penyakit atau masalah sosial, individu yang terselamat dari bencana tetapi mengalami trauma dan petugas barisan hadapan yang menguruskan bantuan krisis. Terdapat empat prinsip tindakan dalam PFA yang perlu dititik beratkan oleh sukarelawan iaitu persediaan (preparation), kenalpasti (look), mendengar (listen) dan menghubungkan (link).
Pertama, persediaan atau persiapan. Pengetahuan berkenaan jenis bencana yang dialami, tahap bencana, keadaan semasa dan sejauhmana keperluan dan kebimbangan perlulah diketahui terlebih dahulu sebelum sukarelawan memberikan pertolongan. Bukan itu sahaja, kenal pasti juga perkhidmatan dan bantuan yang telah disediakan dan isu-isu keselamatan yang berlaku terhadap mangsa. Sebagai contohnya, sukarelawan yang ingin membantu mangsa perlulah bersiap sedia dari sudut fizikal, mental dan pengetahuan. Dari sudut fizikal, sukarelawan perlu mempersiapkan diri dari segi kesihatan dimana pastikan kesihatan diri sendiri berada dalam keadaan baik sebelum memberi pertolongan kepada mangsa. Kesan emosi bukan sahaja dihadapi oleh mangsa, malah turut sama dihadapi oleh orang yang melihat terutamanya sukarelawan dan penyelamat pada waktu kejadian. Golongan ini berdepan dengan rintangan dan cabaran serta perasaan yang berkecamuk semasa proses untuk membantu mangsa yang berdepan dengan bencana kerana individu inilah menyaksikan penderitaan yang dialami oleh mangsa bencana. Justeru, individu ini juga berisiko untuk mendapat Post Traumatic Stress Disorder (PTSD). Oleh itu, penting untuk sukarelawan mempersiapkan diri dari sudut mental juga.
Kedua, kenalpasti terlebih dahulu aspek keselamatan mangsa dan keselamatan kawasan kejadian sebelum bertindak membantu mangsa bencana tersebut dan sekaligus untuk mengelakkan sukarelawan PFA daripada turut sama terkesan. Kenalpasti juga aspek klien sama ada intervensi perubatan yang diperlukan atau sebagainya serta nilai sejauhmana keperluan dan kebimbangan yang dihadapi oleh mangsa tersebut. Bagi tragedi yang disenaraikan diatas, sebelum sukarelawan turun padang untuk membantu, mereka perlu terlebih dahulu mengambil tahu keadaan semasa mangsa yang terlibat dalam tragedi tersebut serta keadaan kawasan di sana sama ada selamat atau tidak untuk mereka pergi memberi bantuan atau sebaliknya memberi kemudaratan terhadap diri mereka. Contohnya seperti banjir, adakah kawasan tersebut masih banjir, bagaimana paras air disana, dimana mangsa-mangsa banjir ini ditempatkan dan sebagainya perlu diambil tahu. Seterusnya, berkenaan keperluan mangsa, adakah sudah terdapat sukarelawan lain yang membantu disana dan ambil tahu keperluan yang belum diberikan supaya tidak berlakunya pertindihan bantuan yang sama daripada sukarelawan lain kepada mangsa. Malah, sukarelawan yang turun padang juga dapat bersama-sama melengkapkan keperluan mangsa banjir tersebut.
Ketiga adalah dengar iaitu berhubung dengan klien yang memerlukan sokongan. Mula bercakap dengan mangsa dan perkenalkan diri sebagai sukarelawan yang ingin membantu mangsa. Berikan perhatian sepenuhnya semasa mangsa berkongsi perasaannya dan aplikasikan kemahiran mendengar yang aktif serta dengar luahan hati mangsa dengan empati agar mangsa merasa perasaannya diterima dan merasa lebih tenang. Tambahan, sukarelawan juga boleh mengaplikasikan teknik validasi emosi dan tenangkan mangsa sewajarnya sekiranya perlu. Kemudian, setelah mangsa kelihatan lebih tenang dan selesa berkongsi, tanyakan tentang keperluan dan kebimbangan yang dihadapi oleh mangsa dan sediakan keperluan tersebut untuk membantu mangsa.
Keempat adalah menghubungkan mangsa dengan bantuan praktikal bagi memenuhi keperluan dan akses bantuan perkhidmatan. Berikan sokongan sosial serta bantu mereka berdepan dengan masalah yang dihadapi secara positif serta salurkan maklumat yang dapat membantu mangsa dari aspek keperluan atau psikologikal. Sekiranya mangsa bencana mengalami trauma yang kuat bilamana mangsa memperlihatkan simptom tekanan yang berat atau melampau seperti berteriak dan menangis tanpa henti dalam tempoh masa yang lama, berlebihan sehingga sukar untuk dikawal, maka bantuan segera perlu diberikan untuk mangsa tersebut. Prinsip yang terakhir ini iaitu hubungkan boleh digunakan untuk kejadian ini dimana sukarelawan perlu menghubungkan mangsa dengan pihak-pihak yang lebih bertanggungjawab dan mahir seperti kaunselor, ahli psikologi klinikal atau ahli psikiatri.
Kesimpulannya, Pertolongan Cemas Psikologi boleh membantu semua orang termasuk kanak-kanak, remaja, orang dewasa, warga emas, keluarga dan komuniti yang telah terdedah kepada peristiwa traumatik atau kecemasan, termasuk responden dan penyedia perkhidmatan sokongan. Tetapi, diingatkan bahawa PFA bukanlah ubat atau rawatan gantian yang mampu menyembuhkan sesuatu kesan yang dialami oleh mangsa. Namun, PFA dapat membantu mangsa dalam menghadapi dan mengawal tekanan akut dengan baik agar dapat mencapai kesejahteraan mental yang tinggi.
Siti Nurmaliya Zakaria merupakan pelajar tahun akhir Ijazah Sarjana Muda Kaunseling, manakala Dr. Azmawaty Mohamad Nor adalah Ketua, Jabatan Psikologi Pendidikan dan Kaunseling, Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya. Penulis boleh dihubungi di azy_mn@um.edu.my