22 July 2024

Pindaan akta sebenarnya memperkasa Mahkamah Syariah

Featured

Kenal pasti faktornya

Statistik mengenai buli siber di Malaysia menunjukkan masalah ini semakin serius, terutama dalam kalangan remaja. Menurut kajian Ipsos, Malaysia berada di tempat kedua di Asia selepas India dalam isu buli siber dalam kalangan belia.

Bringing back their smiles

O.L.D.I.E is more than just a health project—it’s a movement towards a better quality of life for our aging population.

Menyelami intipati budaya Temuan di Ulu Chemong

Program ini berjaya memberi pendedahan dan pemahaman yang mendalam tentang budaya dan gaya hidup orang asli Temuan dalam kalangan mahasiswa UM.

Bursa leading the way

The Zakat Index is a market capitalization-weighted index that tracks the performance of the largest 200 companies on the Main Market of Bursa Malaysia.

The ice cream of life

I challenge all of us to be more like ice cream. Let’s store our energy wisely, stay true to our unique ‘flavour’, and when called upon, let’s give it our all – whether it’s a small scoop or a whole tub of effort.

Share

Oleh: Dr. Siti Aisyah Samudin, Dr. Hanira Hanafi

Keputusan Mahkamah Persekutuan melalui Kes Nik Elin secara majoriti membatalkan 16 daripada 18 peruntukan kesalahan jenayah syariah yang dicabar melalui Enakmen Jenayah Syariah Negeri Kelantan 2019 baru-baru ini mencetuskan banyak kontroversi. Pelbagai reaksi diutarakan banyak pihak dalam mengulas isu ini. Dari satu aspek, ada pihak mengetengahkan bahawa isu yang berlaku hanya melibatkan isu teknikal bidang kuasa sahaja. Ada juga yang berpendapat kes ini bukan setakat isu bidang kuasa Badan Perundangan Negeri, sebaliknya memang wujud usaha tersirat untuk mengurangkan lagi limitasi Mahkamah Syariah yang sedia terhad.

Pendekatan intipati yang dilaksanakan dalam memutuskan kes ini, berisiko memberi kesan domino ke atas peruntukan undang-undang negeri lain yang mengandungi konten atau bidang yang sama dalam undang-undang persekutuan, biarpun istilah yang digunakan adalah berbeza. Mahkamah persekutuan melalui pendekatan dan tafsiran intipati, membatalkan beberapa peruntukan negeri seperti kesalahan liwat kerana bertindan dengan kesalahan melakukan hubungan seksual luar tabii yang terkandung dalam Kanun Keseksaan.

Biar pun istilah kesalahan ini berbeza, namun intipati kesalahan adalah sama; hubungan seksual luar tabii. Justeru, berlandaskan kepada bidang kuasa yang telah ditetapkan oleh Perlembagaan Persekutuan, peruntukan kesalahan liwat di bawah negeri dibatalkan. Pun begitu, hal ini tidak bermaksud kesalahan liwat dan kesalahan lainnya boleh sewenang-wenangnya berlaku tanpa ada hukuman yang setimpal, bila mana telah dibatalkan oleh mahkamah persekutuan.

Polemik kes ini sebenarnya bermula sejak tahun 2021 lagi melalui kes Iki Putra Mubarak apabila mahkamah mentafsirkan bidang kuasa yang berbeza, daripada keputusan kes seumpamanya, seperti kes Sulaiman Takrib. Bidang kuasanya tidak berubah, namun tafsiran dan pendekatan kes yang digunapakai oleh Hakim dalam kes Iki putra seterusnya kes Nik Elin, didapati berubah.

Berbalik kepada Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Kelantan 2019, daripada 68 peruntukan, 53 peruntukan adalah melibatkan kesalahan jenayah syariah yang boleh diklasifikasikan kepada 6 kategori termasuklah kesalahan melibatkan akidah. Setelah 16 peruntukan kesalahan diputuskan tidak sah, kini yang tinggal dan boleh dikuatkuasakan di Kelantan hanyalah tinggal 37 peruntukan kesalahan sahaja. Lantaran itu, badan perundangan negeri terutamanya yang melibatkan institusi agama, tidak boleh berasa selesa dan secara naif menerima ini adalah isu bidang kuasa teknikal sahaja.

Melalui Jadual ke-Sembilan Perlembagaan Persekutuan, terdapat perkara-perkata tertentu yang telah menjadi bidang kuasa persekutuan dan negeri untuk membuat undang-undang. Oleh itu Parlimen (bagi pihak persekutuan) dan Badan Perundangan Negeri (bagi pihak negeri) tidak boleh melangkaui bidang kuasa yang telah ditetapkan oleh Perlembagaan Persekutuan dalam membuat undang-undang. Perlembagaan Persekutuan juga sebagai undang-undang tertinggi di negara kita memperuntukkan bahawa sekiranya wujud undang-undang yang melangkaui bidang kuasa, maka mahkamah mempunyai kuasa untuk mengisytiharkan undang-undang yang dibuat mahupun oleh negeri atau pun persekutuan adalah tidak sah dan terbatal.

Perlembagaan Persekutuan memberi kuasa kepada negeri untuk membuat undang-undang Islam dalam perkara yang berkaitan dengan diri, keluarga dan kesalahan jenayah syariah “tertentu sahaja” bagi orang Islam di negeri masing-masing. Oleh itu, berbalik kepada isu undang-undang islam umumnya dan jenayah syariah khasnya, badan perundangan negeri mempunyai kuasa membuat undang-undang bagi kesalahan jenayah Islam di negeri masing-masing tertakluk kepada 2 syarat:

1) Kesalahan-kesalahan jenayah syariah yang masih belum lagi diperuntukkan dalam mana-mana akta parlimen. Sekiranya undang-undang persekutuan tidak memperuntukkan kesalahan tersebut dalam mana-mana akta yang dibuat oleh Parlimen, maka Badan perundangan negeri sudah tidak boleh membuat undang-undang tersebut walaupun kesalahan tersebut adalah kesalahan dalam syariah. Sebagai contoh mencuri, kesalahan mencuri telah diperuntukkan dalam kanun keseksaan iaitu akta yang digubal oleh parlimen. Oleh itu, negeri tidak boleh untuk membuat undang-undang berkaitan kesalahan mencuri kerana kesalahan tersebut telah diperuntukkan dalam undang-undang persekutuan. Begitu lah juga bagi kesalahan liwat, persetubuhan dengan mayat, sumbang mahram dan mana-mana kesalahan lain yang telah diperuntukkan oleh undang-undang persekutuan.

2) Dalam membuat peruntukan kesalahan jenayah syariah, hukuman yang boleh dikenakan oleh mahkamah syariah adalah tidak lebih dari RM5,000 denda, 3 tahun penjara dan 6 kali sebatan.

Oleh yang demikian, dalam menggubal sebarang undang-undang di peringkat negeri mahu pun persekutuan, rujukan kepada bidang kuasa yang telah diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan amatlah mustahak bagi memastikan tidak berlakunya peruntukan yang dibuat melangkaui bidang kuasa yang sepatutnya. Demikian juga menjadi keperluan penting dalam menggubal sebarang undang-undang perlu wujud satu jawatankuasa yang mengumpulkan pakar-pakar yang mahir dalam pelbagai bidang undang-undang, sama ada sivil atau syariah bagi memastikan peruntukan undang-undang yang dibuat adalah dalam bidang kuasa untuk menjadikannya sah dan terpakai.

Perlu diakui bahawa impak daripada keputusan ini memberi pengaruh besar ke atas bidang kuasa negeri terutama melibatkan mahkamah syariah. Tindakan utuh perlu segera dilaksanakan. Strategi lebih bijak diperlukan untuk memartabatkan mahkamah syariah agar boleh memberi manfaat kepada seluruh rakyat Malaysia. Situasi ini juga merupakan ruang untuk menggesa pindaan Akta Mahkamah Syariah Bidang kuasa Jenayah Pindaan 1984 (Akta 355), pinda dalam erti kata menambah hukuman kesalahan jenayah syariah melibatkan kesalahan personal orang Islam. Pada akhirnya, apa-apa pun pandangan yang dilontarkan, keputusan kes ini telah pun dikeluarkan.

Justeru, semua pihak harus akur dan hormat dengan keputusan yang ditetapkan oleh badan kehakiman. Sebagaimana kita rakyat Malaysia berpegang kepada keluhuran perlembagaan dan kedaulatan undang-undang.


Kedua-dua penulis merupakan Pensyarah Kanan di Jabatan Syariah dan Undang-undang, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, dan boleh dihubungi di sitiaisyah.samudin@um.edu.my