Oleh: Dr. Safiah Omar
Setiap individu yang bekerja mempunyai pelbagai cabaran dalam mencapai objektif dan tujuan deskripsi tugas mereka. Secara purata, 8 jam sehari digunakan untuk melaksanakan tugas mereka secara fizikal di pejabat atau secara ‘atas talian’ di rumah. Jika dilihat dalam kehidupan seseorang individu, mereka terdedah kepada pelbagai keadaan terutama dalam keseimbangan antara kerja dan kehidupan peribadi. Ini kerana seorang individu memainkan pelbagai peranan penting termasuk sebagai seorang pekerja, seorang ayah atau ibu, seorang anak, seorang kakak, adik atau abang, serta seorang ahli dalam komuniti dalam kehidupan sosial mereka. Kesemua peranan ini mempunyai cabaran yang tersendiri dan jika tidak ditangani dengan baik, individu tersebut akan terdedah kepada pelbagai emosi negatif seperti tekanan, keresahan, dan paling ditakuti adalah kemurungan.
Pada 28 September 2022 yang lalu, pihak Kementerian Kesihatan Malaysia melalui Menteri Kesihatan pada waktu itu, memaklumkan bahawa mereka memohon peruntukan tambahan untuk kesihatan mental sebanyak 2.5 % bagi bajet tahun 2023. Perkara ini mendapat tumpuan dari pelbagai pihak kerana trend kes bunuh diri menunjukkan peningkatan sebanyak 81% pada tahun 2021 berbanding tahun 2020. Sebanyak 1142 kes dilaporkan untuk tahun 2021 oleh pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) berbanding 631 kes pada tahun 2020.
Negara Malaysia mempunyai Akta Kesihatan Mental 2001 dan Peraturan Kesihatan Mental 2010 yang memfokuskan kepada isu dari segi penjagaan psikiatri termasuk rawatan, kawalan, perlindungan, dan rehabilitasi untuk pesakit mental. Akan tetapi, akta dan polisi tersebut adalah dari segi perubatan dan rawatan secara am. Namun apa yang diperlukan dengan situasi sekarang adalah galakan bagi pembuatan polisi yang melindungi pekerja yang mengalami isu dalam kesihatan mental mereka. Ini kerana statistik menunjukkan isu kesihatan mental di tempat kerja adalah semakin meningkat setiap tahun.
Secara Global, Organisasi Buruh Antarabangsa atau dikenali sebagai ‘International Labour Organization (ILO)’ memberikan perlindungan kepada golongan kurang upaya yang menetapkan prinsip layanan dan pekerjaan yang sama dengan golongan pekerja normal. Pada konvensyen “Vocational Rehabilitation and Employment of Disabled Persons No. 159 (1983)’ tersebut, mereka mentakrifkan orang kurang upaya sebagai individu yang mempunyai prospek tidak dapat mengekalkan atau kemajuan dalam pekerjaan yang berkurangan secara ketara disebabkan oleh kecacatan fizikal atau mental yang diiktiraf dengan sewajarnya. Antara jenis kesihatan mental yang lazim dihadapi oleh pekerja termasuk kemurungan, keresahan, dan lain-lain. Namun begitu, kita dapat lihat rata-rata organisasi di Malaysia lebih mengutamakan polisi perlindungan kepada golongan kurang upaya yang dapat dilihat secara fizikal manakala golongan kurang upaya secara mental tidak mendapat perhatian yang secukupnya.
Polisi yang spesifik bagi melindungi golongan pekerja yang terjejas akibat isu kesihatan mental ini perlu disediakan dan diperhalusi oleh organisasi di Malaysia. Ini kerana mereka juga tergolong dalam golongan kurang upaya secara mental tetapi mereka mempunyai bakat, ilmu, dan keupayaan yang menyumbang kepada prestasi dan kemajuan organisasi seperti pekerja-pekerja yang normal. Tanpa polisi yang meyakinkan, pekerja yang terjejas dengan isu kesihatan mental kebanyakannya tidak mahu berterus-terang secara terbuka kepada majikan lantas menyebabkan rawatan awal tidak boleh didapati. Ini menyebabkan keadaan menjadi bahaya kerana mereka hanya akan mendapatkan rawatan setelah kesihatan mental mereka terjejas teruk dan proses pemulihan akan menjadi lebih lama. Berkemungkinan juga ada yang tidak akan mendapatkan rawatan langsung yang menyebabkan keadaan menjadi lebih bahaya sehingga menyebabkan mereka menggunakan jalan terakhir iaitu cubaan untuk ‘bunuh diri’.
Mengapa polisi ini penting dalam organisasi? Sesiapa sahaja boleh terdedah kepada isu kesihatan mental, samada golongan pekerja Professional ataupun Pelaksana di dalam organisasi. Tiada individu yang kebal dari isu kesihatan mental ini, malah seorang doktor, guru, pengurus, pengarah, peguam dan lain-lain lagi juga boleh mempunyai isu kesihatan mental. Pada masa yang sama, golongan ini juga mempunyai kebolehan yang profesional dan sangat signifikan untuk kemajuan sesebuah organisasi itu. Jika kita boleh menggubal polisi bagi perlindungan golongan OKU fizikal, mengapa kita tidak boleh mengadakan polisi perlindungan yang sama kepada golongan OKU mental ini?
Negara kita masih perlukan pendedahan secara keseluruhan bagi kesedaran kesihatan mental di tempat kerja dari segi pencegahan, rawatan, dan perlindungan.
Persoalannya, siapakah yang perlu ke hadapan dengan inisiatif polisi ini di dalam sesebuah organisasi? Adakah ianya perlu datang dari Jabatan Sumber Manusia atau dari pihak Pengurusan Tertinggi di dalam organisasi?
Penulis merupakan Pensyarah Kanan di Jabatan Pengurusan, Fakulti Perniagaan dan Ekonomi, Universiti Malaya, dan boleh dihubungi di safiah@um.edu.my