17 March 2025

Universiti ada peranan besar pastikan agenda ESG tercapai

Featured

Our symbol

By Sheila Ramalingam In a landmark decision that intertwines national...

Dia

Oleh Mohd Anuar Ramli Perempuan merupakan makhluk yang istimewa, diciptakan...

His (trade) war

By Goh Lim Thye The Trump administration’s trade war with...

Menyantuni mereka

Dalam dunia pendidikan, setiap pelajar berhak mendapat peluang untuk...

Berkesankah

Oleh Cheah Chan Fatt Sumbangan Tunai Rahmah (STR) adalah sebuah...

Share

Oleh: Dr. Zul Ilham Zulkiflee Lubes

Baru-baru ini, seringkali kedengaran akan agenda alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) dibincangkan dalam pelbagai inisiatif kerajaan mahupun swasta di negara kita. Agenda ini, walaupun bukan baru diperkenalkan, kini telah menjadi kerangka yang mesti ada dan penting dalam memastikan kelestarian sesebuah institusi dan bukannya hanya sekadar sesuatu yang bermusim.

Menurut Bursa Malaysia yang merintis kriteria penarafan ESG kepada syarikat tersenarai awam di negara ini, setakat 2021, 76 syarikat telahpun mematuhi kriteria tersebut dan jumlahnya semakin meningkat. Bagi menggalakkan kesedaran terhadap ESG, metodologi keseluruhan dan skor ESG semua syarikat tersenarai awam kini boleh diakses di laman web mereka. Walaupun kebanyakkan syarikat tersebut adalah firma besar dan penerimaan industri kecil dan sederhana masih lagi perlahan, konsep baharu ini bakal menjadi penanda aras masa depan kerana komuniti perniagaan dan pelaburan sedar yang penumpuan kepada aspek keuntungan material semata-mata tanpa memikirkan keuntungan secara holistik kepada masyarakat adalah sesuatu yang tidak kekal lama.

Apa yang menariknya, adalah perlu ditekankan bahawa konsep ESG di Malaysia masih di peringkat penerokaan kerana masih belum terdapat piawaian khusus yang disesuaikan di rantau ini. Namun begitu, ketiadaan piawaian inilah menjadi faktor pendorong terhadap peningkatan kajian dan pemerhatian khusus dalam bidang ini.

Di sinilah universiti dilihat boleh memainkan peranan lebih besar sebagai pemangkin agenda ini. Di dalam era digitalisasi dan perubahan iklim ini, adalah amat bersesuaian untuk universiti sebagai wadah pendidikan tinggi negara menerajui tanggungjawab melahirkan pemimpin masa depan yang holistik dari kalangan mahasiswa.

Antara langkah yang boleh diambil universiti ialah dengan memastikan hala tuju institusi pendidikan tinggi sentiasa berteraskan kemampanan dan hanya bekerjasama dengan industri yang berkongsi nilai yang sama. Suara sumbang yang sering memomokkan universiti sebagai kilang yang melahirkan pekerja industri perlulah dihentikan dan sebaliknya universiti dan industri harus saling bekerjasama dalam satu ekosistem yang memberikan limpahan manfaat kepada masyarakat luas.

Di peringkat kurikulum, ESG boleh dikukuhkan melalui penerapan nilai kesejahteraan, daya cipta kreatif dan elemen manusiawi agar teknologi dapat dimanfaatkan insan dan bukanlah dijadikan tuan baharu dalam dunia perhambaan moden.

Di samping itu, universiti juga harus membudayakan sistem pemikiran yang kolaboratif. Sebagai contoh, suatu produk hasil inovasi kejuruteraan atau sains yang diselidiki haruslah turut mengambil kira elemen pemasaran dan kewangan untuk menentukan kadar kebolehpasarannya. Ini seharusnya turut merangkumi bidang informasi digital dan polisi awam untuk memastikan kelestarian rantaian bekalan.

Sebagai nilai tambah, suatu program ijazah sarjana muda tidak seharusnya menawarkan pengetahuan teori dan teknikal sahaja sebaliknya turut menyediakan pilihan alternatif untuk pelajar yang berminat dalam praktikal aplikasi ESG. Sebahagian besar program pengajian sarjana muda di universiti negara ini telahpun merintis konsep ini melalui program pengajian 2 tahun di universiti dan 2 tahun dalam industri (2u2i) atau 3 tahun di universiti dan 1 tahun dalam industri (3u1i).

Sungguhpun terdapat perdebatan berterusan tentang peranan universiti masa kini dan acuan manakah yang bersesuaian, ESG adalah komponen wajib yang datang bersama globalisasi dan tidak akan berlalu pergi dalam masa terdekat, lebih-lebih lagi dalam arus peralihan global kepada pembangunan secara mampan.

Apa yang pasti, dekad akan datang pastinya mencabar untuk penentuan identiti negara kita dan di sinilah agenda ESG dilihat tidak asing dalam pemetaan Malaysia Madani ke arah mewujudkan negara bangsa yang maju dan sejahtera.

Penulis ialah Profesor Madya di Program Sains Pengurusan Alam Sekitar, Institut Sains Biologi, Fakulti Sains, Universiti Malaya.