Oleh: Dr. Mohd. Shahid Mohd. Noh
Kemiskinan adalah satu fenomena sosial yang wujud di kebanyakan tempat di dunia ini. Islam sebagai agama wahyu meletakkan ia merupakan salah satu masalah ekonomi yang perlu di atasi dan diselesaikan dengan penuh hikmah dan perancangan. Tidak cukup dengan kewajipan berzakat yang menjadi salah satu rukun Islam, galakan bersedekah, berwakaf dan memberi bantuan pinjaman juga disebut di dalam Al-Quran dan hadis-hadis Nabi Muhammad SAW yang cukup jelas menggambarkan kepentingan ibadah ini di dalam membina keseimbangan hidup manusia di dunia yang sementara.
Allah SWT berfirman:
Tidak ada kebaikan pada kebanyakan bisik-bisikan mereka, kecuali (bisik-bisikan) orang yang menyuruh bersedekah, atau berbuat kebaikan, atau mendamaikan di antara manusia. Dan sesiapa yang berbuat demikian dengan maksud mencari keredaan Allah, tentulah Kami akan memberi kepadanya pahala yang amat besar. (Surah al-Nisa ayat 114)
Adalah antara ayat yang menghiasi amalan bersedekah sehinggakan orang yang mengajak kepadanya juga diberikan kebaikan apatah lagi mereka yang mengerjakan ibadah mulia tersebut. Tanpa zakat, sedekah dan amalan pemberian ihsan yang lain berkemungkinan masalah ekonomi ini sudah pasti akan lebih dahsyat dan melarat.
Pada tahun 2020, PPZ-MAIWP merekodkan kutipan zakat melebihi RM 750 juta yang menjadi kutipan tertinggi mereka setakat ini. Ia satu jumlah yang agak besar dan diharapkan dapat menyumbang kepada pembanngunan asnaf khususnya yang berada di dalam kategori miskin agar dapat dibantu sekaligus merubah masa depan mereka. Menurut laporan MAIWP 2019, sebanyak 616 orang dari 22,000 orang penerima bantuan bersamaan 2.8 peratus asnaf telah berjaya dikeluarkan dari kelompok kemiskinan. Ia satu perkembangan yang baik dan perlu diberi pujian. Namun, persoalan yang berbaki, bagaimana pula dengan jumlah yang berbaki? Jika sasaran asnaf yang berjaya dikeluarkan dari kelompok tersebut ialah 2-4 peratus setahun, jarak yang diperlukan untuk menjadi miskin sifar di ibu kota metropolitan ialah lebih kurang 25 tahun, itupun sekiranya jumlah bilangan asnaf tidak lagi meningkat atau dalam keadaan yang pegun. Realitinya, dunia berada di zaman Revolusi Industri 4.0 yang menjangkakan perbezaan jurang pendapatan akan lebih ketara akibat jurang kemahiran dan kelulusan yang agak jauh.
Justeru, pihak kerajaan dan MAIWP disarankan untuk merangka satu program yang holistik bagi membangunkan anak-anak asnaf yang dilihat berpotensi mewarisi kemiskinan keluarga mereka agar jumlah kemiskinan ini dapat dikecilkan, sekaligus meningkatkan jumlah pembayar zakat dan kutipan.
Jenis Kemiskinan
Menurut data yang diterbitkan oleh Jabatan Statistik Negara, terdapat tiga jenis kemiskinan yang utama di Malaysia iaitu tegar, relatif dan mutlak. Ada beberapa pihak lagi yang menambah miskin bandar dan luar bandar. Data 2016-2019 menunjukkan kadar kemiskinan mutlak di negara ini menunjukkan penurunan sementara miskin relatif memperlihatkan peningkatan terutamanya pada peringkat umur antara 25 hingga 45 tahun. Miskin relatif adalah satu fenomena sementara yang berlaku kepada satu ketua keluarga atau isi rumah akibat penyakit, bebanan hutang, tanggungjawab yang melebihi kemampuan serta hilang pekerjaan. Segmen ini sebenarnya satu segmen yang wajib dibantu memandangkan potensi dan keupayaan untuk mereka merubah adalah tinggi dan cerah.
Tanpa dinafikan, kemiskinan relatif yang tidak dibantu boleh merubah menjadi miskin mutlak atau tegar sekiranya kondisi mereka tidak dibantu dan ditingkatkan. Lebih parah, jika kemiskinan mereka itu diwarisi oleh anak-anak mereka sekaligus menambahkan lagi bilangan asnaf miskin di sesuatu lokaliti. Bantuan dan pendidikan sememangnya perlu diberikan kepada ketua keluarga tersebut, namun yang lebih penting ialah pembangunan potensi anak-anak asnaf ini hendaklah digilap agar mereka mampu merubah nasib mereka dan keluarga. Merubah sifat atau tabiat yang telah tertanam selama puluhan tahun bukanlah satu usaha yang mudah, tetapi membentuk daya usaha dan kerajinan anak-anak yang masih muda dan boleh dibentuk lebih mudah dan memiliki peluang yang begitu luas dan pelbagai.
Perkara yang perlu disedari ialah usaha yang dilakukan oleh badan autoriti zakat juga sememangnya banyak dan boleh disifatkan dengan proaktif atau agresif. Tetapi kekangan-kekangan tertentu membuatkan usaha-usah tersebut tidak menunjukkan hasil yang memberansangkan dan kini jumlah kadar kemiskinan masih meningkat sekaliun ia disifatkan sebagai terkawal.
Pendidikan
Pendidikan adalah sektor yang paling penting dan utama untuk diperkasakan dan kemudian disajiikan kepada golongan asnaf. Kanak-kanak yang terbimbing secara intektual dan emosional serta mendapat keperluan utama mencukupi pasti akan lebih berjaya di dalam pelajaran yang kemudian melayakkannya untuk mendapat pekerjaan yang baik. Sebaliknya, kegagalan mencurahkan pendidikan yang baik kepada anak tersebut adalah faktor penentu kepada keciciran pendidikan dan keberangkalian yang tinggi untuk tidak mendapat pekerjaan yang baik. Cuenca GarcÃa et al. (2019) mengesahkan bahawa tahap pendidikan yang rendah memberi kesan ke atas perkembangan intelektual yang menyebabkan kemiskinan namun ia boleh dipertingkatkan.
Sehubungan dengan itu, beberapa inisiatif yang diambil oleh MAIWP (memandangkan ia di ibu negara Malaysia) berada di landasan yang betul dengan memiliki bebapa institusi pendidikan di bawahnya seperti Sekolah Menengah Agama MAIWP, sekolah menengah integrasi Sains-Tahfiz, Institut Profesional Baitulmal dan lainnya. Jumlah tempat dan kuota yang terhad tidak memungkinkan kesemua anak-anak asnaf mendapat tempat dan peluang yang sama, justeru satu pelan pembangunan komprehensif perlu dirangka meraikan persekitaran pendidikan serta sosial di Kuala Lumpur agar anak-anak asnaf ini berjaya dibantu untuk menjadi tenaga kerja yang produktif dan berjaya di masa hadapan.
Integrasi Bantuan, Pendidikan dan Pementoran
Pemberian bantuan berbentuk kewangan dan pendidikan sememangnya menjadi satu kewajipan yang perlu dan telah pun dilaksanakan oleh kebanyakan badan berautoriti zakat. Cuma, sejauh mana keberkesanan bantuan tersebut dapat membantu asnaf adalah soalan yang memerlukan kepada satu pengukur untuk menilainya bagi mencapai matlamat asnaf zero dalam tempoh 10 hingga 15 tahun dari sekarang.
Kaedah pementoran berkemungkinan satu pendekatan yang sesuai di dalam membantu perkembangan anak-anak asnaf ini untuk terus maju dan berdaya saing di dalam pendidikan mereka. Memberi bantuan kewangan di awal tahun dan kemudian membiarkan mereka berdikari sendiri dengan hanya mengharapkan keluarga dan rakan sebaya sudah menjadi satu kebiasaan yang cliché perlu kepada nafas yang baharu dan lebih dinamik.
Pementeron ini sememangnya memerlukan keterlibatan banyak pihak bukan sahaja keluarga, juga kepada masyarakat dan persekitarann di sekolah. Sudah tiba masanya rekod pencapaian anak-anak asnaf ini dilaporkan dan dianalisa di samping pembanguna rohani dan emosi yang tersusun perlu dilaksanakan. Percayalah, usaha pembangunan keluarga dan anak-anak asnaf ini mungkin agak renyah di awalnya, tetapi di dalam jangka panjang ia akan memperlihatkan hasil yang baik dan memberansangkan serta menguntung masyarakat dan negara.
Penulis merupakan Pensyarah Kanan di Jabatan Syariah dan Ekonomi, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, dan boleh dihubungi di shahid82@um.edu.my
Artikel ini telah diterbitkan Utusan Malaysia dan WilayahKu (Ed.)