27 August 2026

Tenang

Featured

Learning

The first classroom I never entered By Ng Kwan Hoong One...

Familial

More than just a haircut By Ng Kwan Hoong For as...

Ordinarily

A cup of kopi, a table of stories By Ng...

Quiet

The sweetness of doing nothing By Ng Kwan Hoong On a...

Sains kita

Semangat merdeka dengan mengangkat khazanah tumbuhan kita Oleh Dr. Norhafiza...

Share

Potensi haiwan kecil sebagai terapi emosi di ruang pejabat

Oleh Dr. Yohan Kurniawan

Bunyi papan kekunci, deringan telefon, notifikasi WhatsApp dan e-mel yang tidak putus-putus sudah menjadi sebahagian daripada kehidupan di pejabat. Menjelang petang, mata mula penat, fikiran semakin sukar memberi tumpuan dan tugasan pula seolah-olah tidak pernah habis. Dalam keadaan seperti ini, kita biasanya mencapai telefon untuk โ€œberehatโ€ beberapa minit. Namun tanpa disedari, lima minit melihat media sosial boleh bertukar menjadi 20 minit, malah kadangkala menambah pula beban maklumat kepada otak.

Cuba fikirkan, bagaimana jika di sudut meja terdapat sesuatu yang lebih hidup dan menenangkan? Sebuah akuarium kecil dengan beberapa ekor ikan, atau mini terrarium yang dihuni vampire crab berwarna menarik atau hermit crab yang perlahan-lahan meneroka persekitarannya. Bagi sesetengah orang, hamster dalam habitat yang sesuai juga boleh memberikan bentuk interaksi yang berbeza selepas berjam-jam menghadap skrin komputer.

Pada pandangan pertama, haiwan-haiwan ini mungkin sekadar kelihatan sebagai hiasan. Namun dari perspektif psikologi, kehadiran unsur kehidupan dan alam semula jadi dalam persekitaran kerja berpotensi memberikan ruang pemulihan mental yang kecil tetapi bermakna. Manusia sebenarnya mempunyai kecenderungan semula jadi untuk memberi perhatian kepada hidupan dan persekitaran semula jadi. Sebab itulah pemandangan pokok, air, ikan berenang atau haiwan yang bergerak perlahan sering dirasakan lebih menenangkan berbanding memandang skrin kosong.

Memerhatikan ikan berenang atau seekor ketam kecil berwarna-warni meneroka habitatnya mungkin menjadi satu bentuk โ€œjeda mikroโ€ daripada pekerjaan. Untuk beberapa minit, perhatian dialihkan daripada laporan, mesyuarat, KPI dan tarikh akhir kepada rangsangan visual yang lebih sederhana. Ia bukan ubat untuk stres, apatah lagi pengganti rawatan profesional bagi masalah kesihatan mental. Namun, sebagai sebahagian daripada persekitaran kerja yang lebih mesra kesejahteraan mental staf, konsep ini mempunyai potensi yang menarik.

Konsep tersebut dapat dikembangkan melalui sebuah mini terrarium atau paludarium yang menggabungkan tumbuhan, batu, kayu, lumut dan bahagian air dalam satu ekosistem kecil. Bayangkan sebuah sudut pejabat dengan landskap hijau bersaiz mini, lengkap dengan vampire crab yang sesekali keluar daripada tempat persembunyian. Ia bukan sahaja menarik secara visual, malah membawa nuansa โ€œalamโ€ ke dalam ruang pejabat yang biasanya dipenuhi komputer, kaca dan konkrit.

Namun, jangan pula kerana mahu menjaga emosi manusia, kebajikan haiwan dilupakan. Akuarium yang terlalu kecil, balang tanpa sistem penapisan, terrarium tanpa kawalan kelembapan atau hamster yang ditempatkan dalam sangkar sempit bukanlah amalan yang baik untuk kesejahteraan hidup haiwan-haiwan kecil tersebut. Setiap haiwan memiliki keperluan khusus dari segi ruang, suhu, cahaya, air, makanan, pengudaraan dan rangsangan persekitaran. Vampire crab, misalnya, memerlukan habitat separa daratan dan separa air dengan kelembapan yang sesuai. Hermit crab pula bukan haiwan yang sekadar boleh dimasukkan ke dalam bekas kecil bersama sedikit pasir. Hamster memerlukan tempat persembunyian, bahan untuk menggali dan roda senaman yang sesuai. Ikan juga memerlukan isi padu air dan sistem penjagaan yang bersesuaian dengan spesiesnya.

Isu kebersihan dan kesihatan turut perlu dipertimbangkan. Air akuarium yang tidak diselenggara, lebihan makanan, najis, substrat lembap atau habitat hamster yang jarang dibersihkan boleh menghasilkan bau serta menjadi tempat pembiakan mikroorganisma. Dalam pejabat berhawa dingin dan berkongsi ruang, masalah kecil seperti ini boleh menjadi gangguan keselesaan dan kesihatan kepada orang lain. Sebab itu, jika organisasi mahu memperkenalkan konsep haiwan kecil di pejabat, peraturan asas perlu diwujudkan. Lokasi habitat, jadual pembersihan, pengurusan sisa, keselamatan elektrik bagi pam atau lampu, risiko haiwan terlepas dan individu yang bertanggungjawab menjaganya perlu diambil berat. Kepekaan terhadap pekerja yang mempunyai alahan, ketakutan terhadap haiwan atau rasa kurang selesa juga tidak boleh diabaikan begitu sahaja.

Kos juga perlu dikira secara realistik. Membela haiwan kecil tidak semestinya murah hanya kerana saiz haiwan itu kecil. Kos sebenar bukan sekadar harga membeli haiwan. Akuarium atau terrarium, sistem penapisan, lampu, pemanas jika diperlukan, substrat, makanan, alat pengukur suhu dan kelembapan serta penyelenggaraan semuanya melibatkan perbelanjaan. Jika haiwan jatuh sakit, kos konsultasi dan rawatan veterinar haiwan eksotik juga boleh menjadi lebih tinggi daripada jangkaan.

Perlu diingat bahawa idea ini tidak seharusnya diterjemahkan sebagai โ€œsetiap meja mesti mempunyai haiwanโ€. Pendekatan yang lebih munasabah mungkin menyediakan satu sudut kesejahteraan bersama, lengkap dengan akuarium atau mini terrarium yang dijaga dengan baik.

Pekerja boleh singgah beberapa minit, memerhati pergerakan haiwan dan mengalihkan perhatian daripada skrin sebelum kembali bekerja. Dalam dunia pekerjaan yang semakin pantas dan mencabar, kesejahteraan mental kadangkala tidak memerlukan perubahan yang besar. Perkara kecil yang memberikan peluang kepada minda untuk berhenti seketika juga mempunyai makna.

Mungkin selepas ini, apabila melihat seekor ikan berenang perlahan atau vampire crab mengintai dari celah batu dalam mini terrarium di pejabat, kita tidak lagi melihatnya semata-mata sebagai hiasan. Ia mungkin satu peringatan kecil bahawa di tengah-tengah kesibukan mengejar produktiviti, manusia juga memerlukan ruang untuk memperlahankan fikiran, memerhati kehidupan dan kembali bernafas.


Penulis adalah Pensyarah Kanan dari Jabatan Psikologi Pendidikan dan Kaunseling, Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya dan boleh dihubungi melalui e-mel yohan@um.edu.my

Previous article
Next article