2 September 2026

Negaraku

Featured

Negaraku

Menyuntik jiwa patriotik dalam pendidikan jati diri Oleh Che Mohd...

Keeping

The hands behind the flowers By Ng Kwan Hoong Have you...

As usual

There is nothing neutral about your online marketplace By Dr....

The essence

The power of trust in leadership By Dr. Mohammad Eisa...

Informed

Donโ€™t wait until weโ€™re in debt to teach us...

Share

Menyuntik jiwa patriotik dalam pendidikan jati diri

Oleh Che Mohd Farhan Che Mat Dusuki

Institusi pendidikan bukan sekadar tempat untuk menyampaikan ilmu dan membangunkan kemahiran profesional. Lebih daripada itu, institusi pendidikan berperanan membentuk insan yang mempunyai nilai, prinsip serta kesedaran terhadap tanggungjawab mereka kepada masyarakat dan negara. Kejayaan seseorang tidak hanya diukur melalui pencapaian akademik atau kecempungan kerjaya, tetapi juga melalui sejauh mana mereka memiliki keperibadian yang seimbang serta memahami peranan mereka sebagai sebahagian daripada sebuah negara. Dalam konteks pendidikan tinggi khususnya, usaha membentuk mahasiswa yang berkualiti tidak boleh terhad kepada penguasaan bidang pengajian masing-masing. Elemen pembentukan sahsiah, nilai dan kemenjadian pelajar perlu diberikan perhatian agar institusi pendidikan bukan sahaja melahirkan individu yang kompeten, tetapi juga warga yang mempunyai kesedaran sosial dan rasa tanggungjawab terhadap negara. Inilah antara matlamat yang ingin dicapai melalui pendidikan Jati Diri dan pelbagai bentuk pendidikan nilai yang dilaksanakan di institusi pendidikan.

Jati diri sering dikaitkan dengan pembentukan peribadi, keyakinan diri, nilai moral dan kemampuan seseorang mengurus kehidupan. Namun, jati diri yang kukuh tidak seharusnya terbatas kepada pembangunan individu semata-mata. Ia perlu berkembang kepada kesedaran yang lebih luas tentang hubungan seseorang dengan masyarakat, budaya dan negara. Salah satu nilai penting yang perlu disemai dalam pendidikan Jati Diri ialah patriotisme. Patriotisme bukan sekadar rasa bangga terhadap negara atau penglibatan dalam sambutan Hari Kebangsaan. Lebih daripada itu, patriotisme merupakan rasa cinta yang mendalam terhadap tanah air yang lahir daripada kesedaran diri dan rasa syukur menjadi sebahagian daripada sebuah negara. Nilai ini dizahirkan melalui sikap menghargai sejarah, menghormati nilai yang membentuk negara, memelihara keharmonian masyarakat serta melaksanakan tanggungjawab sebagai warganegara.

Namun, menyemai semangat patriotik dalam kalangan generasi muda hari ini mempunyai cabaran yang tersendiri. Tema sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2026, “Malaysia MADANI: Kesejahteraan Dinikmati”, mengingatkan kita bahawa kesejahteraan yang dirasai hari ini bukanlah sesuatu yang hadir secara kebetulan, tetapi merupakan hasil daripada perjuangan, pengorbanan dan usaha membina negara oleh generasi terdahulu. Generasi hari ini membesar dalam suasana negara yang lebih aman dan stabil berbanding pengalaman getir yang pernah dilalui oleh generasi terdahulu. Semakin jauh jurang masa antara sesuatu generasi dengan generasi yang pernah melalui kehidupan sebelum kemerdekaan, semakin berkurangan peluang untuk mereka mendengar sendiri kisah dan pengalaman daripada saksi yang pernah melaluinya. Oleh itu, pendidikan memainkan peranan penting sebagai jambatan yang menghubungkan generasi baharu dengan makna kemerdekaan, kesejahteraan yang dinikmati hari ini serta nilai yang perlu dipertahankan pada masa hadapan.

Dalam usaha menyemai patriotisme, persoalan utama yang perlu difikirkan ialah bagaimana ia dapat disampaikan dengan pendekatan yang sesuai dengan realiti generasi masa kini. Pendidikan nilai tidak semestinya berkesan melalui penyampaian maklumat atau pendekatan formal semata-mata. Walaupun pembelajaran sejarah, perbincangan isu kenegaraan dan pendedahan terhadap tokoh perjuangan mempunyai peranan tersendiri, penghayatan sesuatu nilai memerlukan pengalaman yang membolehkan pelajar terlibat secara emosi dan sosial. Patriotisme bukan sekadar nilai yang perlu diketahui, tetapi nilai yang perlu dialami. Atas dasar itu, pendekatan kreatif dalam pendidikan Jati Diri perlu diberikan perhatian. Sesuatu aktiviti patriotisme yang baik tidak semestinya berskala besar atau memerlukan perancangan yang kompleks. Sebaliknya, aktiviti tersebut perlu mampu melibatkan ramai pelajar, sesuai dilaksanakan dalam kekangan masa pembelajaran, menyeronokkan, membina kerjasama, merangsang kreativiti serta menyediakan ruang untuk pelajar membuat refleksi terhadap nilai yang dipelajari.

Sebagai contoh, penggunaan lagu patriotik sebagai medium pembelajaran merupakan salah satu pendekatan kreatif yang boleh diterapkan dalam pendidikan nilai. Lagu patriotik bukan sekadar karya seni yang dipersembahkan semasa sambutan kemerdekaan, tetapi membawa mesej tentang identiti, sejarah, harapan dan aspirasi sesebuah negara. Melalui proses memahami mesej lagu, menghasilkan persembahan serta membuat refleksi terhadap penghayatan lagu tersebut, pelajar diberi peluang mendekati patriotisme melalui pengalaman yang lebih dekat dengan diri mereka. Pendekatan ini telah diaplikasikan sebagai salah satu aktiviti dalam pendidikan Jati Diri di Pusat Asasi Sains Universiti Malaya (PASUM). Dalam konteks pelajar yang ramai dan tempoh pembelajaran yang terhad, aktiviti nyanyian lagu patriotik secara berkumpulan menjadi satu pendekatan yang praktikal untuk mewujudkan penglibatan kolektif. Namun, kekuatan aktiviti ini bukan hanya terletak pada persembahan akhir, tetapi pada proses yang berlaku sepanjang persediaan.

Pelajar perlu berbincang, menyusun idea, membahagikan tugas, berlatih bersama dan menghasilkan persembahan yang kreatif. Sekiranya aktiviti tersebut hanya melibatkan nyanyian semata-mata, ia mungkin tidak lebih daripada sebuah persembahan hiburan. Namun, apabila pelajar diminta memahami mesej lagu dan menjelaskan penghayatan mereka terhadap lagu tersebut, aktiviti itu berubah menjadi satu pengalaman pembelajaran yang membina kesedaran. Lebih daripada aspek patriotisme, pendekatan sebegini turut menggarap pelbagai nilai lain yang penting dalam pembentukan pelajar. Kerjasama, komunikasi, kepimpinan, kreativiti, kesungguhan dan rasa tanggungjawab terhadap kumpulan berkembang secara semula jadi sepanjang proses menjayakan aktiviti tersebut.

Dalam konteks masyarakat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum, agama, budaya serta latar belakang sosioekonomi, pengalaman bekerjasama dalam satu pasukan turut menjadi ruang untuk memupuk perpaduan dan penghargaan terhadap kepelbagaian. Pendekatan ini juga membuka peluang kepada penglibatan pelajar antarabangsa yang menuntut di institusi pendidikan Malaysia. Melalui aktiviti yang berkaitan dengan budaya dan identiti negara, mereka dapat mengenali Malaysia secara lebih dekat, manakala pelajar tempatan pula berpeluang berkongsi nilai serta budaya mereka dengan rakan daripada latar belakang yang berbeza. Interaksi seperti ini bukan sahaja memperkenalkan Malaysia kepada masyarakat antarabangsa, malah membantu pelajar tempatan memahami semula identiti dan nilai yang mereka miliki. Hakikatnya, pembentukan patriotisme tidak semestinya bergantung kepada program besar atau acara rasmi sahaja. Nilai tersebut boleh dibina melalui ruang yang lebih kecil tetapi bermakna dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Pendekatan kreatif seperti ini juga mampu mewujudkan suasana sambutan kemerdekaan dalam persekitaran pendidikan, walaupun tanpa penganjuran majlis yang besar.

Setiap pendidik mempunyai peluang untuk menyelitkan elemen pembinaan nilai dalam bidang masing-masing melalui pendekatan yang bersesuaian dengan keperluan pelajar. Peranan seorang pendidik bukan hanya menyampaikan ilmu, tetapi turut membentuk cara pelajar melihat diri, masyarakat dan negara. Ilmu tanpa nilai mungkin melahirkan individu yang berjaya secara peribadi, tetapi pendidikan yang menyeluruh perlu melahirkan insan yang memahami bahawa kejayaan mereka juga berkait rapat dengan kesejahteraan masyarakat dan kemajuan negara. Justeru, pendidikan Jati Diri perlu terus diperkasa sebagai wadah pembentukan pelajar yang seimbang. Jati diri yang kukuh bukan sahaja melahirkan individu yang mengenali potensi diri, tetapi juga individu yang mempunyai rasa tanggungjawab terhadap masyarakat dan tanah air.

Patriotisme bukan sesuatu yang boleh dipaksa hadir melalui arahan semata-mata. Sebaliknya, ruang untuk mengenali, memahami dan menghayati nilai tersebut perlu diwujudkan melalui pengalaman yang bermakna. Melalui pendekatan kreatif dalam pendidikan Jati Diri, pelajar bukan sahaja berpeluang memahami makna kecintaan terhadap negara, tetapi turut membina nilai kerjasama, perpaduan, kreativiti dan tanggungjawab yang menjadi asas kepada pembentukan warganegara berkualiti. Kesejahteraan yang dinikmati hari ini bukan sekadar warisan daripada generasi terdahulu, tetapi amanah yang perlu dihargai dan dipelihara oleh generasi masa kini untuk diwariskan kepada generasi akan datang.


Penulis merupakan Penyelaras Kursus Jati Diri di Pusat Asasi Sains Universiti Malaya (PASUM) dan boleh dihubungi di chean285@um.edu.my

Previous article