6 October 2026

Keyakinan

Featured

Leaving

What we really pass on By Ng Kwan Hoong I recently...

Keyakinan

Kebergantungan emosi dalam persahabatan yang tidak sihat Oleh Dr. Syarifah...

Conversations

Have we judged Gen Alpha too quickly? By Matthuri Palanee Gen...

Her presence

When a life becomes part of a nationโ€™s identity By...

Parallels

In her story, I found echoes of my own By...

Share

Kebergantungan emosi dalam persahabatan yang tidak sihat

Oleh Dr. Syarifah Maisarah binti Syed Alwi

Persahabatan merupakan salah satu sumber sokongan sosial yang penting dalam kehidupan seseorang. Dalam persahabatan yang sihat, hubungan tersebut memberikan rasa diterima, dihargai, dan difahami terutamanya apabila seseorang individu itu sedang menghadapi cabaran. Tetapi, keadaan boleh menjadi rumit apabila kita menyedari bahawa kawan tersebut mungkin memberikan pengaruh yang negatif, dan pada masa yang sama kita sudah terlalu bergantung kepadanya secara emosi. Walaupun keinginan untuk menjauhkan diri mungkin wujud, ia tetap akan disertai dengan rasa bersalah, takut kehilangan, dan kebimbangan tentang kemampuan untuk meneruskan kehidupan tanpa kawan tersebut.

Kebergantungan emosi kepada seorang kawan boleh berlaku apabila individu menjadikan kawan tersebut sebagai sumber utama atau satu-satunya sumber sokongan emosi. Sebagai contoh, setiap kali menghadapi masalah, kawan tersebut akan dicari untuk mendapatkan nasihat, pengesahan, atau ketenangan sehinggakan pada satu tahap seseorang individu itu mungkin merasakan bahawa dia tidak mampu membuat keputusan sendiri tanpa persetujuan kawan berkenaan. Akhirnya, keadaan ini boleh mengakibatkan kesukaran untuk menetapkan batas kerana takut kawan tersebut tersinggung, marah atau meninggalkannya.

Jika kebergantungan emosi sudah terbentuk dalam tempoh yang lama, perubahan secara tiba-tiba mungkin menimbulkan tekanan emosi yang besar. Perkara pertama yang perlu dilakukan ialah menyedari bahawa menjauh tidak semestinya bermaksud memutuskan persahabatan secara mendadak. Mulakan penjarakkan emosi secara berperingkat. Contohnya, kurangkan kekerapan berkomunikasi, kurangkan perkongsian perkara yang terlalu peribadi dan elakkan daripada menjadikan kawan tersebut sebagai orang pertama yang dicari setiap kali berhadapan dengan masalah.

Pada masa yang sama, seorang individu perlu membina semula sistem sokongan sosial yang lebih luas. Jangan jadikan seorang kawan sebagai satu-satunya tempat untuk mendapatkan sokongan. Hubungan dengan ahli keluarga, rakan-rakan lain, komuniti mahupun individu lain yang dipercayai boleh diperkukuhkan semula. Aktiviti yang memberikan kepuasan dan keyakinan diri juga boleh membantu seseorang membina semula rasa berdikari. Apabila sumber sokongan dipelbagaikan, individu tersebut tidak lagi merasakan bahawa kehilangan seorang kawan bermakna kehilangan seluruh sistem sokongan emosinya.

Langkah seterusnya ialah belajar membuat keputusan sendiri. Kebiasaannya, individu yang terlalu bergantung secara emosi mungkin sudah terbiasa meminta pandangan dan validasi kawan sebelum membuat hampir setiap keputusan. Dalam keadaan ini, seseorang boleh mula bertanya kepada diri sendiri, โ€œApakah yang saya fikirkan? Apakah yang saya perlukan? Apakah keputusan yang selaras dengan nilai dan keperluan saya?โ€ Mendengar nasihat orang lain bukanlah sesuatu yang salah, tetapi keputusan akhir perlu dibuat dengan kesedaran dan tanggungjawab sendiri. Disebabkan oleh itu, autonomi dalam membuat keputusan masih terletak di dalam genggaman sendiri setelah mendengar pandangan orang lain yang dipercayai.

Penetapan batas juga merupakan langkah yang sangat penting yang mana setiap individu perlu berani menyatakan perkara yang boleh dan tidak boleh diterima dalam persahabatan. Contohnya, seseorang boleh berkata, โ€œSaya hargai awak ambil berat tentang saya, tetapi saya perlukan ruang untuk menguruskan perkara ini sendiri.โ€ Pernyataan seperti ini bukan bermakna kita menolak kawan tersebut. Sebaliknya, kita sedang menjelaskan bahawa kita menghargai persahabatan tetapi pada masa yang sama mahu hak dan ruang peribadi kita dihormati.

Namun begitu, menetapkan batas mungkin menimbulkan rasa bersalah. Ramai individu beranggapan bahawa apabila mereka mula menjauh atau berkata โ€œtidakโ€, mereka sedang menjadi kawan yang tidak baik. Sebenarnya, rasa bersalah tidak semestinya bermaksud kita melakukan sesuatu yang salah. Kadangkala rasa bersalah muncul kerana kita sedang melakukan sesuatu yang tidak biasa. Sebagai contoh, jika selama ini kita sentiasa memenuhi kehendak kawan, menetapkan batas mungkin terasa seperti satu tindakan yang salah walaupun sebenarnya ia penting untuk kesejahteraan diri.

Membezakan antara rasa bersalah dengan tanggungjawab juga adalah penting. Kita bertanggungjawab untuk melayan orang lain dengan hormat, tetapi kita tidak bertanggungjawab untuk sentiasa memastikan semua orang berpuas hati dengan keputusan kita. Kawan mungkin berasa kecewa apabila kita mula menetapkan batas, tetapi kekecewaan mereka tidak bermakna kita telah melakukan kesalahan. Dalam persahabatan yang sihat, kedua-dua pihak perlu mempunyai ruang untuk menyatakan keperluan masing-masing.

Selain itu, penting juga untuk tidak terlalu cepat melabel seseorang sebagai โ€œkawan toksikโ€. Tidak semua konflik atau ketidaksetujuan dalam persahabatan bermaksud hubungan tersebut toksik. Kita perlu melihat corak tingkah laku secara keseluruhan. Adakah kawan tersebut secara berterusan tidak menghormati batas? Adakah kita sering berasa tertekan, takut, bersalah atau hilang keyakinan diri selepas berinteraksi dengannya? Adakah kita merasakan bahawa kita perlu mengorbankan keperluan sendiri untuk mengekalkan persahabatan tersebut? Persoalan-persoalan ini dapat membantu kita menilai hubungan dengan lebih objektif.

Akhir sekali, jika seseorang menyedari bahawa dia terlalu bergantung kepada seorang kawan secara emosi, persoalan pertama bukanlah, โ€œBagaimana saya hendak hidup tanpa dia?โ€ Sebaliknya, tanyalah, โ€œBagaimana saya boleh membina kehidupan yang tidak bergantung kepada seorang sahaja untuk saya rasa selamat dan yakin?โ€ Apabila kita mula membina semula keyakinan diri, memperluas sistem sokongan, dan menetapkan batas yang sihat, kita akan lebih mampu melepaskan hubungan yang tidak lagi memberikan manfaat tanpa kehilangan jati diri sendiri.


Penulis merupakan Pensyarah Kanan di Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya, dan Ahli Psikologi Klinikal Malaysia.

Previous article
Next article