6 November 2026

Mulia

Featured

Mulia

Mengembalikan akhlak dalam masyarakat digital Oleh Mohd Shahrizal Bin Faizal Kemajuan...

Ready

The transformation signal from Sunway's Global Tipping Points Conference By...

Hentikan

Jangan biar media sosial ganggu siasatan jenayah Oleh Dr. Haezreena...

Not ordinary

The things she knew how to make By Nahrizul Adib...

Strengths

Our economic resilience is real, risks are structural, not...

Share

Mengembalikan akhlak dalam masyarakat digital

Oleh Mohd Shahrizal Bin Faizal

Kemajuan teknologi komunikasi telah membuka ruang yang luas kepada masyarakat untuk berinteraksi, berkongsi pandangan dan menyampaikan maklumat. Namun, kemudahan ini turut disertai cabaran keruntuhan akhlak, khususnya apabila penghinaan, ejekan dan kata-kata kesat semakin dianggap sebagai hiburan di media sosial. Kebebasan bersuara seolah-olah dijadikan alasan untuk menjatuhkan maruah orang lain tanpa memikirkan kesannya.

Menurut laporan bertarikh 28 Julai 2026, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah membuka 607 kertas siasatan sepanjang tahun 2025 melibatkan pelbagai kesalahan kandungan dalam talian. Angka ini memperlihatkan kepentingan memperkukuh kesedaran masyarakat tentang etika komunikasi dan tanggungjawab dalam dunia digital.

Akhlak sebagai asas keharmonian masyarakat

Islam melarang perbuatan menghina dan memperlekehkan orang lain. Allah SWT berfirman dalam Surah al-Hujurat, ayat 11: “Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah sesuatu kaum memperolok-olokkan kaum yang lain, kerana boleh jadi kaum yang diperolok-olokkan itu lebih baik daripada mereka.”

Menurut Imam al-Baydawi dalam Anwar al-Tanzil wa Asrar al-Ta’wil (jil. 5, hlm. 136), larangan ini merangkumi perbuatan sesama lelaki dan perempuan yang beriman kerana individu yang dipersendakan mungkin lebih baik kedudukannya di sisi Allah SWT daripada orang yang mempersendakannya.

Larangan ini relevan dalam kehidupan digital apabila seseorang dihina kerana penampilan, kekurangan diri, latar belakang atau pandangan yang berbeza. Penilaian manusia berdasarkan perkara yang zahir tidak seharusnya menjadi alasan untuk merendahkan martabat orang lain.

Fenomena generasi strawberi dan ketahanan emosi

Istilah generasi strawberi sering digunakan untuk menggambarkan golongan muda yang dianggap mudah tersinggung atau kurang tahan menghadapi tekanan dan kritikan. Walau bagaimanapun, istilah ini tidak wajar digunakan untuk melabel keseluruhan generasi muda kerana setiap individu mempunyai latar belakang, pengalaman dan tahap ketahanan emosi yang berbeza.

Isu ini turut mengundang perhatian apabila perajurit muda Tentera Darat Malaysia Intake 206/26 menamatkan latihan asas ketenteraan di Pusat Latihan Asas Tentera Darat (PUSASDA), Port Dickson, pada 17 Oktober 2026. Setelah menjalani latihan selama enam bulan yang menuntut ketahanan fizikal, kekuatan mental dan disiplin tinggi, kejayaan menamatkan latihan sepatutnya menjadi detik yang membanggakan buat para perajurit muda dan keluarga yang hadir meraikannya.

Namun, perbincangan mengenai mutu kawad mereka di media sosial, termasuk kecaman yang dilaporkan berlegar di TikTok, Facebook dan Threads, menimbulkan persoalan tentang batas kritikan dalam masyarakat. Bagi seorang perajurit muda yang baru menamatkan latihan, hari yang sepatutnya menjadi kenangan manis boleh dibayangi rasa malu apabila kekurangannya dijadikan bahan ejekan di ruang awam.

Sememangnya, kawad merupakan antara aspek penting dalam latihan ketenteraan yang menuntut ketepatan, keseragaman dan disiplin. Sebarang kelemahan boleh ditegur dan diperbaiki. Namun, teguran yang bertujuan membina kecekapan perlu dibezakan daripada kecaman yang sekadar memperlekehkan seseorang. Membentuk ketahanan mental bukan bererti kita bebas menjatuhkan maruah orang lain.

Dalam konteks ini, masyarakat perlu membezakan antara membina ketahanan emosi dengan menormalisasikan penghinaan. Seseorang perlu belajar menerima teguran yang benar, manakala pihak yang menegur pula bertanggungjawab menyampaikan kritikan secara berhemah. Islam mengajar umatnya supaya berlaku adil, menjaga tutur kata dan tidak memperolok-olokkan orang lain. Ketegasan dalam mendidik seharusnya berjalan seiring dengan akhlak, bukannya mengorbankan maruah manusia.

Jangan memandang remeh kebaikan

Rasulullah SAW bersabda daripada Abu Zar RA, maksudnya: “Janganlah engkau memandang remeh sesuatu kebaikan, walaupun sekadar bertemu saudaramu dengan wajah yang ceria.” (Riwayat Muslim, no. 2626)

Hadis ini menunjukkan bahawa kebaikan tidak semestinya berbentuk pemberian harta atau bantuan yang besar. Perkara sederhana seperti menyambut seseorang dengan wajah yang ceria juga merupakan amalan yang dianjurkan dalam Islam.

Menurut Musa Shahin Lashin dalam Fath al-Mun’im Sharh Sahih Muslim (jil. 10, hlm. 122), pertemuan sesama Muslim merupakan salah satu jalan untuk memupuk kasih sayang dan belas ihsan. Sikap menampilkan wajah yang ceria, kelembutan tutur kata dan kerendahan hati dapat membantu mewujudkan ketenangan serta membina rasa selamat dalam hubungan sesama manusia.

Huraian ini memperlihatkan bahawa akhlak bukan sekadar berkaitan larangan melakukan kejahatan, bahkan merangkumi usaha aktif untuk memberikan keselesaan kepada orang lain. Senyuman, sapaan yang baik dan kata-kata yang menenangkan mungkin kelihatan kecil, tetapi semuanya berperanan dalam mengeratkan hubungan sosial.

Dalam konteks media sosial, pengajaran ini boleh diterjemahkan melalui komen yang membina, kata-kata semangat kepada individu yang sedang menghadapi kesukaran dan keengganan menyebarkan kandungan yang mengaibkan orang lain.

Menjaga lisan dan tulisan

Rasulullah SAW bersabda, maksudnya: “Hendaklah dia berkata yang baik atau diam.” (Riwayat al-Bukhari, no. 6018)

Prinsip ini turut terpakai dalam komunikasi digital. Setiap pengguna perlu mempertimbangkan kesan sesuatu hantaran, komen atau perkongsian sebelum menerbitkannya. Teguran dan kritikan tetap dibenarkan, tetapi hendaklah berasaskan fakta, bertujuan memperbaiki keadaan dan disampaikan dengan cara yang berhemah.

Masyarakat juga perlu memahami bahawa gurauan yang dianggap ringan oleh seseorang mungkin memberikan kesan mendalam kepada orang lain. Oleh itu, empati dan kepekaan terhadap keadaan orang sekeliling merupakan unsur penting dalam membina persekitaran digital yang lebih sihat.

Mengembalikan budaya kebaikan

Pembentukan masyarakat berakhlak memerlukan usaha bersama. Masyarakat hendaklah membudayakan komunikasi yang sopan, khususnya ketika memberikan teguran terhadap kelemahan orang lain. Pengguna media sosial pula perlu bertanggungjawab terhadap kandungan yang diterbitkan serta mengelakkan perbuatan memperlekehkan individu yang sedang berusaha memperbaiki diri.

Kesimpulannya, kemajuan teknologi perlu berjalan seiring dengan kematangan akhlak. Isu kawad perajurit muda tidak seharusnya dijadikan alasan untuk menghina golongan tersebut, sebaliknya menjadi ruang untuk menilai semula cara masyarakat menegur, menghargai usaha dan membina ketahanan mental.

Janganlah terlalu sibuk mencari kelemahan orang lain sehingga terlupa bahawa satu perkataan yang baik, satu teguran yang berhemah dan satu penghargaan yang ikhlas mungkin menjadi permulaan kepada perubahan yang lebih besar.

Sesungguhnya, kemajuan sesebuah masyarakat bukan sahaja diukur melalui kecanggihan teknologi, tetapi juga melalui keluhuran akhlak dan nilai kemanusiaan yang diamalkan oleh setiap anggotanya.


Penulis dari Jabatan Al-Quran dan Al-Hadith, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya.

Previous article
Next article