17 April 2026

Kembalikan

Featured

Successful

Why Sarawakโ€™s quiet pragmatism outshines the federal blueprintโ€™s echoes By...

Away

Data will keep people out of our hospitalsโ€”and thatโ€™s...

Leading

Good intentions aren't enough for good governance By Professor Dato...

Assumptions

The illusion of coverage By Nur Balqis Zahirah Ali, Ng...

Manis

UM kembalikan senyuman kanak-kanak orang asli Pos Kuala Mu Oleh...

Share

Oleh Mohd Anuar Ramli

Alam perkahwinan merupakan salah satu fasa dalam kehidupan manusia. Ia menjadi impian dan dambaan bagi tiap insan, terutamanya bagi memperolehi pasangan yang soleh dan bertanggungjawab. Ini disebabkan objektif utama sebuah perkahwinan adalah bagi merealisasikan kehidupan sakinah (tenang), mawaddah (kasih sayang) dan rahmah. Ibaratnya, seorang bapa umpama nahkoda dan seorang ibu umpama sebuah bahtera. Nahkoda berperanan dalam mengemudikan bahtera ketika berlayar di lautan. Kedua-duanya memainkan peranan penting dalam konteks keharmonian sebuah rumahtangga.

Pada hari ini, masyarakat Islam dikejutkan dengan pelbagai kisah rumahtangga yang tragis dan pilu tidak kurang juga kisah-kisah kontroversi pasca berlakunya penceraian. Media sosial menjadi medium untuk membongkar kisah dalam kain dan dipertontonkan dengan bangganya ke seluruh pelusuk alam. Sedangkan ketika menikmati kebahagiaan, mereka juga menunjukkan kepada dunia bahawa mereka pasangan terpaling manis, romantik dan bahagia. Konflik rumah tangga ini selain menimbulkan keaiban pasangan, malah kemuncaknya ada pihak yang menjadi korban keganasan dan dalam beberapa kes berakhir dengan kematian.

Dalam hukum Islam, ada satu istilah yang penting dan sering dikaitkan dengan perkahwinan, iaitu qiwamah. Istilah ini ditafsirkan secara literalnya bererti pemimpin. Ia adalah suatu konsep yang bermaksud kepimpinan, perlindungan, dan penyedia nafkah seorang lelaki terhadap wanita dalam konteks rumahtangga. Firman Allah SWT dalam Surah al-Nisaโ€™ ayat 34 menjelaskan tentang qiwamah, maknanya: โ€œKaum lelaki itu adalah pemimpin bagi kaum wanita, oleh kerana Allah telah melebihkan sebahagian mereka (lelaki) atas sebahagian yang lain (wanita), dan kerana mereka telah membelanjakan (memberi nafkah) dari harta merekaโ€ฆโ€ Ayat ini menegaskan bahawa peruntukan qiwamah kepada lelaki berkait rapat dengan nafkah rumahtangga. Ia bukanlah suatu keistimewaan yang melahirkan penindasan dan penguasaan, sebaliknya ia adalah satu amanah yang dititipkan untuk memimpin rumahtangga, menjaga dan melindungi isteri serta anak-anak dalam sebuah keluarga. Ia tidak boleh disalahgunakan dengan alasan keagamaan bagi menghalalkan sebarang bentuk penindasan, pengabaian, keculasan dan keganasan rumahtangga.

Namun begitu, pesona qiwamah semakin hari semakin pudar dalam alam rumahtangga. Suami dan bapa, iaitu orang yang bertanggungjawab dalam melindungi dan menanggung nafkah rumahtangga gagal melaksanakannya dengan penuh amanah. Akibatnya, pincanglah institusi keluarga, dan isteri serta anak-anak menjadi mangsa utama dalam konflik rumahtangga. Kepudaran ini dapat dilihat dalam beberapa isu masa kini. Di antaranya:

Pertama, suami mendera dan membunuh isteri. Laporan jenayah keganasan rumah tangga semakin hari semakin meningkat. Apabila suami tidak lagi manganggap isteri sebagai amanah Allah, maka berlakulah penderaan fizikal, emosi, dan dalam kes tragis melibatkan kehilangan nyawa. Sikap baran ini timbul apabila sifat kasih sayang dan tanggungjawab telah hilang. Isteri yang dahulunya dijemput dengan penuh kegembiraan serta beradat dan tradisi dari rumah walinya, dipulangkan kembali dengan penuh tangisan dalam keadaan jenazah. Suami telah menyalahgunakan kekuatan fizikal dan rasa superioriti untuk menzalimi dan menjadikan isteri sebagai mangsa keganasan dan pembunuhan.

Kedua, suami mengabaikan nafkah isteri dan anak-anak. Dalam rumahtangga, tanggungjawab menyediakan nafkah buat isteri dan anak-anak adalah tertakluk kepada suami. Walaupun telah bercerai dengan isteri, tanggungjawab nafkah tetap dipikul oleh seorang bapa. Ia merangkumi nafkah zahir seperti makanan, pakaian dan tempat tinggal, juga nafkah batin seperti kasih sayang, perlindungan dan seumpamanya. Apabila nafkah diabaikan, isteri dan anak-anak menjadi mangsa kelaparan, dan berada dalam keadaan susah. Kegagalan pihak bapa ini telah menyebabkan perlunya tindakan perundangan dalam penguatkuasaan perintah nafkah oleh mahkamah Syariah. Situasi ini bertentangan dengan konsep qiwamah yang mana seorang bapa telah diamanahkan sebagai penyedia nafkah keluarga telah engkar dan abaikan kewajipannya.

Ketiga, suami yang menggantungkan isteri tidak bertali. Ada suami yang tidak menceraikan, bahkan juga mengabaikannya dengan tidak memberi nafkah dan kasih sayang. Isteri ditinggalkan bersama anak dalam keadaan status tergantung dan tidak dibebaskan dari ikatan perkahwinan berdasarkan peruntukan undang-undang keluarga Islam. Mereka hidup dalam keadaan serba salah untuk menerima bantuan dari pihak berwajib. Status ibu tunggul ini menyebabkan bantuan atau zakat tidak dapat disalurkan kerana masih mempunyai suami yang sah. Situasi mungkin berbeza bagi ibu tunggal. Ini adalah bentuk kezaliman terhadap pasangan dan bertentangan dengan konsep qiwamah yang menekankan rasa bertanggungjawab seorang suami.

Keempat, suami yang curang. Saban hari kes kecurangan dalam rumahtangga dikongsi dalam media sosial baharu. Ikatan perkahwinan yang suci telah dicemari dengan skandal dan perzinaan. Walaupun telah mempunyai pasangan yang sah dan halal, terdapat juga suami yang masih ketagih dengan perzinaan. Sikap khianat ini merosakkan dan memusnahkan rumahtangga kerana zina adalah jelas perbuatan yang diharamkan Syarak. Apa yang dibimbangi, suami memindahkan penyakit berjangkit dari perempuan yang diharamkan kepada isteri yang setia menjaga kesucian diri. Ia bertentangan dengan konsep qiwamah yang sepatutnya melindungi isteri dan keluarga dari kemudaratan.

Kelima, suami yang tidak bertanggungjawab. Terdapat ramai suami yang mengabaikan tanggungjawab dalam rumahtangga. Jika berdasarkan ajaran Islam, suami perlu menjalankan tanggungjawabnya sebagai ketua keluarga tetapi mereka telah lepas tangan. Fenomena isteri bekerja dan menyara keluarga semakin menjadi-jadi. Peluang pendidikan yang menyebabkan wanita mempunyai kerjaya yang lebih baik mendorong pihak suami untuk mengambil kesempatan tidak bekerja. Ibaratnya menanggung biawak hidup, isteri terpaksa bekerja untuk memastikan dapur berasap dan anak-anak mendapat makanan yang mencukupi. Sikap lepas tangan ini bertentangan dengan sikap qiwamah seorang suami yang sepatutnya menafkahi keluarganya atau bertanggungjawab.

Keenam, suami yang dayus. Sifat dayus ini menyebabkan suami tidak mampu untuk menjadi ketua rumahtangga yang baik. Ia berlaku apabila suami atau bapa tidak ada rasa cemburu atau marah apabila terdapat pelanggaran terhadap ajaran Islam dan maruah keluarganya. Suami membiarkan isteri dan anak-anak untuk keluar berfoya-foya, anak berzina dianggap norma biasa dan membiarkan perbuatan buruk berlaku dalam keluarganya tanpa sebarang tindakan. Begitu juga suami yang mendera dan menyiksa isteri dan anak-anak turut termasuk dalam kategori dayus kerana hanya menunjukkan keberanian dengan golongan lemah. Situasi ini jika berterusan boleh menyebabkan keruntuhan rumahtangga dan kerosakan institusi keluarga. Ia jelas bertentangan dengan konsep qiwamah yang menekankan sikap mendidik dan melindungi maruah isteri serta keluarga.

Tegasnya, seorang lelaki perlu menjalankan peranan dan fungsi qiwamah dalam membangunkan sebuah rumahtangga yang sakinah, mawaddah dan rahmah. Suami sepatutnya menjadi pemimpin rumahtangga yang adil, penjaga dan pelindung serta penyedia nafkah keluarga. Ini kerana qiwamah bukanlah sebuah kekuasaan mutlak, bukan juga dominasi atau superioriti seorang lelaki atas wanita. Kegagalan menghayati konsep qiwamah ini menyebabkan berlakunya kezaliman, penderaan, malah anak-anak membesar dalam ekosistem yang toksik dan traumatik.

Sehubungan dengan itu, menjadi tanggungjawab pelbagai pihak untuk mendidik golongan lelaki agar memahami erti sebenar qiwamah agar mereka mampu memikulnya dengan penuh amanah dan tanggungjawab. Dalam hal ini, Rasulullah SAW telah menunjukkan contoh teladan yang baik. Baginda SAW telah bersabda, maknanya: Sebaik-baik kalian adalah yang paling baik terhadap ahli keluarganya, dan aku adalah orang yang paling baik terhadap ahli keluargaku. (HR al-Tirmidhi)

Sempena sambutan hari bapa pada hari ini, marilah kita bersama-sama menghayati konsep qiwamah dalam mengemudikan bahtera rumahtangga. Betapa beruntungnya mereka yang mempunyai seorang bapa yang bertanggungjawab dan amanah. Justeru hargailah titik peluh dan titisan keringat seorang bapa dalam mencari nafkah bagi membesarkan anak-anak penuh kasih sayang, tanpa keluh kesah dan tanpa mengharapkan sebarang imbalan.


Profesor Madya Dr Mohd Anuar Ramli ialah Pensyarah di Jabatan Fiqh dan Usul, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, dan boleh dihubungi di mohdanuar@um.edu.my

Previous article
Next article