21 January 2026

Jaminan Nusantara

Featured

Ilmu lestari

UM didik golongan muda menyayangi tanah melalui Soil Doctor...

Efficiently

Acting on modernising public admin By Sheila Ramalingam The Government Service...

Familicide

The anatomy of the most intimate violence By Haezreena Begum...

Hak mereka

Sebuah ingatan kepada anak-anak yang culas Oleh Ariyanti Mustapha Peranan dan...

For them

The Gig Workers Bill 2025 reshapes Malaysiaโ€™s labour law By...

Share

Oleh Nurhidayah Abdullah

Ekonomi gig bukan lagi suatu istilah yang asing di Malaysia, malah kini menjadi antara pemacu utama pertumbuhan ekonomi negara. Sejak penularan pandemik COVID-19 pada tahun 2020, pekerjaan gig semakin mendapat tempat dalam kalangan rakyat kerana sifatnya yang fleksibel serta pembayaran upah yang cepat. Walaupun sektor ini berkembang pesat dari hari ke hari, pekerja gig masih belum menikmati perlindungan yang menyeluruh di bawah kerangka undang-undang sedia ada. Dengan ciri-ciri unik yang berbeza daripada pekerja formal, golongan ini terkeluar daripada definisi โ€œpekerjaโ€ sebagaimana yang ditetapkan dalam Akta Kerja 1955.

Menyedari kepentingan isu ini, pada 13 Ogos 2025 saya bersama dua orang pensyarah, iaitu Profesor Madya Dr. Nadhratul Wardah binti Haji Salman dari Fakulti Undang-Undang dan Dr. Adilah binti Abdul Ghapor dari Fakulti Perniagaan dan Ekonomi, serta lima orang pelajar Universiti Malaya iaitu Encik Mohd Muslim bin Said, Encik Muhd Syariqul Huzni bin Murad, Cik Miranda Farahdina Nugraha, Encik Muhammad Najwan Nabil bin Muhd Nasir dan Cik Nursyazuwana binti Meli, telah diberi kepercayaan mengiringi delegasi dari Universiti Diponegoro, Semarang, Indonesia. Delegasi tersebut terdiri daripada tiga orang pensyarah, iaitu Encik Rahandy Rizki Prananda, Cik Willy Naresta Hanum dan Encik Muhamad Ramdan.

Lawatan penandaarasan ini bertujuan menjadi medium perbincangan dan pertukaran pandangan mengenai cadangan penubuhan undang-undang khusus bagi sektor ekonomi gig, yang semakin mendapat perhatian di peringkat nasional dan serantau. Kedua-dua delegasi menegaskan bahawa sektor ini bukan sahaja membuka peluang pekerjaan baharu, malah telah muncul sebagai tonggak penting dalam menjana ekonomi pasca pandemik.

Perkara utama yang diketengahkan ialah keperluan mencari keseimbangan antara mengekalkan fleksibiliti pekerjaan gig yang menjadi tarikan utama kepada pekerja dan majikan dengan memastikan hak-hak pekerja tetap dilindungi. Aspek yang dibincangkan merangkumi perlindungan keselamatan sosial, jaminan pendapatan, kebebasan berpersatuan, serta kewujudan mekanisme aduan yang berkesan.

Perbincangan mengenai landskap undang-undang kedua-dua negara turut memberi impak yang signifikan. Indonesia, misalnya, memiliki platform Gojek iaitu perkhidmatan e-hailing berasaskan motosikal yang tidak terdapat di Malaysia. Melalui perkongsian ini, wujud pertukaran pandangan yang lebih luas mengenai isu perlindungan pekerja gig, penggubalan undang-undang, dan cabaran sektor ekonomi digital.

Delegasi Indonesia turut berkongsi pengalaman mereka dalam membangunkan undang-undang baharu, dengan menekankan bahawa sistem undang-undang sivil yang diamalkan di negara tersebut sering menjadikan proses penggubalan lebih rumit berbanding Malaysia.

Di Malaysia, sesuatu rang undang-undang hanya melalui tujuh peringkat utama bermula daripada cadangan oleh kementerian, perbahasan di Dewan Rakyat dan Dewan Negara, sebelum mendapat perkenan diraja daripada Yang di-Pertuan Agong untuk diwartakan sebagai undang-undang. Sebaliknya, di Indonesia, rang undang-undang perlu terlebih dahulu dimasukkan ke dalam Program Legislasi Nasional (Prolegnas), disertakan dengan dokumen akademik, sebelum melalui proses perbahasan panjang di Parlimen. Draf undang-undang di sana juga melibatkan pelbagai pemegang taruh termasuk kementerian, ahli politik, dan masyarakat sivil, menjadikan prosesnya lebih kompleks. Walaupun Presiden mempunyai kuasa mengeluarkan Perppu (Peraturan Pemerintah Pengganti Undang-undang) dalam keadaan darurat, peraturan tersebut tetap memerlukan pengesahan daripada Dewan Perwakilan Rakyat.

Dalam konteks Malaysia, penggubalan Rang Undang-Undang Pekerja Gig yang bakal diperkenalkan dilihat sebagai langkah progresif ke arah memberi perlindungan dan pengiktirafan kepada golongan pekerja gig. Inisiatif ini dijangka bukan sahaja memperkukuh landskap perundangan buruh negara, malah turut menarik minat Indonesia yang ingin meneliti pengalaman Malaysia dalam merangka kerangka undang-undang khusus bagi sektor ini.

Selain sesi perbincangan, delegasi turut dibawa melawat Perpustakaan Undang-Undang Tan Sri Profesor Ahmad Ibrahim, Universiti Malaya. Mereka menyatakan kekaguman terhadap koleksi bahan rujukan dan kes-kes perundangan dari dalam dan luar negara, memandangkan sistem perundangan di Indonesia lebih banyak bergantung kepada peruntukan undang-undang bertulis.

Secara keseluruhannya, lawatan penandaarasan ini telah membuka minda kedua-dua pihak untuk terus berfikiran ke hadapan dalam memperjuangkan nasib pekerja gig yang kini menjadi sebahagian penting daripada ekosistem tenaga kerja moden. Pengalaman yang dikongsi oleh delegasi Indonesia memberi nilai tambah dalam menilai cabaran penggubalan undang-undang, khususnya apabila perbezaan sistem perundangan memberi kesan kepada kelancaran proses tersebut.

Lawatan ini bukan sahaja memberi inspirasi dalam usaha mencari model terbaik untuk melindungi pekerja gig, malah turut mengeratkan hubungan akademik antara Universiti Malaya dan Universiti Diponegoro. Melalui jalinan kerjasama ini, kedua-dua universiti berpotensi meneroka penyelidikan bersama, menghasilkan cadangan dasar yang inklusif, serta menyumbang kepada pembangunan undang-undang yang lebih relevan dengan realiti ekonomi digital semasa.


Profesor Madya Dr Nurhidayah Abdullah ialah Profesor Madya Dr di Fakulti Undang-Undang, Universiti Malaya, dan boleh dihubungi di abd_hidayah@um.edu.my

Previous article
Next article