Oleh Muhammad Ridha Ali Huddin
Alunan bacaan al-Quran pastinya membuatkan hati dan jiwa seseorang menjadi tenang dan damai. Kebanyakan orang pasti menyangka bahawa ketenangan dan kedamaian itu datang daripada lantunan suara dan bunyi yang lunak seorang Qari/Qari’ah dengan menggunakan tarannum tertentu.
Namun, di sebalik suara yang lunak dan merdu itu wujudnya perkara yang lebih asas iaitu sebutan bunyi huruf Arab itu sendiri. Bagi masyarakat Melayu, huruf Arab mula diperkenalkan melalui tulisan Jawi dan pengajian al-Quran. Namun begitu, tidak ramai yang menyedari bahawa setiap huruf Arab itu mempunyai cara dan kaedah sebutan yang spesifik, iaitu dengan makhraj dan sifat tertentu.
Apabila menyentuh tentang istilah ‘makhraj’ dan ‘sifat huruf’, istilah ini pastinya sudah tidak asing lagi dalam kalangan ramai dalam masyarakat Melayu Islam di Malaysia Persoalannya, sejauh mana masyarakat Islam memahami dan mengaplikasi kedua-dua istilah tersebut ketika menyebut bunyi huruf Hijaiyyah atau membaca ayat al-Quran? Keindahan bahasa Arab bukan sahaja bergantung pada makna perkataan, tetapi juga pada ketepatan sebutan hurufnya.
Lebih daripada sekadar bunyi
Perbezaan antara sebutan bunyi huruf Arab dan huruf rumi bahasa Melayu adalah amat ketara. Dalam ilmu fonetik Arab, sistem bunyi huruf Arab mempunyai tempat keluar huruf (makhraj) yang tepat sama ada dari kerongkong, lidah, bibir atau rongga mulut. Selain itu, setiap huruf hijaiyyah juga mempunyai sifat-sifat tertentu, bahkan satu huruf juga boleh mempunyai hingga 3-4 sifat huruf.
Antara sifat-sifat huruf Arab yang biasa didengari seperti sifat tebal (tafkhim), nipis (tarqiq), tak bersuara (mahmus), bersuara (majhur), geseran (ihtikak), letupan (infijar) dan banyak lagi. Contohnya, huruf Qāf (ق), sifat huruf ini ialah dari pangkal lidah (aslu al-lisān) serta disebut dengan bunyi yang tebal. Sekiranya bunyi huruf ini dibaca seperti bunyi huruf ‘k’ dalam bahasa Melayu, maka hilanglah kekuatan bagi sifat huruf ini.
Begitu juga keadaannya dengan bunyi huruf Ḍād (ض) yang dilabel sebagai huruf istiṭālah () iaitu dengan menyebut bunyi hurufnya dengan menggunakan sepanjang sisi lidah. Bunyi huruf ini hanya tunggal dalam bunyi huruf Arab apatah lagi padanan dalam bahasa Melayu. Disebabkan keunikan bunyi huruf Ḍād juga membuatkan Bahasa Arab mendapat gelaran ‘Lughaṭ al-Ḍād’.
Justeru, apabila bunyi huruf Arab dapat disebut dengan tepat, maka ia bukan sahaja menghasilkan kelunakan di telinga, malah melestarikan keaslian makna yang terkandung di dalamnya.
Sebutan dan makna
Mengapa sebutan huruf ini begitu penting? Hal ini disebabkan oleh makna bagi setiap perkataan boleh dipengaruhi oleh sebutan. Jika sebutan yang dihasilkan tidak tepat, maka perubahan makna boleh berlaku. Dalam bahasa Arab, bahkan perbezaan kecil pada makhraj huruf juga boleh menukar seluruh maksud perkataan tertentu. Contohnya, perkataan حمد (hamd) bermaksud pujian, manakala همد (hamada) bermaksud padam atau hilang nyawa. Hanya beza huruf ح (ha kerongkong) dengan هـ (ha biasa), tetapi maknanya jauh berbeza.
Begitu juga antara صبر (sabr, sabar) dengan سبر (sabar, menyelidik). Perbezaan antara ص (sad, huruf tebal) dan س (sin, huruf nipis) menjadikan makna berubah sepenuhnya. Kesalahan sebutan bukan sekadar kesalahan teknikal, tetapi boleh menimbulkan salah faham dari segi makna. Inilah yang menjadikan ilmu tajwid dan latihan sebutan huruf begitu penting.
Begitu juga dengan sebutan ‘qalbun’ jika tidak disebut dengan bunyi huruf Qāf (ق) dengan tepat, maka bunyi Kāf (ك) yang akan keluar lantas bunyi perkataan ‘kalbun’ (anjing) yang terhasil. Kesilapan sebutan yang difikirkan hanyalah kesalahan kecil, hakikatnya mampu memberikan impak yang besar kepada sesuatu ayat.
Huruf yang menguji lidah Melayu
Sudah semestinya terdapat huruf-huruf tertentu yang menjadi cabaran buat penutur Melayu. Antaranya ialah huruf-huruf yang bersifat faringeal dan faringealisasi di mana kesemuanya tidak mempunyai padanan (counterpart) dalam bunyi bahasa Melayu. Bunyi faringeal ialah bunyi yang melibatkan tekak atau kerongkong sama ada pangkal, tengah atau hujung kerongkong.
Antara contoh bunyi faringeal ialah bunyi ‘Ain (ع), Ḥa (ح), Ghain (خ) dan Kho (غ). Jika diamati dengan lebih teliti, bunyi ‘Ain (ع) dan Ḥa (ح) berada di tengah kerongkong, manakala bunyi Ghain (غ) dan Kho (خ) pula berada di hujung kerongkong. Kesemua bunyi ini berada dalam rongga mulut. Bunyi ‘Ain (ع) contohnya, jika disebut dengan menggunakan rongga hidung, maka akan menghasilkan bunyi sengauan. Begitu juga dengan bunyi Kho (خ), jika disebut menggunakan pangkal kerongkong, maka akan menghasilkan bunyi Qāf (ق) pula.
Bagi bunyi Ha (ح), perlu menyebut dengan memasukkan udara ke dalam rongga mulut (inhalation). Jika sebaliknya (exhalation), maka bunyi Ha (هـ) pula yang akan terhasil. Huruf-huruf ini sangat memerlukan latihan intensif dan kesedaran fonetik. Tanpa bimbingan guru atau pendengaran yang teliti, lidah Melayu sering mengasimilasikan bunyi ini dengan bunyi Bahasa Melayu, lalu hilanglah keunikan asalnya.
Keindahan huruf al-Quran
Jika ditelusuri sejarah Bahasa Arab, huruf-huruf bahasa Arab (hijaiyyah) disusun dengan mengambil kira aspek fonetiknya. Ini dapat dilihat apabila selepas proses perletakan titik oleh Abu Aswad ad-Duali, terdapat beberapa ulama fonetik seperti Khalil Ahmad al-Farahidi, Ibnu Jinniy dan Sibawayh turut terlibat dalam proses pengembangan huruf bahasa Arab.
Sebutan huruf Arab yang tepat bukan sahaja penting dari sudut bahasa dan semantik, tetapi juga dari sudut rohani dan jiwa. Sebagai contoh, bacaan al-Fatihah dalam ibadah solat mesti tepat sebutannya kerana ia sebahagian daripada rukun solat. Kesempurnaan solat boleh terjejas akibat ketidaktepatan dalam sebutan.
Selain itu, sebutan bunyi huruf Arab yang dilantunkan dengan tepat boleh memberikan kesan positif dari aspek psikologi dan rohani; psikospiritual. Kajian menunjukkan bacaan al-Quran boleh mengurangkan tekanan, meningkatkan fokus, dan menenangkan emosi. Hal ini kerana bunyi huruf yang asli mempunyai getaran tertentu yang mempengaruhi saraf pendengar.
Kesimpulannya, sebutan huruf Arab yang betul adalah identiti bahasa itu sendiri. Jika bunyi asal diubah, maka hilanglah sebahagian keaslian bahasa Arab. Huruf Arab adalah jiwa dan roh kepada bahasa Arab. Ketepatan sebutan bunyi huruf Arab bukan hanya datang daripada lantunan suara yang lunak dan merdu, malah juga terhasil daripada sejauh mana maknanya dipelihara serta dapat memberi kesan mendalam kepada jiwa pendengar.
Tidak disangkal lagi, sememangnya menjadi cabaran bagi lidah orang Melayu dalam menyebut huruf Arab dengan tepat, tetapi masih ada ruang dan peluang bagi sesiapa yang berkeinginan tinggi dalam menjaga sebutan bunyi huruf al-Quran ini. Semakin rapi penjagaan sebutan bunyi huruf Arab, semakin tinggi kesan yang diterima oleh pendengar. Bukan sahaja lunak dan indah di telinga, malah menusuk ke qalbu dan mententeramkan jiwa sejagat.
Sebutan huruf Arab bukan sekadar isu linguistik dan sedap di telinga, bahkan ianya adalah warisan, seni, dan ibadah. Apabila lidah kita menyebutnya dengan tepat, kita bukan sahaja belajar bahasa, tetapi juga menghargai keindahan makna yang diciptakan oleh Allah SWT.
Dr. Muhammad Ridha Ali Huddin ialah Pensyarah Kanan di Jabatan Bahasa Arab dan Bahasa-bahasa Timur Tengah, Fakulti Bahasa dan Linguistik, Universiti Malaya, dan boleh dihubungi di mardha67@um.edu.my