26 October 2025

Soal adab

Featured

Soal adab

Berhemah tangani isu pelajar sekolah kerana mereka masa depan...

InsectART ketengah seni STEM

Program InsectART: Transformasi Serangga ke dalam Karya Seni STEM...

Flamenco in UM

By Rozita Che Omar The vibrant rhythms and expressive movements...

Keeping Lembah Kinta’s voices

By Amir Rashad Mustaffa In the quiet limestone caverns of...

Memilih gembira

Oleh Nor Nazrina Mohamad Nazry Kegembiraan apabila berada atas talian...

Share

Berhemah tangani isu pelajar sekolah kerana mereka masa depan kita

Oleh Mohd Roslan Mohd Nor

Semenjak kebelakangan ini, rakyat negara kita sering tersentak dengan laporan kejadian yang tidak dingini terjadi di sekolah melibatkan pelajar yang di bawah umur. Isu seperti pembunuhan yang terjadi di sekolah amat mengejutkan. Bagi sesetengah ibubapa, ia sedikit sebanyak mencalarkan sistem pendidikan negara. Ada yang ingin tindakan segera diambil untuk meningkatkan keselamatan di sekolah-sekolah.

Sebelumnya, kejadian tidak bermoral terjadi di dalam premis sekolah melibatkan pelajar-pelajar sekolah yang baru menginjak ke usia remaja. Ia menjadi bicara umum masyarakat, apabila terjadinya sesuatu isu, termasuklah yang melibatkan isu rogol di dalam kelas, merakam dan menyebarkan rakaman tersebut.

Apa yang terjadi ini adalah lambang kebejatan sosial yang serius dalam kalangan remaja di mana ia perlu ditangani secara bersama. Segala cadangan dan pandangan yang dikemukakan orang ramai perlu diambil kira untuk turut membantu menyelesaikan isu ini.

Tidak guna kita menuding jari kepada pihak-pihak tertentu. Umpamanya ada yang menyalahkan semata-mata ibubapa yang tidak mendidik anak dengan baik. Ada juga yang menyalahkan institusi pendidikan dengan tuduhan gagal melahirkan pelajar yang bermoral. Lebih teruk lagi, ada yang terus menyalahkan Menteri sehingga memberikan komen jelik agar Menteri agar suatu hari nanti terlibat dalam kegiatan itu.

Saya percaya rakyat tidak menyokong apa jua komen-komen yang negatif apa lagi yang bersifat mengejek dan lain-lain. Ramai yang mahu tampil berkongsi punca, kaedah dan mencari jalan menanganinya.

Sepintas lalu, ini adalah realiti dalam masyarakat pada hari ini. Sebenarnya ia menunjukkan keprihatinan masyarakat agar isu ini dapat ditangani dan tidak menjadi lebih parah. Pastinya kita tidak bersetuju dengan tindakan menuding jari kepada sesiapa, apatah lagi dengan komen-komen yang diberikan dengan menggunakan perkataan-perkataan diluar daripada batasan moral.

Tindakan proaktif dan cepat sebenarnya amat didambakan. Apa yang dilakukan oleh Kementerian Pendidikan sudah tentu boleh membantu, namun ada baiknya ia sentiasa dikongsikan agar aspek keterlihatan tindakan yang dilakukan dapat diikuti pendekatannya oleh masyarakat. Mereka mahu lihat sesuatu dapat dilaksanakan segera sebagai tindakan pencegahan.

Dalam masa yang sama, kita perlu juga melihat untuk mendapatkan input-input berguna dari pelbagai pihak. Ini juga akan menjadi pendekatan strategik dengan mengagihkan beban menangani isu ini dengan melibatkan pelbagai pihak-pihak lain yang berkepentingan.

Bahkan terdapat juga pihak-pihak yang secara sukarela bersedia untuk menawarkan diri bagi membantu pihak kementerian. Badan-badan bukan kerajaan umpanya, persatuan-persatuan bekas pendidik, persatuan ibubapa, dan lain-lain turut boleh dilibatkan.

Ketika mencari solusi, pendekatan Islami tidak boleh dilupakan dalam usaha untuk mengangkat martabat pelajar dan karamah insan. Soal dosa dan pahala ada kalanya perlu diterapkan dalam pendidikan. Terdapat kebimbangan bahawa kebejatan moral dilihat bertambah apabila aspek-aspek ini tidak diberi perhatian.

Soal pendidikan awal juga perlu dilihat bersama. Ini termasuklah peranan dan kedudukan ibubapa sebagai golongan yang memberikan pendidikan awal kepada anak-anak. Pendidikan awal inilah yang menjadi pemangkin kemenjadian anak-anak, selain daripada faktor kaedah pengajaran guru, kemudahan sekolah dan lain-lain.

Dalam hal ini, Islam memberikan penekanan terhadap pendidikan seawal dari umur dini lagi. Panduan yang ada berdasarkan Hadis Nabi Muhammad SAW menunjukkan keseriusan dalam soal pendidikan ini perlu diberi keutamaan. Sabda baginda yang bermaksud: “Setiap anak yang lahir itu dilahirkan dalam keadaan fitrah; kedua ibubapa lah yang menjadikannya yahudi, majusi atau Nasrani.” (Sahih Bukhari)

Tidak dinafikan ada lagi faktor-faktor lain untuk kejayaan seseorang. Ia perlu diberikan perhatian jua. Namun begitu, kitab oleh juga Kembali merujuk kepada pepatah yang sering didengari yang menyatakan bahawa “melentur buluh biarlah daripada rebungnya.”.

Diperingkat sekolah pula, kewujudan persatuan ibubapa seharusnya dilihat boleh membantu ke arah melancarkan proses pendidikan bagi melahirkan generasi harapan bangsa. Persatuan ibubapa di atas apa nama sekalipun seperti PIBG, Muafakat dan lain-lain, seharusnya menjadi pelengkap kepada pihak sekolah.

Ia bukanlah bermaksud mereka diberi lesen untuk campurtangan dalam hal ehwal urusan pendidikan di sekolah. Tidak perlu pun mencampuri urusan pengurusan tersebut. Apa yang boleh dilakukan adalah membantu dari aspek-aspek lain seperti penyediaan fasiliti bagi keselesaan pelajar, memberi motivasi, dan sokongan dalam aktiviti ko-kurikulum dan seumpamanya. Ia amatlah membantu pihak sekolah dalam urusan pendidikan yang diterima oleh anak-anak.

Satu perkara lagi, mungkin sudah sampai masanya kita melihat pendidikan ini bukan semata-mata dari aspek tarbiyyah (mendidik) atau ta’alim (memberi ilmu). Profesor Diraja Syed Muhammad Naquib al-Attas memberikan panduan agar pendidikan itu turut menggunakan pendekatan ta’dib, iaitu memberi adab atau mendidik adab kepada para pelajar.

Tidak guna bagi seseorang yang berpendidikan atau berpelajaran tanpa adab. Kehilangan adab inilah yang menyebabkan pelbagai masalah terjadi dalam masyarakat. Seseorang yang mempunyai ijazah umpamanya, belum tentu mempunyai adab sesama insan.

Kembali kepada isu yang terjadi di sekolah pada zaman kini, ia boleh memberi pemahanan kepada golongan pendidik agar menerapkan adab dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Di saat para pelajar ini menganjak usia remaja, mereka kebiasaannya mereka masih memberi perhatian terhadap nasihat daripada para guru. Justeru melahirkan pelajar yang baik dan beradab, selain daripada peranan penting ibubapa, guru turut mempunyai pengaruh dalam pembentukan karakter mereka.

Marilah kita sama-sama membantu dalam menangani perkara yang berkaitan pendidikan anak-anak remaja ini agar mereka dapat memahami realiti bahawa masyarakat meletakkan harapan yang tinggi pada bahu mereka untuk menjadi generasi pelapis negara pada masa hadapan.

Merekalah yang akan mencorakkan negara menjadi nadi dan tunjang masyarakat. Selaras dengan kata-kata yang menyebutkan: “Jika kamu ingin melihat masa depan sesebuah negara; lihatlah generasi muda mereka pada hari ini.”

Keprihatinan kita terhadap generasi muda ini adalah berasas di atas kesedaran bersama untuk melihat negara ini terus membangun pada masa hadapan seperti mana yang diusahakan oleh generasi hari ini. Oleh yang demikian, haruslah kita ingat bahawa usaha mengekang isu sosial dan moral dalam kalangan pelajar sekolah adalah pemangkin kejayaan mereka di masa hadapan.


Prof. Dr. Mohd Roslan Mohd Nor ialah Ketua Jabatan Sejarah, Tamadun dan Pendidikan Islam, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, dan juga merupakan YDP Muafakat MRSM Sungai Besar bagi sesi 2025-2027, dan boleh dihubungi di m_roslan@um.edu.my