26 October 2025

InsectART ketengah seni STEM

Featured

InsectART ketengah seni STEM

Program InsectART: Transformasi Serangga ke dalam Karya Seni STEM...

Soal adab

Berhemah tangani isu pelajar sekolah kerana mereka masa depan...

Flamenco in UM

By Rozita Che Omar The vibrant rhythms and expressive movements...

Keeping Lembah Kinta’s voices

By Amir Rashad Mustaffa In the quiet limestone caverns of...

Be useful

By Nahrizul Adib Kadri The thought came to me while...

Share

Program InsectART: Transformasi Serangga ke dalam Karya Seni STEM membuktikan bahawa sains bukan sahaja menarik, malah mampu disampaikan secara kreatif dan menyeronokkan kepada pelajar sekolah menengah. Program ini kini diterajui sebagai sebuah inisiatif peringkat kebangsaan, yang bertujuan memupuk minat mendalam terhadap STEM di kalangan generasi muda.

Program selama tiga hari yang berlangsung dari 12 hingga 14 September 2025 ini telah menghimpunkan 102 pelajar dari 11 buah sekolah melibatkan empat Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dari tiga buah negeri iaitu Johor, Negeri Sembilan dan Selangor.

Bertempat di Pusat Latihan Kulim, Kota Tinggi, para peserta berpeluang menjalani aktiviti lapangan seperti persampelan serangga di habitat semula jadi iaitu Suaka Burung Panti, mempraktikkan kaedah pengawetan resin, dan akhirnya berjaya menghasilkan karya seni yang unik berasaskan biodiversiti. Program ini turut dibimbing oleh 23 fasilitator daripada kalangan mahasiswa Universiti Malaya (UM), khususnya dari Institut Sains Biologi.

Inisiatif ini diterajui oleh Ts. Dr. Noorhidayah binti Mamat, Penyelaras Program Ekologi & Biodiversiti, Institut Sains Biologi, Fakulti Sains, UM, dengan kolaborasi Dr. Noor Azrizal, Universiti Putra Malaysia yang merupakan salah satu projek di bawah Geran Pendayaan Komuniti @ UniMADANI, selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG 4, 9 dan 15).

Menurut Dr. Noorhidayah, modul yang dibangunkan berasaskan integrasi sains, teknologi, seni dan kreativiti ini bertujuan untuk meningkatkan minat pelajar terhadap pembelajaran STEM secara amali, memupuk kesedaran pemuliharaan biodiversiti, serta membina kemahiran inovasi dan keusahawanan.

“Tujuan utama program ini bukan sekadar meningkatkan pengetahuan dalam bidang STEM, namun lebih daripada itu adalah satu usaha untuk menyemai rasa cinta terhadap alam sekitar, khususnya kepada serangga yang sering dianggap kecil dan kurang penting, tetapi hakikatnya memainkan peranan yang besar dalam ekosistem,” ujar beliau dalam ucapan penutup program.

Program ini juga berjaya mewujudkan jalinan erat antara pelajar dari pelbagai latar belakang melalui aktiviti kolaboratif dan pertandingan hasil seni yang dinilai oleh juri profesional. Tiga kumpulan terbaik menerima hadiah penghargaan, manakala pelajar lelaki dan perempuan terbaik turut menerima pengiktirafan khas.

Majlis penutup telah disempurnakan oleh YBrs. Tuan Haji Mesran Bin Tukiman, Ahli Majlis Kota Tinggi merangkap Focal Person PIBG PPD Kota Tinggi. Turut hadir Prof. Madya ChM. Dr. Noraini Ahmad, Pengarah Pusat Jalinan Masyarakat (UMCares), UM; Encik Ahmad Meisery Bin Abd. Hakim Amir, Pegawai Hutan Daerah Johor Selatan; dan YBrs. Tuan Haji Ishak Bin Haji Ismail, Wakil Pengarah Pejabat Penyelidikan Daerah Kota Tinggi, selain guru-guru pengiring dan para peserta.

Dalam ucapan penutupan, Prof. Madya Dr. Noraini menekankan bahawa selain aspek pembelajaran, program ini berjaya membina jaringan sosial antara pelajar dan sekolah dari negeri yang berbeza.

“Pendidikan bukan hanya tentang ilmu, tetapi juga membina jambatan persahabatan dan semangat kebersamaan yang akan kekal menjadi aset berharga dalam kehidupan pelajar,” katanya.

YBrs. Tuan Haji Mesran pula menyarankan agar kesinambungan program ini diperkukuh pada masa hadapan.

“Saya menyokong penuh agar program seperti ini diteruskan dan diperluas. Sebagai inisiatif kebangsaan, InsectART membuka ruang pembelajaran STEM secara kreatif dan berjaya merapatkan hubungan antara sekolah dari seluruh negara,” katanya.

Kejayaan penganjuran ini mengukuhkan kedudukan InsectART sebagai program berimpak tinggi yang berpotensi dijadikan model pendidikan STEM masa hadapan. Dengan pendekatan yang menggabungkan STEM dan seni, InsectART membuktikan bahawa pembelajaran sains boleh menjadi pengalaman yang menyeronokkan, relevan dan membina masa depan generasi muda yang lebih celik teknologi serta cakna terhadap pemeliharaan alam sekitar.

Kejayaan penganjuran ini mengukuhkan kedudukan InsectART sebagai program berimpak tinggi yang berpotensi menjadi model pendidikan STEM masa depan. Pendekatan unik yang menggabungkan elemen Sains, Teknologi, dan Seni ini menjadikan pembelajaran lebih menyeronokkan, kreatif serta relevan dengan keperluan generasi muda.

Melalui aktiviti berteraskan biodiversiti serangga dan pemeliharaan alam sekitar, InsectART bukan sahaja memupuk minat terhadap sains dan teknologi, tetapi turut membina kesedaran terhadap kelestarian alam. Gabungan ini melahirkan pelajar yang celik teknologi dan cakna alam sekitar — dua elemen penting dalam membentuk masyarakat masa depan. Dengan potensi besar yang ditunjukkan, InsectART wajar diberi perhatian sebagai model pendidikan alternatif yang holistik dan berdaya saing.


Maklumat lanjut mengenai program ini boleh didapati melalui Ts. Dr. Noorhidayah Mamat, Penyelaras Program Ekologi & Biodiversiti, Institut Sains Biologi, Fakulti Sains, Universiti Malaya, di nhidayahm@um.edu.my