2 November 2025

Representasi bunyi sebutan

Featured

A long game

By Ts. Elman Mustafa El Bakri Let’s not sugarcoat it....

Representasi bunyi sebutan

Oleh Muhammad Ridha Ali Huddin Apabila kita menyentuh tentang pembelajaran...

Mendekati, melestari

UM bantu komuniti kampung kitar semula sisa minyak masak Sekumpulan...

Compassionately

By Chan Jee Onn My journey into biomedical engineering was...

Pelayaran kita

Oleh Prof Madya Dr Monika @ Munirah Abd Razzak Dunia...

Share

Oleh Muhammad Ridha Ali Huddin

Apabila kita menyentuh tentang pembelajaran sesuatu bahasa, pasti kebanyakan daripada kita akan terus membayangkan tentang kosa kata, tatabahasa dan kesusasteraannya. Namun begitu, ada satu elemen asas yang kadang kala terlepas pandang tetapi amat memberikan impak yang besar kepada makna sesuatu perkataan iaitu sebutan bunyi huruf tanpa mengira bahasa apa sekalipun. Bagi kebanyakan pelajar yang bukan penutur natif, antara perkara yang paling sukar dalam mempelajari bahasa Arab bukanlah sekadar aspek kefahaman terhadap makna sesuatu perkataan, sebaliknya aspek sebutan dan penghasilan bunyi dengan tepat yang hampir natif.

Jika perkataan Arab dalam sesuatu ayat itu diletakkan baris, rata-rata pelajar bahasa kedua pasti dapat membaca dengan lancar dan tepat. Persoalannya di sini, sejauh manakah penutur bahasa kedua mengamati setiap sebutan yang direalisasikan? Ramai orang mampu membaca dengan lancar meskipun tidak terlalu menjaga hukum tajwid, namun tidak sedar bahawa sebutan mereka jauh berbeza daripada sebutan sebenar penutur Arab. Berikutan itu, rasa sensitif terhadap bunyi huruf Arab perlu disemai agar pembelajaran Bahasa itu bukan sekadar hafalan visual, bahkan pengalaman auditori yang mendalam sehingga mampu menimbulkan rasa tidak selesa untuk melakukan kesalahan sebutan.

Bagaimana pula rasa sensitif terhadap kesalahan bunyi fonem Arab tersebut? Situasi ini menjadi lebih besar apabila golongan imam dan bilal turut tidak menitikberatkan aspek sebutan huruf Arab. Lagu dan irama dalam alunan ayat al-Quran atau lafaz azan bukanlah aspek paling penting, namun aspek tersebut dilihat seolah-olah paling dipandang oleh masyarakat. Alunan bacaan dalam solat dan lafaz azan yang beserta lagu tarannum lebih diagung-agungkan sehingga terlepas pandang pada aspek yang lebih utama untuk dijaga.

Bunyi yang sama tetapi tidak serupa

Bahasa Arab mempunyai sistem bunyi yang sangat kaya dan kompleks. Dalam bahasa Melayu, kita hanya mempunyai beberapa bunyi konsonan asas yang dihasilkan dari bibir dan lidah. Namun dalam bahasa Arab, lidah selaku articulator aktif perlu “bekerja lebih keras” memandangkan terdapat bunyi yang terhasil daripada bahagian tengah lidah, hujung lidah, kerongkong, bahkan dari bahagian dalam tekak.

Perbezaan bunyi sebutan antara huruf ‘ain (ع) dan hamzah (ء) bukanlah perkara mudah. Meskipun kedua-duanya kelihatan serupa dalam bentuk tulisan, tetapi bunyinya dihasilkan daripada dua titik artikulasi yang berbeza. Begitu juga dengan padanan bunyi seperti ص (ṣād) dan س (sīn), ض (ḍād) dan د (dāl), atau ط (ṭāʼ) dan ت (tāʼ) di mana kesemuanya kelihatan hampir sama, tetapi membawa perbezaan makna yang besar.

Sensitiviti bunyi tanda kematangan bahasa

Puncak kematangan dalam Bahasa kedua atau Bahasa asing ialah apabila seseorang penutur itu dapat merasakan sensitiviti pada Bahasa tertentu jika berlaku kesalahan sama ada dari aspek struktur ayat, kosa kata, gaya Bahasa mahupun sebutan. Menyentuh perihal sebutan bunyi bahasa Arab, keupayaan seseorang untuk membezakan bunyi bukan hanya tanda kemahiran mendengar, tetapi juga mencerminkan kematangan linguistik dan penguasaan kognitif. Dalam dunia linguistik moden, kepekaan terhadap bunyi dikenali sebagai kesedaran fonologi (phonological awareness) iaitu kesedaran bahawa bahasa terdiri daripada unit-unit bunyi yang berbeza, dan setiap perubahan kecil pada bunyi boleh mengubah makna.

Bukan itu sahaja, malah kajian dalam bidang pemerolehan Bahasa (language acquisition) menyatakan bahawa sensitiviti terhadap bunyi huruf (phonological awareness) adalah asas kepada empat kemahiran bahasa lain seperti membaca, menulis, memahami, dan bertutur. Tanpa rasa sensitiviti ini, proses pembelajaran Bahasa menjadi lebih mekanikal iaitu pelajar mungkin boleh meniru tetapi tidak memahami struktur bunyi yang sebenar.

Dalam konteks pembelajaran bahasa Arab, keadaan ini adalah lebih kritikal kerana sistem tulisan Arab bersifat fonetik separa iaitu tidak semua tanda bunyi dinyatakan secara jelas dalam teks. Dengan itu, pelajar tidak boleh menggunakan mata sahaja, sebaliknya perlu menggunakan telinga bagi mengasah auditori untuk memahami perbezaan halus antara bunyi.

Banyak pendekatan visual dalam pengajaran

Tidak dapat disangkal lagi, arus kemajuan teknologi pada zaman ini membawa satu lanskap baharu kepada pengajaran dan pembelajaran bahasa termasuklah bahasa Arab. Kebanyakan teknologi dalam pengajaran kini lebih tertumpu kepada penekanan aspek visual melalui skrin atau paparan. Contoh yang mudah ialah seperti aplikasi pembelajaran bahasa melalui telefon pintar. Penekanan yang dianggap berlebihan kepada aspek visual tanpa diseimbangkan dengan latihan auditori menyumbang kepada penurunan tahap kepekaan fonologi para pelajar.

Di sekolah, pelajar sering diajar huruf Arab melalui papan tulis dan kad imbas. Guru menyebut terlebih dahulu, kemudian diikuti dengan imitasi oleh para pelajar, akhirnya diterjemahkan ke dalam penulisan. Namun begitu, proses ini lebih bersifat satu hala iaitu telinga pelajar tidak dilatih untuk mendengar perbezaan frekuensi dan getaran bunyi yang diajar.

Kajian terkini dalam bidang neurolinguistik oleh Profesor Dr. Reiterer dan rakan-rakan menunjukkan bahawa otak manusia mempunyai peta bunyi (auditory map) yang berkembang melalui pendedahan dan latihan mendengar. Jika pelajar hanya melihat huruf tanpa mendengar dengan teliti perbezaan bunyinya, peta bunyi dalam otak tidak terbentuk dengan tepat. Akibatnya, walaupun mereka boleh menulis dengan betul, mereka tidak benar-benar memahami atau mengenali bunyi sebenar huruf tersebut.

Pendengaran sebagai gerbang makna

Setiap bunyi yang kita dengar sebenarnya bukan sekadar gelombang akustik; ia adalah isyarat makna yang diterjemahkan oleh otak. Apabila kita mendengar bunyi huruf ḥāʼ ( ح), misalnya, otak bukan sahaja mengenali getaran dan tekanan udara, tetapi juga mengaitkannya dengan memori visual dan makna leksikal tertentu.

Jika dilihat dalam konteks kanak-kanak disleksia, kelemahan mereka dalam aspek memori visual sering mengganggu keupayaan mereka menulis huruf Arab dengan betul. Fenomena penulisan terbalik (mirror writing) kerap berlaku kerana otak mereka tidak dapat memproses hubungan antara bentuk dan bunyi huruf dengan tepat. Justeru, dengan membina sensitiviti auditori bakal menjadi langkah pemulihan yang penting di mana bunyi boleh berfungsi sebagai panduan kepada otak untuk memperbetulkan bentuk tulisan yang salah.

Kesimpulan

Bahasa Arab bukan sekadar sistem tulisan, tetapi bahasa bunyi yang hidup di lidah dan telinga. Untuk menguasainya dengan baik, pelajar perlu dilatih bukan hanya menulis dan membaca, tetapi juga mendengar dan merasa bunyi. Menyemai rasa sensitif terhadap bunyi huruf Arab bermaksud mengembalikan fokus pembelajaran kepada asas sebenar bahasa iaitu hubungan harmoni antara bunyi, makna dan jiwa.

Bagi mencapai tahap ini, masyarakat Islam perlu mencintai bunyi sebutan yang tepat dari segi titik dan cara artikulasinya. Minda perlu disegarkan semula dengan menetapkan prinsip ‘betulkan yang biasa, biasakan yang betul’ supaya timbul rasa tidak mudah berpuas hati apabila menyebut sesuatu bunyi tanpa mewujudkan representasi bunyi huruf tersebut di dalam otak.


Dr. Muhammad Ridha Ali Huddin ialah Pensyarah Kanan di Jabatan Bahasa Arab dan Bahasa-bahasa Timur Tengah, Fakulti Bahasa dan Linguistik, Universiti Malaya dan boleh dihubungi di mardha67@um.edu.my.

Previous article