3 February 2026

Toleransi holistik

Featured

Toleransi holistik

Tasamuh, dialog kunci keharmonian masyarakat beragama di Malaysia Oleh Khadijah...

Pertahanan kita

Apabila cerun runtuh, ekosistem pun tumbang Oleh NurHizuani Abdul Manaf...

Solutions

Smart audits and data analytics can combat public sector...

Berundur

Mengalah bukan menyerah kalah Oleh Nur Shahidah Pa'ad Dalam kehidupan yang...

Our cities

We need more gender-responsive urban transport planning By Yong Adilah...

Share

Tasamuh, dialog kunci keharmonian masyarakat beragama di Malaysia

Oleh Khadijah Mohd Khambali @ Hambali

Malaysia merupakan sebuah negara yang unik dengan kepelbagaian etnik, budaya dan agama yang hidup bersama secara harmoni. Kepelbagaian ini menjadi asas kepada pembentukan masyarakat majmuk yang mencerminkan realiti kehidupan bersama secara aman (peaceful coexistence). Walau bagaimanapun, kehidupan dalam masyarakat berbilang latar belakang ini bukanlah sesuatu yang mudah kerana ia menuntut kefahaman, kebijaksanaan dan sikap saling menghormati dalam kalangan masyarakat. Perpaduan dan keharmonian antara penganut agama dan etnik banyak bergantung kepada pemikiran, pendirian serta sikap masyarakat dalam menangani isu-isu yang berkaitan dengan hubungan antara agama.

Walaupun Malaysia telah mencapai kemerdekaan hampir tujuh dekad dan kini berada dalam era globalisasi serta digital, isu sensitiviti agama masih menjadi cabaran utama dalam hubungan masyarakat berbilang etnik. Beberapa kes yang berlaku menunjukkan bahawa hubungan antara komuniti boleh terjejas akibat kenyataan, tindakan atau paparan media yang tidak sensitif terhadap kepercayaan agama lain. Media sosial khususnya telah menjadi medium yang mudah untuk melontarkan penghinaan, sindiran dan provokasi terhadap penganut agama lain, terutamanya apabila individu bersembunyi di sebalik identiti palsu.

Selain itu, penganjuran program berunsur prejudis, isu pemindahan rumah ibadat, serta polemik sambutan perayaan keagamaan di institusi pendidikan dan tempat kerja sering mencetuskan salah faham dan kegusaran dalam kalangan masyarakat. Keadaan ini diburukkan lagi dengan propaganda tertentu seperti Islamofobia, pelabelan ekstremisme dan stereotaip negatif terhadap agama yang menyumbang kepada pembentukan persepsi yang salah. Situasi ini menggambarkan bahawa cabaran keharmonian masyarakat Malaysia bukan sahaja melibatkan konflik fizikal, malah turut melibatkan serangan pemikiran yang boleh menggugat kepercayaan dan hubungan antara penganut agama.

Hubungan antara penganut beragama

Hubungan antara penganut agama di Malaysia secara umumnya memperlihatkan pengamalan sikap tasamuh atau toleransi beragama. Tasamuh merujuk kepada sikap berlapang dada, keterbukaan dan kesediaan untuk menerima kewujudan serta amalan agama lain dalam sesebuah komuniti tanpa prejudis, dengan tujuan mengekalkan keharmonian hidup bermasyarakat. Namun, tasamuh tidak membawa maksud mengiktiraf kebenaran semua agama dari sudut akidah, sebaliknya memberi hak kepada penganut agama lain untuk mengamalkan kepercayaan masing-masing tanpa mengorbankan jati diri dan prinsip agama sendiri.

Amalan tasamuh di Malaysia selari dengan Perkara 11(1) Perlembagaan Persekutuan yang menjamin kebebasan beragama, tertakluk kepada batasan tertentu demi menjaga keharmonian awam. Islam sebagai agama Persekutuan mengiktiraf kewujudan agama-agama lain sebagai satu sunnatullah, namun tidak mengiktiraf kebenaran doktrin dan falsafah ajaran lain. Pendekatan ini membolehkan umat Islam kekal teguh dengan pegangan akidah sambil menghormati hak penganut agama lain.

Islam telah mewarnai kehidupan masyarakat Melayu dan mempengaruhi adat istiadat, budaya, politik serta sistem pemerintahan sejak sekian lama. Nilai-nilai Islam yang bersifat universal seperti keadilan, kasih sayang, hormat-menghormati dan kemanusiaan sejagat dapat diterima oleh semua lapisan masyarakat dan berupaya berfungsi dalam konteks kepelbagaian bangsa dan agama di Malaysia.

Sehubungan itu, masyarakat Muslim perlu berusaha memahami realiti kehidupan beragama masyarakat bukan Muslim. Ajaran Islam menekankan kepekaan terhadap kewujudan masyarakat berbilang agama dan etnik bagi mengelakkan salah faham serta prasangka. Islam juga menegaskan bahawa setiap insan wajar disantuni atas dasar kemanusiaan tanpa mengira latar belakang agama dan etnik kerana semua manusia berasal daripada keturunan yang sama, iaitu Nabi Adam AS dan Hawa.

Dalam masa yang sama, masyarakat bukan Muslim juga sewajarnya mengamalkan sikap terbuka dan proaktif dalam memahami sosio-budaya serta agama masyarakat Muslim dan komuniti lain. Sikap sensitif dan peka terhadap kepelbagaian ini merupakan prasyarat penting dalam menjamin keharmonian hubungan antara penganut agama.

Cabaran keharmonian dalam kepelbagaian

Kehidupan dalam masyarakat majmuk menuntut setiap individu sentiasa bersikap sensitif dan beradab dalam tutur kata serta tindakan. Perbezaan komposisi etnik dan agama antara negeri-negeri di Malaysia menjadikan isu hubungan antara agama semakin kompleks dan memerlukan pendekatan komunikasi yang berkesan dan beretika. Kegagalan memahami sensitiviti ini boleh mencetuskan konflik yang memberi kesan besar kepada perpaduan dan kestabilan negara.

Pengalaman lalu membuktikan bahawa konflik berunsur agama meninggalkan implikasi mendalam terhadap keharmonian sosial. Oleh itu, setiap warga perlu mengambil iktibar dan mengelakkan tindakan tidak sensitif yang boleh mengorbankan keamanan bersama. Kepelbagaian yang wujud dalam masyarakat bukanlah punca perpecahan, sebaliknya peluang untuk saling mengenali dan memperkukuh persefahaman.

Al-Quran melalui Surah al-Maidah ayat 48 menegaskan bahawa Allah berkuasa menjadikan manusia sebagai satu umat, namun kepelbagaian diciptakan sebagai ujian agar manusia berlumba-lumba melakukan kebaikan. Kepelbagaian ini menjadi pemangkin kepada pembangunan diri, pembinaan peradaban dan pelaksanaan amanah manusia sebagai khalifah di muka bumi. Justeru, cabaran hidup secara harmoni dalam kepelbagaian merupakan ujian keintelektualan dan kematangan moral manusia.

Melestari harapan melalui dialog kehidupan dan piagam harmoni

Mewujudkan suasana hubungan yang harmoni dalam masyarakat berbilang etnik, budaya dan agama di Malaysia bukanlah suatu tugas yang mudah. Situasi ini memerlukan wadah yang ampuh bagi memastikan hubungan antara komuniti berjalan dengan baik dan saling menghormati. Dalam konteks ini, sumbangan nilai-nilai agama amat penting dalam melestarikan keharmonian hubungan antara penganut agama.

Dialog kehidupan merupakan pendekatan paling asas dan inklusif dalam memelihara keharmonian. Ia melibatkan semua lapisan masyarakat tanpa mengira latar belakang agama dan berlaku melalui interaksi harian seperti bertegur sapa, bekerjasama, saling membantu dan berkongsi ruang kehidupan. Dialog kehidupan bukan sahaja tuntutan sosial, malah tuntutan setiap agama yang menekankan nilai kemanusiaan, ihsan dan persaudaraan.

Dialog kehidupan dapat diaplikasikan di pelbagai ruang kehidupan seperti tempat kerja, sekolah, hospital, kawasan kejiranan dan pengangkutan awam. Ia tidak terhad kepada pemimpin agama, sebaliknya melibatkan setiap individu sebagai agen keharmonian. Perkongsian kehidupan ini merangkumi sambutan perayaan, ziarah-menziarahi, meraikan kelahiran, serta berkongsi kesedihan ketika berlakunya kematian.

Selain itu, pendidikan pelbagai budaya memainkan peranan penting dalam membina kefahaman terhadap budaya etnik lain dan membentuk sikap saling menghormati. Pendidikan dalam persekitaran berbilang kaum mampu membentuk proses sosialisasi ke arah integrasi nasional dan pengukuhan perpaduan negara. Perihal ini dimaktubkan dalam Piagam Harmoni sebagai rujukan generasi masyarakat Malaysia.

Penutup

Keharmonian masyarakat beragama di Malaysia hanya dapat dipelihara melalui kefahaman yang mendalam terhadap konsep tasamuh, penerimaan kepelbagaian serta pengamalan dialog kehidupan dan rujukan Piagam Harmoni secara berterusan dan beretika. Diharapkan pendekatan ini mampu membuka ruang kesedaran yang lebih luas kepada seluruh warga Malaysia agar perbezaan tidak lagi dilihat sebagai ancaman, sebaliknya sebagai kekuatan dalam membina sebuah negara yang aman, harmoni dan berperadaban tinggi.


Datin Paduka Profesor Dr Khadijah Mohd Khambali @ Hambali ialah Pengarah di Pusat Dialog Peradaban, Universiti Malaya dan Profesor di Jabatan Usuluddin dan Dakwah, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya serta boleh dihubungi di ijamh@um.edu.my

Previous article