Mahasiswa UM semai ilmu, perkasa komuniti Felda Bukit Wa Ha
Suatu misi ilmu dan khidmat kemanusiaan telah mekar di bumi Johor melalui Projek Bakti Kurshiah: Ilmu Disemai, Komuniti Diperkasa, anjuran Kolej Kediaman Tuanku Kurshiah, Universiti Malaya (UM) dengan kerjasama Parlimen Kota Tinggi dan komuniti Felda Bukit Wa Ha. Program selama tiga hari, dari 16 hingga 18 Januari 2026, menghimpunkan seramai 30 orang mahasiswa UM yang turun padang menjayakan pelbagai inisiatif komuniti secara bersemuka, melibatkan lebih 10 keluarga angkat dari blok-blok Felda Bukit Wa Ha, semua pelajar Tingkatan 5 SMK Bandar Easter, serta semua pelajar Tahun 6 SK Felda Bukit Wa Ha.




Lebih daripada sekadar program khidmat masyarakat, Bakti Kurshiah menjadi wadah pembinaan sahsiah, nilai kesukarelawanan, dan empati sosial dalam diri mahasiswa. Antara aktiviti utama ialah program bersama pelajar sekolah, keluarga angkat, sukan rakyat, gotong-royong, bengkel keusahawanan, serta malam kebudayaan penuh warna-warni โRitma Warisan.โ Setiap aktiviti membuka ruang mahasiswa berinteraksi dan mempelajari nilai kehidupan sebenar daripada komuniti tempatan.
Salah satu pengisian bermakna ialah Program B.E.B.A.S: Bersama Elak Buli Agar Selamat, khusus untuk pelajar Tahun 6 di Sekolah Kebangsaan Felda Bukit Wa Ha. Pemudah cara, Adham Shubli Mat Deris, 25, berjaya menarik perhatian pelajar melalui perkongsian interaktif tentang makna buli dan kesannya terhadap kesejahteraan pelajar. Tujuannya jelas bagi menyemai empati, kesedaran emosi, dan tanggungjawab sosial dalam kalangan generasi muda agar budaya membuli dapat dibendung sejak awal.
Aspek kecemerlangan akademik turut menjadi fokus menerusi slot Hala Tuju SPM: Pilihan Penentu Masa Depan, dikendalikan oleh Ahmad Fiqri Mohd Zamri, 24, untuk pelajar Tingkatan 5 di SMK Bandar Easter. Beliau berkongsi panduan tentang laluan pasca-SPM seperti Matrikulasi, Asasi, TVET, dan Diploma, memberikan pelajar pendedahan realistik dalam merancang masa depan mereka. โKami mahu mereka yakin bahawa setiap jalan pendidikan ada nilainya dan asalkan disertai usaha dan semangat,โ jelas beliau.




Menurut Pengarah Projek, Anieq Fikri Adnan, 24, aktiviti ini bukan sekadar khidmat masyarakat, tetapi platform membentuk kepimpinan dan empati mahasiswa. โKami ingin mahasiswa memahami bahawa setiap senyuman dan salam yang dihulurkan adalah bentuk kecil pembangunan sosial,โ ujarnya.
Ketua Peneroka Felda Bukit Wa Ha, Tuan Haji Yahya bin Abdullah, pula menzahirkan penghargaan atas inisiatif ini. โKehadiran anak-anak UM menyuntik semangat baharu kepada komuniti kami. Mereka bukan sahaja membantu, malah membawa aura positif dan kasih sayang,โ katanya.
Kemuncak program menyaksikan Malam Ritma Warisan, persembahan bersama yang menggabungkan muzik tradisional, tarian, dan kebudayaan tempatan. Sukarelawan projek, Nazurah Muhammad Nizar, 21, menggambarkan suasana itu penuh keakraban. โMalam itu seperti malam pesta keluarga besar di mana ada yang ketawa, ada yang menari bersama alunan muzik klasik. Kami semua terasa begitu dekat walau datang dari latar berbeza,โ katanya sambil tersenyum.
Seorang lagi peserta, Puteri Afrina Mohd Mustakim, 21, yang bertugas sebagai jurufoto, turut berkongsi rasa syukur. โSaya melihat sendiri wajah bahagia keluarga angkat kami. Ketika gotong-royong dan merewang, tidak ada jurang antara kami kerana semuanya bekerjasama seperti saudara,โ ujarnya.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Perkembangan Kebajikan dan Kemasyarakatan (KEMAS) Kolej Kediaman Tuanku Kurshiah, Farah Adenin binti Sabri, turut menyatakan pandangannya tentang kepentingan penganjuran program sebegini. โSaya melihat penganjuran program ini memberi ruang kepada mahasiswa Kolej Kediaman Tuanku Kurshiah untuk mendekati masyarakat secara lebih dekat. Penglibatan mereka dalam pelbagai aktiviti bersama komuniti bukan sahaja memberi pengalaman bermakna, malah menyemai nilai keprihatinan serta semangat membantu dalam diri mahasiswa. Semoga inisiatif seperti ini dapat terus diperkasakan pada masa akan datang demi manfaat bersama,โ ujarnya.
Majlis penutup dirasmikan oleh Prof. Madya Dr. Roshidah binti Hassan, Pengetua Kolej Kediaman Tuanku Kurshiah. Dalam ucapannya, beliau menzahirkan harapan agar pengalaman ini terus membekas dalam diri peserta dan warga Felda. โWalaupun UM di Zon Tengah dan Johor di Selatan, pepatah Melayu mengingatkan kita โjauh di mata, dekat di hatiโ ujar beliau penuh makna.
Impak Bakti Kurshiah terbukti kekal di mana program ini berjaya menerapkan nilai kesukarelawanan kepada 30 mahasiswa peserta, manakala keluarga angkat masih aktif menghubungi anak angkat mereka sehingga kini menunjukkan bukti ikatan yang terjalin melebihi tiga hari program.
Projek ini disokong sepenuhnya oleh UMCares melalui Geran Inisiatif Komuniti Kolej Kediaman Universiti Malaya (UM-IKom), yang menyasarkan penyertaan mahasiswa di 222 kawasan Parlimen seluruh Malaysia. Kerjasama erat antara Parlimen Kota Tinggi, FELDA Bukit Wa Ha, dan Universiti Malaya menjadikan program ini model harmoni antara dunia akademik dan masyarakat. Kolej Kediaman Tuanku Kurshiah berhasrat melanjutkan siri kedua pada 2027, dengan fokus negeri lain untuk memperluaskan impak jangka panjang.
Bakti Kurshiah bukan sekadar nama, tetapi simbol jambatan ilmu dan kasih yang mempertautkan universiti dan komuniti dengan bukti bahawa ilmu yang disemai dengan hati mampu memperkasa seluruh bangsa.

Maklumat lanjut mengenai program ini boleh didapati melalui Prof. Madya Dr. Roshidah binti Hassan, Pengetua Kolej Kediaman Tuanku Kurshiah, Universiti Malaya, di roshidah@um.edu.my