UM juara pertandingan lumba kereta elektrik
Perjalanan getir selama setahun akhirnya membuahkan hasil buat pasukan Universiti Malaya apabila mereka dinobatkan sebagai juara keseluruhan kategori Formula Student Electric Vehicle (FSAE EV) dalam kejohanan Formula Student Malaysia (FSM) 2026 yang berlangsung pada 22 April dan 23 April yang lalu.
Kejayaan ini merupakan satu lonjakan drastik yang cukup membanggakan. Jika diimbas kembali, pasukan ini hanya mampu menduduki tempat ke-4 pada kejohanan NXGV 2025 yang ditaja oleh Perodua, MARii, dan SAE-M. Namun, berkat transformasi drastik dan iltizam tinggi, mereka kini berdiri teguh di podium pertama.
Peningkatan prestasi ini juga selari dengan pertumbuhan saiz pasukan. Daripada 40 ahli semasa menyertai NXGV 2025, pasukan kini diperkuatkan dengan 70 pelajar yang komited memberikan sumbangan tenaga serta kepakaran masing-masing.




Di sebalik kejayaan menjuarai acara dinamik (dynamic event) -antaranya menduduki tempat pertama dalam acara Autocross dengan catatan masa 1.00 serta kejayaan menamatkan 10 lap dalam acara Endurance -dan menduduki tempat ke-2 dalam acara statik (static event), perjalanan pasukan ini jauh daripada mudah. Mereka terpaksa mengharungi pelbagai kekangan, antaranya peruntukan kewangan yang terhad serta ruang bengkel yang sempit bagi melakukan proses penyelidikan dan pembangunan (R&D) jentera.
Kejayaan ini tidak mungkin dapat direalisasikan tanpa sokongan dari rakan industri .Antara syarikat yang memainkan peranan penting termasuklah CNC Innovations yang menaja penghasilan komponen tersuai(custom parts) untuk jentera tersebut sekaligus meningkatkan kualiti teknikal kereta lumba itu. Selain itu, pihak pasukan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Yayasan Tan Sri SM Nasimuddin, syarikat Press Metal serta rakan penaja lain yang sudi memberikan kepercayaan dan bantuan dana, yang menjadi tunjang kepada pembangunan jentera EV ini.
Mengulas mengenai hala tuju pasukan, Atif Affan bin Norazman sebagai ketua pasukan berharap agar kejayaan ini membuka ruang pendedahan yang lebih luas kepada ahli pasukan untuk menimba pengalaman dalam industri automotif sebenar.
“Harapan saya, kejayaan ini hanyalah permulaan. Kami mahu terus memperbaiki jentera sedia ada dan berharap sokongan terhadap pembangunan teknologi EV ini akan lebih konsisten. Kami ingin buktikan bahawa anak muda tempatan mampu berdaya saing di peringkat global sekiranya diberi ruang dan sokongan yang secukupnya,” katanya mengakhiri bicara.
Kejayaan Universiti Malaya ini membuktikan bahawa dengan kerjasama pasukan yang jitu dan sokongan industri yang tepat, anak muda Malaysia mampu bersaing dan melakar kejayaan di peringkat tertinggi.

Maklumat lanjut mengenai program ini boleh didapati melalui Prof Madya Ir Dr Mohd Sayuti Ab Karim, Fakulti Kejuruteraan, Universiti Malaya di mdsayuti@um.edu.my