Ajar mereka untuk berfikir dalam dunia yang semakin rumit
Oleh Dr Nor Nazrina Mohamad Nazry
Dalam dunia penuh maklumat tanpa sempadan ini, cabaran bagi para guru bukan lagi tertumpu kepada bagaimana menyampaikan ilmu. Cabaran yang utama dasawarsa ini ialah membantu pelajar-pelajar untuk memahami ilmu yang disampaikan. Kita juga mendengar acapkali, guru-guru disarankan untuk mengajar para pelajar bagaimana berfikir dan menterjemah, bukan hanya mengajar apa yang boleh difikirkan. โChildren must be taught how to think, not what to think.โ โ Petikan daripada Profesor Margaret Mead ini sangat popular dalam pertumbuhan dan pendidikan anak-anak.
Apatah lagi kini, dalam arus teknologi, petikan ini merupakan intipati kepada pendidikan abad ke-21. Walaupun maklumat dan fakta dapat diakses dalam berapa saat menerusi telefon pintar atau peranti lain, tetapi kebolehhan untuk menyoal, menganalisa dan menilai sumber ini masih kekal sebagai kebolehan manusiawi yang unik, yang perlu dipupuk sejak kecil.
Di negara kita, perubahan ini dilihat sangat penting untuk dilakukan dengan kadar segera. Tambahan pula, pentaksiran di peringkat antarabangsa menyokong usaha ini. Merujuk kepada Program Penilaian Pelajar Antarabangsa 2022 (PISA) yang dianjurkan oleh Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD), pelajar-pelajar Malaysia mendapat 409 dalam Matematik, 416 dalam Sains dan 388 dalam membaca, kesemuanya berada bawah daripada purata OECD.
Selain itu, tahap pemikiran kreatif juga mencatatkan keputusan yang sama, iaitu bawah daripada purata OECD. Hanya 54% pelajar Malaysia yang mencapai kecekapan asas dalam pemikiran kreatif, sedangkan negara-negara OECD yang lain merekodkan 78%. Sementara itu, hanya 12% pelajar Malaysia yang mencapai aras tertinggi.
Bilangan ini tidak merumuskan bahawa para pelajar Malaysia kurang kebolehan. Tetapi, ia mencerminkan isu yang lebih serius, iaitu kebanyakan sistem pendidikan di negara kita masih mengutamakan konsep penghafalan berbanding pemikiran atau pertimbangan.
Sebenarnya, cabaran ini telah lama wujud dalam arena pendidikan di Malaysia. Rancangan Pendidikan Negara menekankan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) di mana komponen-komponen utamanya ialah menganalisis, menilai dan mencipta. Kemahiran-kemahiran ini bukan setakat mengingat maklumat, tetapi memerlukan pelajar-pelajar berfikir, menyelesaikan masalah dan membuat keputusan selayaknya berasaskan maklumat.
Walau bagaimanapun, pelaksanaan dasar berkenaan dalam amalan bilik darjah masih berlangsung, mengambil masa yang lama untuk dicapai.
Jika dilihat dalam situasi semasa bilik darjah, para pelajar dipuji kerana memberi jawapan yang betul, bukan kerana menanyakan soalan yang betul. Apabila sesi pembelajaran berfokus kepada penghasilan semula maklumat, maka pelajar-pelajar menjadi penerima ilmu yang pasif, berbanding menjadi seorang pemikir yang aktif.
Seperti yang disarankan oleh para penyelidik dalam domain pendidikan, pengajaran yang efektif sepatutnya membenarkan para pelajar meneroka perspektif yang pelbagai dan menganalisis idea-idea, bukan sekadar menerima ilmu. Dalam erti kata lain, sesi pembelajaran menjadi proses pertanyaan dan penyelidikan yang dinamik.
Bagi para guru, proses ini tidak bermaksud isi kandungan maklumat itu ditinggalkan. Maklumat itu diperlukan. Cuma, ianya perlu digandingkan dengan ruang dan peluang untuk berbincang, berdialog, refleksi dan penyelesaian masalah.
Cuba renungkan satu situasi kelas yang mudah. Di sebalik meminta para pelajar menghafal fakta sejarah, para guru boleh menanyakan: Mengapa kejadian ini berlaku? Bolehkah keadaan ini berlaku sebaliknya? Apa pengajaran yang kita boleh rumuskan hari ini? Soalan-soalan sebegini secara tidak langsung meningkatkan kemahiran pentafsiran dan pertimbangan.
Sama juga situasinya dalam subjek sains. Para pelajar digalakkan mereka bentuk eksperimen, menilai hasil dan bukti, dan membuat kesimpulan yang sewajarnya. Jelaslah, pendekatan sebegini mengubah fokus daripada pembelajaran pasif kepada penglibatan pemikiran yang cerdas.
Teknologi juga tidak dapat lari apabila isu kebolehan berfikir ini dibangkitkan. Hari ini, pelajar-pelajar secara berterusan terdedah kepada maklumat melalui media sosial, kecerdasan buatan dan pelbagai platform digital. Tanpa kemahiran pemikiran kritis yang jitu, anak-anak akan menghadapi kesukaran untuk membezakan antara maklumat yang sahih dan yang salah.
Justeru, mengajar para pelajar bagaimana berfikir bukanlah tujuan akademik semata-mata, malah ianya keperluan sebuah masyarakat. Pemikir-pemikir kritis lebih cenderung menilai sesuatu isu atau dakwaan dengan berhati-hati, melihat pelbagai sudut pandangan dengan hormat dan melibatkan diri dalam masyarakat dengan baik dan beradab.
Oleh itu, tanggungjawab melahirkan para pemikir kritis bukan hanya dipikul oleh guru-guru. Ibu bapa, universiti dan pembuat dasar juga memainkan peranan mustahak dalam memupuk budaya menyoal secara kritikal. Contohnya, menggalakkan sifat ingin tahu di rumah, menyokong pembelajaran berasaskan penyelidikan di sekolah dan membentuk perbincangan reflektif dalam masyarakat, semuanya boleh menunjang kepada objektif yang sama.
Akhirnya, pendidikan seharusnya memperkasakan para pelajar untuk menjadi pemikir yang bebas dan beradab. Dalam dunia kini yang dipengaruhi oleh kecerdasan buatan, pelbagai cabaran global dan isu-isu sosial yang kompleks, kebolehan menganalisis, menyoal dan menimbang adalah sangat penting.
Sesungguhnya, mengajar para pelajar apa yang boleh difikirkan adalah untuk menyediakan mereka menghadapi peperiksaan. Tetapi, mengajar mereka bagaimana berfikir dapat mempersiapkan mereka untuk menghadapi dan mengharungi kehidupan masa depan mereka.
Dr Nor Nazrina Mohamad Nazry merupakan Pensyarah Kanan di Jabatan Kurikulum & Teknologi Pengajaran, Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya dan boleh dihubungi di nazrina@um.edu.my.