Beradab bila berbeza pandangan, usah berlagak pakar
Oleh Dr. Nurul Husna Mansor
Perkembangan teknologi dan ledakan media sosial telah mengubah landskap komunikasi masyarakat hari ini. Jika dahulu pandangan dan komentar lazimnya disalurkan melalui saluran rasmi atau oleh individu yang mempunyai kepakaran tertentu, kini sesiapa sahaja bebas bersuara hanya di hujung jari. Dalam keterbukaan ini, lahirlah satu fenomena yang semakin membimbangkan, iaitu budaya โpalatauโ atau โpaling tahuโ.
Istilah โpalatauโ mungkin tidak direkodkan secara rasmi oleh Dewan Bahasa dan Pustaka, namun penggunaannya semakin meluas dalam kalangan komuniti digital. Ia merujuk kepada sikap individu yang gemar memberi komen, pandangan atau ulasan tentang sesuatu isu walaupun tidak mempunyai ilmu, maklumat atau kepakaran yang mencukupi. Fenomena ini semakin ketara apabila masyarakat begitu ringan jari meninggalkan komen, ringan mulut mengeluarkan pandangan dan ringan tangan berkongsi maklumat tanpa usul periksa. Hari ini, hampir semua isu menjadi medan komentar masyarakat, daripada isu rumah tangga selebriti, tragedi kemalangan dan perbahasan politik hinggalah kepada persoalan agama serta kesihatan. Lebih membimbangkan apabila pandangan diberikan dengan penuh keyakinan meskipun di luar bidang kepakaran sendiri.
Antara faktor utama yang menyumbang kepada budaya ini ialah kewujudan media sosial yang menyediakan platform terbuka tanpa tapisan ketat. Aplikasi seperti TikTok, Facebook dan Threads misalnya membolehkan sesiapa sahaja menjadi โpakar segeraโ. Kebebasan ini sering disalahgunakan apabila masyarakat lebih terdorong untuk menjadi individu terawal memberi komen daripada memastikan kesahihan maklumat. Selain itu, keinginan untuk meraih perhatian, pengiktirafan dan populariti turut menjadi faktor pendorong. Dalam dunia digital hari ini, perhatian sering dianggap sebagai nilai sosial yang tinggi.
Dari perspektif Islam, budaya โpalatauโ bukan sekadar berpunca daripada kebebasan media sosial atau keghairahan untuk bersuara, bahkan berakar daripada penyakit hati dan kelemahan adab dalam berilmu. Antaranya ialah sifat ujub, iaitu rasa bangga diri dan merasakan diri sentiasa betul; takabbur, iaitu sikap sombong hingga menolak kebenaran; serta riyaโ, apabila seseorang berbicara semata-mata untuk meraih perhatian, pujian atau pengiktirafan masyarakat. Selain itu, sikap jahil tentang adab ikhtilaf turut menyumbang kepada fenomena ini apabila seseorang gagal memahami cara berbeza pandangan secara berhemah, lalu memilih untuk mengecam, menghina dan menyerang pandangan orang lain.
Budaya ini juga sering lahir daripada kecenderungan mengikut hawa nafsu dan emosi apabila seseorang memberi komentar berdasarkan kemarahan, sentimen atau persepsi tanpa berpandukan fakta serta ilmu yang sahih. Tidak kurang juga unsur ghurur, iaitu tertipu dengan sedikit pengetahuan sehingga merasakan diri layak berhujah dalam semua perkara hanya dengan membaca satu dua perkongsian di media sosial. Apabila penyakit-penyakit hati ini dibiarkan berakar, masyarakat akan lebih cenderung untuk bercakap tanpa ilmu, menghukum tanpa memahami, dan akhirnya merosakkan budaya ilmu serta adab dalam berinteraksi.
Hakikatnya, budaya ini tidak boleh dipandang ringan kerana ia boleh mencetuskan pelbagai kemudaratan seperti penyebaran maklumat palsu, kekeliruan dalam masyarakat dan fitnah terhadap individu tertentu secara berleluasa. Dalam isu agama misalnya, pandangan tanpa ilmu boleh membawa kepada kekeliruan hukum dan kesesatan. Dalam isu kesihatan pula, nasihat yang salah boleh membahayakan nyawa. Lebih parah, apabila suara lantang tanpa ilmu lebih didengari berbanding pandangan pakar yang berautoriti, masyarakat akan terbiasa menerima pendapat tanpa penilaian kritis. Akhirnya, budaya ilmu semakin terhakis dan pembinaan intelektual masyarakat semakin merosot.
Allah SWT mengingatkan manusia agar tidak berkata atau bertindak tanpa ilmu sebagaimana firman-Nya dalam Al-Quran, Surah al-Israโ, ayat 36 yang bermaksud: โDan janganlah engkau mengikuti apa yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainyaโ. Dalam ayat lain, Allah SWT berfirman dalam Al-Quran, Surah al-Nahl, ayat 43 yang bermaksud: โMaka bertanyalah kepada orang yang mempunyai pengetahuan jika kamu tidak mengetahuiโ.
Rasulullah SAW juga bersabda: โAntara kebaikan Islam seseorang ialah dia meninggalkan perkara yang tidak bermanfaat baginyaโ (Riwayat al-Tirmizi).
Bagi mengelakkan diri daripada terjebak dalam budaya โpalatauโ, masyarakat perlu mendidik diri dengan adab digital yang sihat. Sebelum memberi komen, tanyalah diri terlebih dahulu sama ada pandangan tersebut berasaskan ilmu atau sekadar emosi. Seterusnya, lazimi diri menyemak fakta daripada sumber sahih sebelum berkongsi maklumat. Jika sesuatu perkara berada di luar bidang pengetahuan, memilih untuk diam adalah lebih baik daripada menambah kekeliruan. Orang yang bijaksana tahu bila perlu bercakap dan bila perlu diam. Justeru, mereka tidak akan mengeluarkan pandangan tanpa asas, apatah lagi dalam perkara di luar bidang kepakaran.
Tidak salah untuk berkongsi pandangan atau memberikan komentar, namun biarlah ia berasaskan ilmu, fakta dan niat yang baik. Pandangan yang lahir daripada keikhlasan untuk memberi manfaat amat berbeza dengan komentar yang didorong oleh keinginan untuk menunjuk-nunjuk, meraih perhatian atau menonjolkan diri di mata masyarakat. Pepatah Melayu mengingatkan, โKerana pulut santan binasa, kerana mulut badan binasaโ. Dalam konteks budaya โpalatauโ, ungkapan ini amat relevan sebagai peringatan bahawa kata-kata dan komentar yang tidak berasaskan ilmu boleh membawa padah kepada diri sendiri serta masyarakat.
Justeru, budaya ilmu, adab dalam berbeza pandangan dan disiplin dalam berkomunikasi perlu diperkasakan agar masyarakat tidak terjebak dalam budaya โpalatauโ yang akhirnya merosakkan pembinaan intelektual dan kesejahteraan sosial.
Dr. Nurul Husna Mansor merupakan Pensyarah Kanan di Jabatan Usuluddin dan Dakwah, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, dan boleh dihubungi melalui nurulhusna@um.edu.my