4 May 2026

Integriti

Featured

My place

Standing at the podium in Xiamen By Dr Noorhayati Idros Standing...

Integriti

Keperluan akta komprehensif dalam pemeliharaan dana amanah Oleh Dr. Mohd....

Central

Let science speak, before confusion takes root By Professor Dato...

Perisai

MyResQ hidupkan masjid, selamatkan nyawa Oleh Dr Mohd Afiq Mohd...

Soon

The palm oil peak is closing in sooner than...

Share

Keperluan akta komprehensif dalam pemeliharaan dana amanah

Oleh Dr. Mohd. Shahid Mohd. Noh

Kes penyelewengan dana amanah awam terus menjadi perbualan hangat sama ada di peringkat masyarakat awam mahupun pihak berkepentingan. Walaupun negara kebelakangan ini digegarkan dengan pelbagai isu politik dan perkembangan kepimpinan, perhatian terhadap penyalahgunaan kuasa masih kekal sebagai fokus utama, lebih-lebih lagi apabila ia melibatkan dana berskala besar serta penglibatan entiti yang diberi mandat khusus untuk menjaga kepentingan awam. Keadaan ini menimbulkan persoalan serius berhubung tahap integriti, ketelusan dan mekanisme kawal selia dalam pengurusan dana awam.

Penyelewengan dana amanah bukan sekadar isu kewangan semata-mata, malah mencerminkan kegagalan tadbir urus serta kelemahan dalam sistem pengawasan institusi. Dana amanah diwujudkan berlandaskan kepercayaan rakyat, dan sebarang penyalahgunaan terhadapnya bukan sahaja merugikan negara dari segi ekonomi, tetapi turut menghakis keyakinan masyarakat terhadap institusi yang sepatutnya menjadi benteng amanah awam. Apabila mandat yang diberikan disalahgunakan, implikasinya boleh berpanjangan dan menjejaskan kesejahteraan sosial serta pembangunan negara secara keseluruhan.

Carian secara umum menggunakan kata kunci โ€œseleweng danaโ€ di enjin carian seperti Google dengan mudah akan menghasilkan pelbagai laporan berita daripada pelbagai saluran media. Laporan-laporan ini memaparkan kesalahan yang melibatkan pelbagai lapisan masyarakat, termasuk penjawat awam, tokoh terkenal, selebriti serta pempengaruh media sosial. Kepelbagaian profil individu yang terlibat menunjukkan bahawa jenayah penyelewengan dana tidak lagi bersifat terasing atau terpencil, sebaliknya telah menjadi fenomena yang semakin berulang dan meluas. (Sumber: Berita Harian dan AstroAwani),

Penulis meyakini bahawa pihak berkuasa pasti sedang berusaha untuk menggubal sekurang-kurangnya kaedah atau manual dalam pengurusan duit amanah. Ia lebih baik sekiranya undang-undang khusus dapat digubal dalam menyelesaikan kemelut moral yang berlaku dalam pengurusan duit tersebut.

Walau bagaimanapun, akta baharu semata-mata tanpa penguatkuasaan juga tidak mampu memberikan impak dan faedah kepada masyarakat. Kemudian, penguatkuasaan pula memerlukan kepada prasarana atau infrastruktur yang bersepadu dalam memastikan matlamat utama akta tersebut tercapai.

Dana amanah adalah kepercayaan

Secara umumnya, dana yang diamanahkan untuk diderma bagi tujuan tertentu atau zakat yang diwakilkan pengagihannya adalah satu bentuk amanah sebagaimana yang termaktub dengan jelas dalam hukum hakam muamalat Islam. Amanah adalah satu perkara besar yang disebut oleh Allah SWT dalam Al-Quran Surah al-Nisa ayat 58:

Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya), dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah dengan (suruhan-Nya) itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Melihat.

Meraikan keperluan pihak yang mentadbir institusi ibadat, dakwah dan pendidikan

Penstrukturan serta penguatkuasaan undang-undang wajar diperkasakan dengan pendekatan yang lebih inklusif, khususnya dalam mengiktiraf peranan institusi seperti madrasah atau sekolah yang benar-benar bergantung kepada dana amanah orang ramai demi menjamin kelangsungan operasi mereka. Tidak dapat dinafikan, sebahagian institusi ini ditadbir oleh barisan profesional yang berintegriti serta mematuhi piawaian audit yang ketat dan telus. Justeru, institusi sebegini bukan sahaja layak diraikan, malah wajar diangkat sebagai contoh terbaik โ€” bukan sekadar dari sudut keberkesanan fungsi dan manfaat kepada masyarakat, bahkan juga dari aspek tadbir urus dan pengurusan kewangan yang cemerlang.

Selain itu, pengoperasian institusi melalui sumbangan orang ramai pada masa kini berpotensi membentuk satu kuasa ekonomi yang besar, sepertimana peranan dana zakat yang terbukti mampu menampung keperluan asas serta membantu mengangkat kelompok masyarakat kurang bernasib baik keluar daripada belenggu kemiskinan tegar. Sehubungan itu, dana amanah telah lama memainkan peranan penting dengan mengoptimumkan fungsinya sebagai sumber pendapatan yang signifikan, khususnya kepada staf dan pekerja institusi terlibat seperti masjid, sekolah dan pusat kebajikan.

Perketat penguatkuasaan dengan hikmah

Tidak dinafikan masih banyak institusi pendidikan dan tarbiyah telah mendapat manfaat yang begitu banyak menerusi dana derma, wakaf dan sedekah ini. Sebahagian besar dari mereka masih berfungsi dan menyumbang dengan baik kepada masyarakat dan negara. Kumpulan sebegini mewakili sebahagian besar institusi pendidikan swasta atau persendirian yang dimaklumi oleh banyak pihak.

Kejadian penyelewengan sudah pasti akan menarik perhatian banyak pihak terutama penguatkuasaan bagi membendung agar jenayah tidak berulang. Perdana Menteri juga memberikan komen agar undang-undang perlu dikuatkuasakan. Namun begitu, adakah undang-undang memiliki bidang kuasa yang kukuh dalam mengawal aktiviti yang membawa dua implikasi positif dan negatif kepada masyarakat ini.

Akaun amanah

Akaun amanah berfungsi sebagai tempat khas untuk mengurus wang yang disumbangkan oleh orang ramai bagi tujuan tertentu. Melalui akaun ini, dana yang diterima disimpan dan digunakan secara berasingan daripada akaun biasa supaya tidak disalahgunakan. Ia memastikan wang tersebut dibelanjakan mengikut niat asal penyumbang serta dapat dipantau dengan lebih telus dan teratur. Selain itu, akaun amanah membantu melindungi hak penyumbang dan penerima manfaat, di samping meningkatkan kepercayaan orang ramai terhadap pengurusan kewangan sesebuah institusi. Secara keseluruhannya, akaun amanah penting bagi menjamin integriti, akauntabiliti dan kelangsungan operasi sesuatu organisasi.,

Dalam beberapa keadaan, akaun amanah digunakan sebagai tempat simpanan sementara sementara menunggu penyelesaian perkara-perkara tertentu seperti pembinaan rumah ibadat, proses penyiasatan melibatkan syarikat yang insolven dan sebagainya. Dari sudut ini, akaun amanah dilihat mempunyai fungsi tersendiri dalam membantu mengawal penyelewengan dana. Walau bagaimanapun, terdapat beberapa aspek yang masih memerlukan pengubahsuaian dan penambahbaikan, khususnya dari segi kecekapan pengurusan, kemudahan akses, serta mekanisme pemantauan yang lebih berkesan.

Sistem sedia ada

Bagi mengelakkan berlakunya penyelewengan dana, pihak berkuasa boleh mengadaptasi modus operandi sistem sedia ada seperti audit Halal dan mekanisme pemantauan kewangan yang telah diamalkan. Pendekatan audit Halal menekankan pematuhan prosedur, dokumentasi yang telus serta pemantauan berterusan, yang relevan diaplikasikan dalam pengurusan dana. Di samping itu, manual kewangan masjid dan surau yang diselia oleh Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) menyediakan garis panduan jelas berkaitan penerimaan dan perbelanjaan dana serta kawalan dalaman. Pelaksanaan yang konsisten terhadap sistem ini berupaya meningkatkan akauntabiliti, memperkukuh tadbir urus, dan mengurangkan risiko salah guna kewangan.

Akta-akta yang mengawal perkara berkaitan cukai boleh dijadikan rujukan dan disesuaikan bagi memperkukuh pentadbiran dana amanah, khususnya dari sudut tadbir urus, pematuhan undang-undang dan ketelusan kewangan. Peruntukan dalam undang-undang cukai lazimnya menekankan keperluan pelaporan yang sistematik, rekod kewangan yang teratur, kawalan dalaman serta penguatkuasaan terhadap ketidakpatuhan. Prinsip-prinsip ini bertepatan untuk diaplikasikan dalam pengurusan dana amanah yang pada asalnya bertujuan murni dan memberi manfaat kepada umat Islam. Dengan penyesuaian yang bersesuaian konteks syariah, pengaplikasian mekanisme kawal selia berasaskan akta cukai berupaya meningkatkan akauntabiliti, mencegah penyelewengan serta memastikan dana amanah diurus secara berintegriti dan berkesan.

Dalam masa yang sama, Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) sedang meneliti keperluan penambahbaikan kerangka perundangan, termasuk pengenalan garis panduan khusus dan mekanisme audit bebas bagi pertubuhan yang mengutip dana awam pada skala tertentu. Langkah ini diambil susulan kes penyelewengan dana yang dilaporkan baru–baru ini, termasuk yang melibatkan sebuah NGO dengan jumlah jutaan ringgit serta kaitan individu berpengaruh.

Perkembangan ini jelas menunjukkan keperluan mendesak terhadap sistem pentadbiran dan pengurusan dana amanah yang lebih tersusun, telus dan berakauntabiliti. Pengukuhan tadbir urus, kawalan dalaman serta pemantauan bebas dilihat penting bagi memastikan dana amanah benar-benar digunakan selaras dengan tujuan asal dan kepercayaan awam yang diberikan.

Saringan kredibiliti pengurus dana

Ketulusan dalam pendaftaran organisasi dan individu yang terlibat dalam pengurusan dana merupakan elemen asas dalam memastikan integriti dan akauntabiliti tadbir urus kewangan. Pendaftaran yang telus dan sah membolehkan pihak berkuasa mengenal pasti pihak yang bertanggungjawab, menetapkan peranan serta memastikan pematuhan terhadap peraturan dan undang-undang yang berkuat kuasa. Selain itu, proses pendaftaran yang berintegriti dapat mengelakkan penyalahgunaan status organisasi atau individu bagi kepentingan peribadi. Dengan maklumat yang jelas dan boleh disahkan, pemantauan serta penguatkuasaan dapat dilaksanakan secara lebih berkesan, sekali gus meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap pengurusan dana amanah.

Modal insan adalah perkara paling utama

Pembinaan sahsiah yang mulia, amanah dan tidak bersifat oportunis merupakan asas terpenting dalam mendepani krisis tanggungjawab dan kepercayaan yang semakin ketara dalam masyarakat hari ini. Krisis ini tidak boleh diselesaikan semata-mata dengan menghukum individu yang melakukan kesalahan, tanpa usaha bersungguh-sungguh untuk memahami dan memperbaiki punca serta akar umbi yang mendorong kepada perlakuan tersebut. Pendekatan yang bersifat reaktif hanya akan melahirkan kitaran kesalahan yang berulang, tanpa perubahan yang sebenar.

Nilai amanah tidak seharusnya terhenti pada pengajaran teori atau slogan semata-mata, sebaliknya mesti diterjemahkan melalui amalan harian. Proses ini bermula di rumah, di mana ibu bapa berperanan sebagai guru pertama yang membentuk karakter dan nilai moral anak-anak melalui teladan, disiplin dan kejujuran dalam kehidupan seharian. Didikan awal ini kemudiannya perlu diperkukuhkan di peringkat sekolah melalui sistem pendidikan yang menekankan pembinaan sahsiah, bukan sekadar pencapaian akademik.

Di peringkat pengajian yang lebih tinggi pula, pengamalan budaya terpuji, integriti dan tanggungjawab sosial perlu menjadi sebahagian daripada ekosistem institusi, sama ada dalam pengurusan, pembelajaran mahupun kepimpinan pelajar. Apabila nilai amanah dipraktikkan secara konsisten di setiap peringkat kehidupan, barulah masyarakat dapat melahirkan individu yang berprinsip, beretika dan mampu memikul tanggungjawab tanpa mengambil kesempatan demi kepentingan diri sendiri.


Dr. Mohd. Shahid Mohd. Noh ialah Ketua Jabatan Syariah, Ekonomi dan Governan di Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya dan boleh dihubungi di shahid82@um.edu.my

Previous article
Next article