3 May 2026

Perisai

Featured

Backwards

How a dogma has undermined the developing world By Professor...

Perisai

MyResQ hidupkan masjid, selamatkan nyawa Oleh Dr Mohd Afiq Mohd...

Soon

The palm oil peak is closing in sooner than...

Carefully

Treading the economic fallout from a Middle East on...

Hijau

UM, UPSI melestari Hutan Simpan Kenderong dengan 300 pokok...

Share

MyResQ hidupkan masjid, selamatkan nyawa

Oleh Dr Mohd Afiq Mohd Nor, Dr Mohd Hafyzuddin Md Yusuf

Masjid bukan sekadar tempat ibadah. Dalam konteks masyarakat hari ini, ia juga berpotensi menjadi ruang yang menyelamatkan nyawa.

Bayangkan suasana selepas solat tarawih. Jemaah sedang bersalaman, berbual santai, ada yang berehat di serambi. Dalam suasana yang tenang itu, tiba-tiba seorang jemaah rebah dan tidak sedarkan diri. Dalam detik seperti ini, masa tidak lagi diukur dalam minit, tetapi dalam saat. Dan dalam saat itulah, individu yang paling hampir berpotensi menjadi penentu antara hidup dan mati.

Realitinya, dalam kes Out-of-Hospital Cardiac Arrest (OHCA), kejadian tidak berlaku di hospital. Mangsa rebah di rumah, di tempat awam, dan termasuk juga di masjid. Dalam kebanyakan keadaan, individu pertama yang berada di lokasi bukanlah doktor atau paramedik, tetapi orang awam. Namun, ramai yang masih cenderung untuk menunggu bantuan tiba, sama ada ambulans atau individu yang dirasakan lebih berpengetahuan.

Sedangkan hakikatnya, setiap minit tanpa bantuan cardiopulmonary resuscitation (CPR) akan mengurangkan peluang hidup mangsa secara signifikan. Selepas beberapa minit sahaja, kerosakan otak boleh bermula dan menjadi tidak boleh dipulihkan. Dalam keadaan ini, tindakan awal oleh orang awam bukan lagi satu pilihan, tetapi satu keperluan.

Kesedaran ini semakin jelas apabila kita melihat contoh-contoh yang berlaku dalam masyarakat. Baru-baru ini, negara tersentuh dengan kisah seorang kanak-kanak berusia 12 tahun yang berjaya membantu rakannya yang lemas menggunakan CPR yang dipelajarinya. Kisah ini bukan sekadar luar biasa, tetapi menjadi bukti bahawa kemahiran menyelamatkan nyawa boleh dipelajari oleh sesiapa sahaja, tanpa mengira usia.

Jika seorang kanak-kanak mampu bertindak dengan yakin, persoalannya mengapa masih ramai orang dewasa yang ragu-ragu? Hakikatnya, CPR asas bukanlah sesuatu yang kompleks. Ia boleh dipelajari dalam tempoh yang singkat, tetapi impaknya boleh bertahan seumur hidup, bukan sahaja kepada mangsa, tetapi juga kepada individu yang berani bertindak.

Dalam konteks ini, masjid mempunyai peranan yang lebih besar untuk dimainkan. Inisiatif seperti program Selangor BerIktikaf โ€˜26 di Masjid Raja Bendahara Tengku Badar Shah, Denai Alam menunjukkan bagaimana institusi ini boleh berkembang daripada sekadar tempat berkumpul kepada pusat kesiapsiagaan komuniti. Melalui kerjasama pelbagai pihak termasuk Pertubuhan IKRAM Malaysia Shah Alam, IKRAM Health Malaysia dan Inisiatif MyResQ Universiti Malaya yang disokong oleh Yayasan Inovasi Malaysia, program ini bukan sahaja mengimarahkan Ramadan dengan ibadah, tetapi turut memperkasakan jemaah dengan kemahiran asas menyelamatkan nyawa.

Dalam program sebegini, peserta didedahkan kepada cara mengenal pasti mangsa yang tidak sedarkan diri, teknik CPR yang berkesan melalui tekanan dada berkualiti, serta penggunaan Automated External Defibrillator (AED). Pendedahan ini penting kerana dalam situasi kecemasan, tindakan yang tepat dalam minit pertama boleh menentukan hasil akhir kepada mangsa.

Persoalan yang sering timbul ialah bagaimana jika kecemasan berlaku ketika solat sedang berlangsung. Dalam hal ini, prinsipnya jelasโ€”nyawa diutamakan. Dalam situasi kecemasan, solat boleh ditangguhkan atau dibatalkan bagi memberi bantuan. Prinsip ini selari dengan tuntutan Islam yang meletakkan penyelamatan nyawa sebagai keutamaan yang tidak boleh dikompromi.

Namun, cabaran sebenar bukan hanya pada pengetahuan, tetapi pada tindakan. Fenomena bystander effect masih berlaku, di mana ramai melihat tetapi tiada yang bertindak. Dalam realiti kecemasan, satu tindakan awalโ€”sama ada memanggil bantuan, memulakan CPR, atau mendapatkan AEDโ€”boleh menjadi perbezaan antara hidup dan mati.

Di sinilah teknologi boleh membantu merapatkan jurang tersebut. Aplikasi MyResQ dibangunkan untuk menghubungkan mangsa dengan penyelamat terlatih yang berada berhampiran secara masa nyata. Melalui sistem ini, notifikasi boleh dihantar kepada responder berdekatan, panggilan kecemasan boleh diintegrasikan dengan talian 999, lokasi AED terdekat boleh dikenal pasti, dan pengguna juga boleh mengakses modul pembelajaran CPR secara digital.

Pendekatan ini penting kerana dalam banyak kes, masa respon ambulans boleh mengambil beberapa minit yang kritikal, sedangkan intervensi awal perlu bermula hampir serta-merta. Dalam erti kata lain, komuniti itu sendiri merupakan first responder yang sebenar.

Bayangkan jika setiap masjid di Malaysia dilengkapi dengan sukarelawan yang terlatih dalam CPR, mempunyai akses kepada AED, dan dihuni oleh jemaah yang tahu apa yang perlu dilakukan dalam situasi kecemasan. Dalam keadaan ini, masjid bukan sahaja berfungsi sebagai tempat ibadah, tetapi juga sebagai pusat perlindungan dan keselamatan komuniti.

Akhirnya, persoalannya bukan lagi sama ada kita perlu mempelajari CPR. Persoalan sebenar ialah, jika seseorang rebah di hadapan kita hari ini, adakah kita bersedia untuk bertindak.


Kedua-dua penulis merupakan Perunding Perubatan Kecemasan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).

Previous article
Next article