15 May 2025

Anjakan paradigma perlu untuk hasilkan belia cemerlang bertaraf dunia

Featured

Mereka ada

Oleh Yohan Kurniawan Pendidikan inklusif merupakan satu pendekatan yang memberi...

Thank you, cikgu

By Nahrizul Adib Kadri I was eleven, sitting straight in...

Meningkat kesedaran pulihara ekosistem marin di Pulau Perhentian

Oleh Khor Kai Xuan, Tengku Zawati Afini ASTREC (ASTAR Recreational...

Budayakan

Oleh Siti Nazziera Mokhtar Malaysia telah mengorak langkah bagi menangani...

A rethink

By Professor Dato Dr Ahmad Ibrahim The world is now...

Share

Oleh: Prof. Madya Dr. Zul Ilham Zulkiflee Lubes

Baru-baru ini, berita baik tentang beberapa orang pelajar cemerlang Malaysia yang telah terpilih untuk ke Universiti Harvard, Amerika Syarikat telah membanggakan kita semua. Mereka ini adalah intan terpilih daripada 61,220 permohonan, dan merupakan bilangan pelajar tertinggi terpilih ke universiti tersohor itu setakat ini dalam rekod negara kita Malaysia. Para pelajar tersebut bakal melanjutkan pelajaran dalam bidang bidang astrofizik, biokimia, neurosains, sains alam sekitar, polisi awam, politik, sosiologi dan juga linguistik.

Apa yang menariknya, menurut laporan oleh panel penemuduga, para pelajar tersebut bukan sahaja cemerlang dalam pelajaran, malah merupakan pelajar yang sentiasa memberikan yang terbaik dalam aktiviti di luar bilik darjah seperti muzik, khidmat sosial dan sukan.

Jika ditinjau dengan lebih teliti, pastinya ada beberapa kemahiran dan nilai tambah bersama yang dikongsi oleh para pelajar ini yang membuatkan pencapaian mereka ini berjaya diiktiraf di mata dunia.

Kemahiran dan nilai tambah diri antara kunci menjadi belia bertaraf dunia (Gambar hiasan ihsan Unsplash)

Mari kita soroti kemahiran dan nilai-nilai yang tersenarai ini semoga ada yang boleh memberikan inspirasi kepada kita, terutamanya golongan belia, bagi mengatasi cabaran dunia yang semakin kompleks pada masa kini.

Tidak takut meneroka perkara baru

Mereka didapati tidak melakukan aktiviti yang lazim dilakukan oleh para pelajar lain dan jika ianya pernah dilakukan pun, mereka akan mendalami bidang tersebut sehingga berkepakaran tinggi dan cuba menerapkan kaedah dan pendekatan yang berbeza.

Mendalami budaya dan memiliki citarasa unik

Mereka berminat mendalami isu budaya dan amalan tradisi kerana mereka sedar itu boleh membawa mereka lebih jauh dalam memahami insan, tempat dan peristiwa berbeza yang bakal mereka alami.

Berfikiran pragmatik

Dunia sekarang adalah sangat kompleks lebih-lebih lagi dengan peranan media sosial yang membuatkan segala macam maklumat dan pendapat dapat diakses dengan mudah. Mereka berfikiran terbuka untuk mengekalkan keharmonian dan melakukannya dengan prinsip menghormati antara satu sama lain dan memahami atas sebab apa sesuatu pendapat itu telah dikeluarkan. Walaubagaimanapun, ia tidak bermakna mereka perlu bersetuju dengan semua pendapat.

Mempunyai empati tinggi

Walaupun mereka tidak dilahirkan dalam keluarga yang kurang berada, mereka berasa terpanggil untuk melakukan khidmat sosial untuk masyarakat dan menunjukkan sifat ihsan.

Berusaha mengumpul pengalaman

Mereka percaya yang pengalaman adalah sesuatu yang berharga, melebihi pemilikan material. Pengalaman adalah sesuatu yang perlu didalami dan menjadi harta yang berharga untuk mengharungi hari-hari mendatang.

Tahu bahawa sesetengah perkara yang baik memerlukan masa

Dunia sekarang banyak mementingkan kepuasan segera. Kita boleh berhubung dengan kenalan di benua berbeza pada bila-bila masa dan duit yang didepositkan di bank boleh digunakan secara serta-merta. Namun begitu, dengan terlalu bergantung kepada kemudahan moden ini boleh menyebabkan kita kurang sifat sabar. Belia yang cemerlang tahu bahawa sesuatu yang terlalu cepat, tidak semestinya yang terbaik. Mereka sedia meluangkan masa dan tenaga untuk mendalami ilmu dan memahaminya, walaupun hasilnya tidak terus berada di depan mata.

Mempunyai sasaran hidup

Isu yang besar selalunya memerlukan solusi yang besar. Mereka tidak menunggu untuk jalan penyelesaian diberikan orang lain sebaliknya cuba menerokanya sendiri. Bukan bertujuan untuk berlagak tahu kesemuanya, tapi untuk mempunyai pengetahuan asas yang luas.

Sedia untuk berkolaborasi

Mereka mempunyai kemahiran seperti seorang kapten pasukan sukan yang boleh mengenali kekuatan dan kelemahan ahli pasukannya. Mereka juga tahu bagaimana mengurus personaliti yang berbeza dan menggunakan kepelbagaian ini sebagai asas untuk maju ke hadapan.

Sedia berdialog

Mereka sedar akan kepentingan dialog untuk membincangkan sesuatu isu. Ia bukanlah pentas untuk mencari kesalahan atau berpihak kepada mana-mana sisi. Dialog adalah pusat dan pembuka jalan ke arah penyelesaian konflik.

Berani mengambil risiko

Mereka sedar bahawa dengan menetapkan sasaran untuk masuk ke universiti terkemuka dunia, risiko terbesar ialah kegagalan untuk diterima masuk. Tetapi mereka menjadikan ini sebagai cabaran dan menyahutnya dengan berdepan dengan kesukaran ini. Mereka juga sedar yang mereka bukan hanya sekadar mewakili diri mereka tetapi turut membawa nama baik keluarga, institusi dan negara di mata dunia.

Sudah pastilah ada kemahiran dan nilai-nilai lain yang tidak bersempatan dikupas dalam artikel ini tetapi ianya diharapkan dapat dibedah sendiri oleh para belia Malaysia. Dunia akan terus berputar dan tidak menunggu kita. Jangan hanya hanyut asyik menangkap swafoto dan merakam video pendek. Sebaliknya, marilah kita memulakan sesuatu yang boleh memberikan impak positif kepada masyarakat dan dunia bermula pada hari ini.

Prof. Madya Dr. Zul Ilham Zulkiflee Lubes

Penulis merupakan Profesor Madya di Program Sains Pengurusan Alam Sekitar, Institut Sains Biologi, Fakulti Sains dan Timbalan Pengarah, Pusat Dialog Peradaban, Universiti Malaya. Beliau boleh dihubungi di ilham@um.edu.my