Oleh Nor Nazrina Mohamad Nazry
Bersama ibu atau bapa lain, ketika menunggu anak-anak keluar dari pintu pagar sekolah ataupun dalam kumpulan sembang WhatsApp keluarga, satu perkataan senantiasa muncul dalam perbualan kini adalah perkataan buli.
Terdahulu, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah merekodkan sebanyak 4,994 kes buli yang berlaku antara bulan Januari sehingga bulan Oktober 2023, meningkat lebih daripada 1000 berbanding tahun sebelumnya. Jelaslah, aliran perkembangan ini bergerak ke arah yang salah malah meresahkan, menunjukkan situasi yang perlu diberi perhatian sewajarnya oleh semua pihak.
Isu buli hari ini bukan lagi sekadar gurauan semasa bermain di padang atau bertepuk tampar di dalam kelas. Ianya telah merebak ke dalam dunia maya, melalui hantaran viral, gambar atau perkataan yang kejam mahupun mesej yang berbaur ugutan. Di peringkat antarabangsa, seorang pakar yang terkenal dalam penyelidikan buli, Profesor Dr Dan Olweus menerangkan bahawa buli ialah satu kemudaratan atau bahaya yang disengajakan dan berlaku berulangkali di mana wujudnya ketidakseimbangan kuasa antara pihak-pihak yang terlibat.
Dalam pada itu, para penyelidik yang lain menyatakan bahawa buli siber boleh menjadi berterusan kerana ruang untuk keluar daripada situasi ini bukanlah senang, sementelahan gajet telah menjadi sebahagian daripada kehidupan kita semua dewasa ini.
Situasi buli di Malaysia
Banyak tinjauan dan kajian menggambarkan masalah ini telah berleluasa di kalangan anak-anak yang masih bersekolah. Satu tinjauan pendapat yang dilakukan oleh Ipsos memaparkan hampir satu daripada empat ibu bapa (23%) memberitahu anak mereka pernah dibuli dalam dunia maya dan hampir setengah ibu bapa (47%) mengetahui mangsa buli dalam komuniti mereka sendiri.
Pada tahun 2024, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mendedahkan terdapat 8,339 aduan berkenaan buli siber yang berlaku antara bulan Januari hingga bulan November. Data ini menyimpulkan bahawa secara puratanya 27 kes buli berlaku setiap hari dalam dunia maya di negara kita.
Selain itu, penyelidikan yang dijalankan di sekolah mendapat kejadian buli berkait rapat dengan pencapaian akademik yang lemah, kebimbangan dan depresi. Situasi ini turut disokong oleh Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang bersetuju bahawa buli merupakan halangan yang ketara bagi kesejahteraan dan pertumbuhan anak-anak serta penyertaan mereka di sekolah.
Peranan pihak sekolah
KPM sebenarnya telah mewujudkan garis panduan dalam menguruskan gejala buli dan gangguan seksual di kalangan pelajar-pelajar sekolah. Kementerian ini juga mengingatkan bahawa situasi ini perlu ditangani dengan pantas, tidak boleh dibiarkan begitu sahaja. Dalam pada itu, Menterinya berkali-kali menyatakan bahawa usaha menangani gejala ini merupakan usaha bersama daripada semua pemegang taruh.
Namun begitu, banyak kajian mendapat masih ramai ibu bapa yang tidak mengambil peduli tentang gejala buli ini atau kurang tahu bagaimana menyelesaikan situasi buli anak-anak dengan berkesan. Keadaan ini jelas menggambarkan bahawa kesedaran ibu bapa masih rendah, menunjukkan bahawa ia memerlukan usaha segera untuk menolong para ibu bapa di luar sana.
Saranan pakar kepada ibu bapa
Bagi membantu ibu bapa, para pakar menganjurkan lima langkah yang praktikal untuk dilaksanakan:
- Memahami tanda amaran: Perubahan emosi yang mengejut, rasa berat untuk ke sekolah, pencapaian akademik semakin menurun atau aktiviti atas talian yang disorokkan merupakan tanda masalah telah bermula. Sekiranya anak itu sendiri menceritakan insiden buli yang dialami, ibu bapa sebaiknya menyimpan semua bukti berkaitan seperti gambar, masa dan tarikh bagi membantu pihak sekolah menanganinya
- Menetapkan peraturan keluarga bagi penggunaan gajet: Sebenarnya perjanjian dalam rumah yang mudah seperti waktu henti gajet sebelum tidur, waktu makan tanpa layar dan penjagaan privasi boleh memberi kesan yang baik. Anak-anak turut diingatkan untuk tidak saling membalas dendam dalam dunia maya tetapi menanganinya dengan lebih sihat, misalnya menyekat kenalan, melaporkan dan berterus terang dengan ibu bapa
- Memberi kerjasama dengan pihak sekolah: Ibu bapa diusulkan untuk menghubungi guru dan kaunselor sekolah seawal mungkin, dengan membawa bukti insiden buli tersebut. Selain itu, garis panduan KPM boleh dirujuk untuk memastikan kebertanggungjawaban oleh semua pihak. Bagi insiden buli yang lebih serius, pendekatan seperti pertukaran tempat duduk di dalam kelas dan pemantauan berterusan perlu dilakukan
- Mengalakkan anak-anak untuk bersuara: Selalunya apabila pemerhati campur tangan, kejadian buli dapat dikurangkan. Ibu bapa boleh mengajar anak-anak untuk memberi respon apabila melihat buli berlaku dan bagaimana membantu rakan-rakan lain dengan selamat.
- Mencari bantuan apabila memerlukan: Perkhidmatan kaunseling profesional dan talian bantuan senantiasa tersedia di negara kita. Meminta bantuan dan sokongan bukanlah satu tindakan yang berlebihan tetapi ia sebenarnya satu langkah yang bertanggungjawab oleh para ibu bapa dalam melindungi anak-anak mereka.
Interaksi menenangkan dengan anak-anak
Bagi anak-anak yang sedang membesar, ibu bapa adalah segalanya bagi mereka. Oleh itu, cara ibu bapa memberi respon kepada insiden buli yang dialami oleh anak-anak adalah penting. Para pakar mengusulkan bahawa ibu bapa perlu memberi maklumbalas yang meyakinkan dan juga menenangkan.
Selain itu, ibu bapa perlu mengelakkan beberapa tindakan yang boleh memburukkan lagi keadaan. Antaranya ialah menutup kisah buli dengan kata-kata usikan atau ejekan kepada anak-anak, menyalahkan anak-anak semata-mata dan berjumpa dengan keluarga pembuli secara berdepan.
Penyelesaian tanggungjawab bersama
Sekolah itu adalah tempat yang baik, tempat yang bermakna bagi anak-anak kita. Sepatutnya tiada anak yang berasa takut untuk pergi ke sekolah setiap hari. Justeru itu, ibu bapa dan pihak sekolah haruslah berganding bahu untuk memastikan sekolah adalah ruang yang selamat, ruang yang dapat membentuk sikap saling menghormati.
Daripada rumah, peraturan keluarga mengukuhkan polisi di sekolah dan sekolah harus mengikut dan melaksanakan panduan KPM dengan tegas. Juga, anak-anak perlu menyemai dalam diri masing-masing rasa belas kasihan, empati dan sifat berani yang tinggi.
Seperti yang dinyatakan oleh para pakar, buli siber ialah bahaya yang disengajakan dan berulangkali berlaku. Namun begitu, tindakan berulangkali oleh ibu bapa boleh menjadikan situasi anak-anak lebih baik. Tindakan ibu bapa yang kerap iaitu mendengar, menyimpan bukti, melaporkan dan mengambil tindakan susulan boleh mengubah keadaan daripada buruk kepada baik.
Konklusinya, gejala buli berkembang dalam keadaan senyap. Walau bagaimanapun, ia akan hilang apabila orang dewasa bertindak secara konsisten dan bersama.
Dr Nor Nazrina Mohamad Nazry ialah Pensyarah Kanan, Jabatan Kurikulum dan Teknologi Pengajaran, Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya, dan boleh dihubungi di nazrina@um.edu.my.