13 October 2025

Belajar untuk mengajar

Featured

Belajar untuk mengajar

Oleh Nor Nazrina Mohamad Nazry Pendidikan pada zaman digital ini...

My lesson

By Suresh V. Kuchipudi When I first stepped onto the...

No xenophobia

By Mohammad Tariqur Rahman State-funded privileges are often necessary to...

UMHRC perkukuh kerjasama dengan Shandong Huifa Foodstuff

Universiti Malaya Halal Research Centre (UMHRC) terus mengukuhkan kedudukannya...

Tuntutan, amanah

Oleh Khadijah Mohd Khambali @ Hambali Dalam dunia yang terus...

Share

Oleh Nor Nazrina Mohamad Nazry

Pendidikan pada zaman digital ini meniti banyak perubahan, mendominasi lebih daripada rancangan pengajaran dan penggunaan papan putih di hadapan bilik darjah. Bagi guru pelatih atau guru pra-perkhidmatan di Malaysia, latihan mengajar atau juga dikenali sebagai praktikum merupakan tempat persinggahan penting dalam perjalanan mereka menuju ke destinasi sebagai seorang pendidik. Tempat ini boleh mencorak mereka sebagai pendidik hebat masa depan, malah ia juga boleh melakar sebaliknya.

Apabila mahu memulakan latihan mengajar, kelompok guru ini selalunya bersemangat, ternanti-nantikan peluang untuk beraksi dalam dunia sebenar bilik darjah. Walau bagaimanapun, penyelidikan memaparkan masih terdapat jurang terhadap kesediaan, keyakinan, maklum balas dan refleksi para guru pelatih yang memerlukan respon dan tindakan daripada semua pemegang taruh dalam dunia pendidikan.

Penyelidikan terbaru menyimpulkan bahawa ada guru-guru pelatih di Malaysia masih belum bersedia dalam beberapa perkara walaupun hampir memulakan latihan mengajar. Kajian terhadap jurnal refleksi 20 orang guru pelatih telah diterbitkan pada tahun 2022 dalam jurnal Reflective Practice. Hasil kajian mendedahkan bahawa 36.04% refleksi dikategorikan sebagai “Menerangkan”, iaitu berada pada tahap paling bawah dalam kerangka amalan reflektif.

Sementara itu, hanya 1.92% mencapai tahap paling tinggi iaitu “Mencipta” di mana ia menunjukkan hanya segelintir di antara mereka yang berusaha untuk menambahbaik mutu pengajaran. Dapatan turut memaparkan bahawa kebolehan mereka untuk menilai kerja sendiri masih lemah dan perlu dibimbing.

Selain itu, keyakinan diri di kalangan guru-guru pelatih menarik perhatian para penyelidik. Satu tinjauan melibatkan 93 orang guru pelatih telah dilakukan di dua universiti di Malaysia. Data mendapati kebanyakan responden percaya bahawa teknologi merupakan alat bantu yang bagus dan sokongan rakan dapat meningkatkan kefahaman mereka mengenai kemahiran mengajar. Namun demikian, dapatan menunjukkan ada hubungan signifikan antara penggunaan teknologi dan keyakinan mereka dalam melakukan pengajaran atas talian. Tetapi, usaha seperti kerjasama dengan rakan sebaya guru boleh membantu meningkatkan keyakinan mereka.

Bahasa Inggeris, istilah yang sentiasa popular dalam bidang pendidikan di Malaysia juga tidak dapat lari daripada isu ini. Malah, aliran ini juga mempunyai kesukarannya sendiri di kalangan guru-guru pelatih. Kajian sistematik dalam 10 tahun kebelakangan ini menerangkan beberapa isu yang dihadapi oleh guru-guru pelatih Bahasa Inggeris. Antaranya ialah kecekapan mengajar, pembangunan profesional, sokongan, ketidakselarian antara teori dan amalan pengajaran sebenar, dan pengurusan bilik darjah. Di samping itu, mereka juga masih bergelut dengan latihan reflektif di mana mereka kurang jelas apakah maksud pemikiran reflektif itu sendiri dan tidak mahu pengajaran mereka dinilai oleh rakan lain.

Para pakar di peringkat antarabangsa menyokong kepentingan pengalaman amali yang komprehensif di dalam bilik darjah bagi membantu guru-guru pelatih. Misalnya, Profesor Linda Darling-Hammond, ahli sarjana terkemuka dalam bidang pendidikan guru di Stanford University, menyatakan kombinasi antara teori dan amalan terutamanya dalam bilik darjah, adalah sangat penting bagi guru-guru pelatih. Latihan mengajar boleh meningkatkan kesediaan mereka kerana di situlah bertemunya teori dan kerumitan bilik darjah yang sebenar. Tanpa bimbingan yang jitu dan maklum balas yang kerap, guru-guru pelatih hanya membina strategi daya tindak, bukan menguasai latihan yang intensif.

Dalam pada itu, pendapat guru-guru pelatih berhubung latihan mengajar perlu diambilkira juga. Satu kajian kes yang melibatkan sesi temubual bersama 10 orang guru pelatih di sebuah universiti awam telah dilakukan. Guru-guru ini telah melakukan lawatan sosial ke sekolah masing-masing terlebih dahulu sebelum memulakan latihan mengajar secara rasmi. Dapatan temubual menunjukkan mereka berasa yakin kerana telah bersedia secara sosial dan psikologi, hasil daripada lawatan sosial tersebut. Ini dapat disimpulkan bahawa hubungan yang baik antara sekolah dan guru pelatih dapat meningkatkan kesediaan dan keyakinan mereka sebelum melangkah ke dalam dunia sebenar bilik darjah.

Beberapa usaha boleh dilakukan untuk meningkatkan prestasi kelompok guru ini, bakal guru masa depan negara kita. Antaranya ialah:

  • Lebih banyak bimbingan dan maklum balas berstruktur semasa latihan mengajar diberikan oleh pensyarah penyelia dan guru pembimbing. Garis panduan yang jelas perlu dirujuk untuk menolong guru-guru pelatih supaya mereka boleh berfikir dengan kritis, menganalisis, dan meningkatkan prestasi pengajaran mereka
  • Latihan yang pelbagai tahap berkenaan pengurusan bilik darjah, literasi digital dan amalan inklusif boleh dijalankan kerana komponen-komponen ini masih juga dianggap lemah. Contohnya, satu kajian melibatkan 469 orang guru pelatih di utara Malaysia mendedahkan pengetahuan terhadap pendidikan inklusif di kalangan mereka adalah pada tahap sederhana walaupun tingkahlaku mereka menunjukkan ke arah positif
  • Kerjasama dan sokongan rakan digalakkan kerana pengaruh rakan boleh mengembangkan prestasi dan keyakinan mereka. Misalnya, bimbingan rakan sebaya guru dan refleksi berkumpulan
  • Kurikulum di institusi pendidikan guru boleh ditambahbaik dengan berfokuskan teknik refleksi, keupayaan menyesuaikan diri dan pengalaman amali yang berkala
  • Didikan ketahanan diri dan keupayaan menyesuaikan diri boleh dipertingkatkan, seperti menyediakan guru-guru pelatih dengan kemahiran mengajar atas talian, menguruskan keadaan akibat perubahan yang tidak dijangka dan mengajar di bawah tekanan

Akhir kata, kemahiran mengajar juga dianggap sebagai seni, sesuatu dibentuk dengan melakukan, memikirkan semula dan memperbaiki. Di negara kita, pendidikan bagi guru-guru pelatih telah melalui banyak penambahbaikan dan kemajuan tetapi masih lagi ada ruang yang perlu dibaiki, terutamanya kesediaan mereka untuk menangani keadaan bilik darjah sebenar yang dilihat masih goyah.

Usaha-usaha ini bukan sahaja penting bagi meningkatkan keyakinan para guru pelatih, malah bermakna bagi proses pembelajaran para pelajar dalam membina sistem pendidikan yang mantap dan fleksibel bagi menghadapi cabaran masa depan.


Dr Nor Nazrina Mohamad Nazry ialah Pensyarah Kanan di Jabatan Kurikulum dan Teknologi Pengajaran, Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya dan boleh dihubungi di nazrina@um.edu.my

Previous article