8 February 2023

Bersederhana amalan terbaik di bulan mulia

Featured

Kisah minggu ketigabelas

Sehari sebelum warga kampus mula bercuti untuk perayaan Tahun Baru Cina baru-baru ini, pasukan kami sempat menjengah Fakulti Kejuruteraan untuk merakamkan suasana kampus.

Memperkasakan ta’aruf, tafahum dan tasamuh dalam Masyarakat MADANI di Malaysia

Masyarakat majmuk terbentuk di Malaysia melalui sejarah yang panjang. Ia merupakan ciri keunikan tempatan kerana kejayaan menghasilkan miniatur Asia yang mempunyai komposisi pelbagai bangsa utama Asia seperti Melayu, Cina dan India. Takdir sejarah ini perlu diterima dan diperkasakan dari semasa ke semasa.

Let’s craft an ideal 21st century city out of KL

Kuala Lumpur, the capital of Malaysia, has a rich history dating back to the late 1800s. It began as a small tin-mining settlement in the 1850s and was granted city status in 1972. During the late 19th and early 20th centuries, Kuala Lumpur developed rapidly as a centre of tin mining and trade, leading to increased immigration and economic growth.

Normalisasi sembang lucah: Mengemis perhatian murahan

Walau bagaimanapun, banyak unsur gurauan atau lawak jenaka dewasa ini yang berbaur lucah atau mempunyai maksud tersirat dilihat semakin berleluasa dan parah.

Ibu bapa pendamping tumbesaran anak-anak zaman digital

Teknologi telah banyak memberi manfaat kepada masyarakat di seluruh dunia. Walau bagaimanapun, tidak dapat dinafikan, terdapat juga kesan negatif ke atas perkembangan kanak-kanak dan remaja.

Share

Oleh: Dr. Zalina Zakaria

Menjalani Ramadan dalam tempoh pandemik COVID-19 banyak mengajar kita untuk bersederhana. Sungguh pun tahun lalu bazar Ramadan telah dibenarkan untuk dibuka, masih ramai yang mengamalkan sikap berhati-hati dan cuba mengelakkan diri dan keluarga berada di tempat orang ramai. Oleh itu, kebanyakan pengguna memilih untuk memasak sendiri juadah berbuka puasa, atau jika tidak sekali pun ramai juga yang memilih untuk memesan makanan melalui talian.

Kini, setelah dua tahun umat Islam di negara menjalani Ramadan dalam situasi perintah kawalan pergerakan, Ramadan kali ini memberikan kelegaan kerana tiada lagi sekatan dikenakan. Malaysia sudah pun diisytiharkan memasuki fasa ‘peralihan ke endemik’ bermula tanggal 1 April. Fasa ini merupakan ‘exit strategy’ untuk membolehkan kita semua kembali semula kepada kehidupan yang hampir normal selepas dua tahun berperang dengan COVID-19.

Antara ‘kelegaan’ utama kepada umat Islam adalah had waktu operasi bagi premis perniagaan, termasuklah premis makanan yang dimansuhkan; serta aktiviti solat jemaah di surau/masjid atau upacara sembahyang di rumah ibadat selain Islam boleh dilaksanakan tanpa penjarakkan fizikal. Bazar Ramadan kini dibuka di banyak tempat. Selain memberikan peluang kepada pengunjung untuk membeli pelbagai aneka jualan makanan untuk dinikmati sewaktu iftar, ia juga memberikan peluang para peniaga berniaga dan seterusnya membantu memulihkan ekonomi mereka yang terkesan pasca COVID-19 ini.

Blue Mosque, Turkey during golden hour
Masjid bakal meriah dengan jemaah bermulanya fasa endemik ini — Gambar hiasan (Unsplash)

Tidak dapat dinafikan kemeriahan Ramadan kali ini lebih terasa dengan adanya aktiviti perniagaan di bazar-bazar Ramadan. Namun begitu, pengguna perlulah pandai mengawasi tingkah laku mereka, bukan hanya kerana khuatir COVID-19 ini masih melanda, namun juga supaya Ramadan tidaklah dijalani dengan menurut nafsu semata-mata.

Prinsip paling penting dalam menjalani puasa adalah dengan menjalaninya secara bersederhana. Bersederhana atau mengamalkan wasatiyyah adalah asas kepada syariah dan segala cabangnya, sama ada dalam aqidah, usul, furu’, qawaid fiqhiyyah, dan sistem perekonomian. Al-Qaradawi menjelaskannya sebagai pertengahan atau keseimbangan antara dua pihak yang bercanggah dan berlawanan, di mana tidak ada pihak yang akan bersendirian memberi kesan dan menyingkirkan pihak lawannya, dan tidak ada pihak yang mengambil lebih daripada hak sepatutnya sehingga menafikan hak lawannya.

Malah, Fadhilah al-Syeikh al-Ustaz Dr. Muhammad Abd al-Latif al-Farfur di dalam bukunya al-Wasatiyyah fi al-Islam berkata: “Tiadalah di sana yang lebih baik di sisi ahli akal, lebih indah, lebih cantik dan lebih manis daripada tawassut (pertengahan atau sederhana) dalam semua perkara.”

Para ulama asasnya tidak mendefinisikan wasatiyyah dengan maksud sederhana seperti yang mungkin difahami oleh sesetengah pihak. Wasatiyyah (atau al-wasatiyyah) telah diterjemahkan oleh para ulama dengan maksud keseimbangan, kecemerlangan, dan keadilan; namun pendapat ulama yang lain pula seperti Al-Syatibi, wasatiyyah mempunyai elemen pertengahan kerana perkataan al-wasatiyyah juga boleh dikaitkan dengan maksud pertengahan antara dua perkara.

Mengambil kira semua pendapat tersebut, tidak dapat dinafikan aspek yang paling perlu diamalkan oleh seseorang Muslim adalah menjalani kehidupan dengan seimbang dan sederhana dalam semua aspek kehidupan. Bulan Ramadan adalah bulan yang paling sesuai melatih kita mengamalkan keseimbangan dan kesederhanaan.

Namun begitu, kerapkali amalan ini dikhuatiri tidak dilaksanakan di bulan Ramadan. Malah, boros berbelanja, membazir makanan, dan makan secara berlebihan ibarat sudah menjadi kebiasaan tiap kali tibanya bulan Ramadan. Bukan sahaja dari segi makanan, malah juga meibatkan pembaziran ketika persiapan menyambut Aidilfitri. Dilaporkan penghasilan sampah-sarap meningkat hampir 10,000 ke 15,000 tan sehari pada bulan Ramadan setiap tahun, kebanyakannya akibat dari pembaziran makanan.

grilled meat with sliced tomato and green vegetable on white ceramic plate
Bermewah dengan makanan bukan tujuan sebenar Ramadan — Gambar hiasan (Unsplash)

Amalan boros rakyat Malaysia ketika berpuasa juga seringkali dikaitkan dengan kesanggupan mereka mencuba makanan di tempat-tempat eksklusif seperti hotel dan restoran mewah. Tambahan pula banyak sekali tawaran ‘buffet’ yang diiklankan dengan gambar-gambar makanan yang begitu menyelerakan. Akibatnya, ramai yang gelojoh mencuba bermacam-macam juadah sehingga menjadi terlalu kenyang, dan terlepas melakukan ibadat solat sunat tarawih.

Selain itu, bulan Ramadan jugalah yang selalunya menjadi bulan untuk berbelanja sepuas-puasnya sempena persiapan menjelang hari raya Aidilfitri. Tambahan pula tahun ini adalah tahun pertama hari raya dapat diraikan tanpa sekatan kawalan. Akibatnya, dikhuatiri ramai yang akan bersikap boros dan lupa mengawal diri ketika berbelanja dan mudah terperdaya dengan kempen ‘jualan murah’ yang hanya bertujuan untuk mengaut untung.

Sungguh pun mungkin kini ramai yang berkemampuan untuk berbelanja, mengamalkan kesederhanaan dan keseimbangan dalam apa jua aspek kehidupan adalah sangat dianjurkan bagi setiap Muslim, terutama dalam bulan Ramadan ini. Jika tidak, puasa itu hanya sekadar lapar dan dahaga sahaja seperti mana sabda Nabi SAW: “Berapa banyak orang berpuasa yang tiada apa yang dapat dari puasanya kecuali lapar dan dahaga” (Riwayat Ibnu Majah, nombor Hadith 1690).

Tepuk dada, tanyalah selera.

Dr. Zalina Zakaria

Penulis merupakan Pengarah, Pusat Kajian Halal Universiti Malaya, juga Pensyarah Kanan, Jabatan Syariah dan Undang-Undang, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Beliau boleh dihubungi di zalina_jsu@um.edu.my