Mengalah bukan menyerah kalah
Oleh Nur Shahidah Pa’ad
Dalam kehidupan yang semakin kompetitif hari ini, istilah mengalah seringkali disalah ertikan. Ia selalu dikaitkan dengan kelemahan, kegagalan, atau kekurangan daya juang. Seseorang yang memilih untuk berundur mudah dilabel sebagai tidak cukup kuat mempertahankan diri atau idea yang dibawanya. Namun, sejarah dan pengalaman manusia telah menunjukkan kepada kita tentang satu hakikat yang lebih mendalam iaitu mengalah tidak semestinya bermaksud kalah. Sebaliknya, dalam banyak keadaan, ia adalah satu bentuk kebijaksanaan strategi yang memerlukan jiwa yang tenang, kejelasan tujuan, dan kekuatan dalaman yang tinggi untuk melakukannya.
Sejarah kepimpinan kenabian memberikan gambaran yang sangat jelas tentang hakikat ini. Kita semua mengetahui bahawa Nabi Muhammad SAW tidak membina perubahan besar melalui perlawanan terbuka sejak awal dakwah Baginda. Sebaliknya, Baginda SAW memulakan penyampaian risalah Islam secara tertutup selama beberapa tahun. Fasa yang dikenali sebagai dakwah sirrฤซyyah ini, menyaksikan Baginda SAW menyampaikan mesej Islam bermula dengan kelompok kecil yang hanya dipercayai dan bersedia untuk menyokong perjuangan Baginda SAW. Fokus ini bukan disebabkan oleh ketakutan, tetapi kefahaman yang mendalam bahawa kekuatan dalaman perlu dibina terlebih dahulu sebelum berhadapan dengan penentangan luar yang lebih kuat dan hebat.
Dalam konteks ini, mengalah secara zahir tanpa perlu melawan secara terbuka sebenarnya adalah satu bentuk strategi yang digunakan oleh Baginda SAW untuk memelihara kekuatan iman, membangun kestabilan emosi, dan kesatuan kelompok awal yang menerima dakwah Islam. Strategi yang unggul ini terbukti berjaya melahirkan generasi sahabat yang teguh iman, berdaya tahan, dan memiliki kejelasan nilai. Ia akhirnya menjadi teras kepada perubahan sosial yang jauh lebih besar dan berpanjangan.
Selain itu, satu lagi peristiwa penting dalam sejarah Islam yang ketahui umum iaitu hijrah para sahabat ke Habsyah. Ketika tekanan dan penindasan di Mekah semakin memuncak, Nabi Muhammad SAW mengizinkan sebahagian pengikutnya meninggalkan tanah asal menuju ke sebuah negeri asing yang dipimpin oleh Raja Najasyi, seorang pemerintah bukan Islam tetapi terkenal dengan keadilannya. Keputusan ini menggambarkan tentang pendekatan mengalah yang digunakan sebagai strategi iaitu dengan meninggalkan ruang yang mencederakan demi keselamatan maruah dan keimanan. Di balik peristiwa ini, jelas bahawa Baginda Nabi SAW memilih strategi yang mampu memberi sokongan yang lebih adil meskipun jauh, berbanding yang dekat tetapi meruntuhkan.
Peristiwa Taโif pula sering menjadi simbol penolakan paling menyakitkan dalam sirah. Nabi SAW bukan sahaja ditolak, malah dihina dan dicederakan secara fizikal dan emosi. Namun Baginda SAW tidak memaksa penerimaan, tidak membalas dengan kemarahan, dan tidak meneruskan dakwah di medan yang jelas belum bersedia. Sebaliknya, Baginda SAW memilih untuk berundur dengan berdoa menyerahkan urusan kepada Allah. Tindakan ini sebenarnya, jika dihayati ia bukanlah tanda kekalahan, tetapi keputusan strategik untuk tidak menghabiskan tenaga di ruang yang tidak memungkinkan pertumbuhan.
Pengajaran daripada sejarah ini sangat relevan dalam medan realiti moden. Dalam dunia organisasi, kepimpinan mahupun masyarakat umum, ramai individu mengalami situasi di mana usaha dan idea mereka sering dipertikaikan oleh kelompok terdekat, tetapi dihargai oleh pihak luar yang menilai secara lebih objektif. Dalam keadaan seperti ini, terus mempertahankan diri kepada mereka yang tidak mahu memahami sering kali hanya membawa keletihan emosi, bukannya kemajuan yang bermakna.
Mengalah, dalam konteks ini, bukan bermaksud meninggalkan prinsip atau impian. Namun, ia bermaksud mengubah fokus untuk memilih medan yang lebih menerima percambahan idea, memelihara dan meraikan nilai serta potensi manusia. Dengan memilih strategi ini juga bererti menyedari bahawa pentingnya untuk berhenti mempertahankan diri di ruang yang melemahkan, dan mula melaburkan tenaga di tempat yang lebih membina.
Kenyataan ini bukanlah suatu kenyataan yang lemah. Sejarah mengajar bahawa, ada masanya berundur dengan tenang adalah langkah paling berani. Ia bukan bertujuan untuk berhenti berjuang, tetapi untuk terus melangkah dengan lebih bijaksana, bermaruah, dan berfikiran jauh kehadapan.
Dr. Nur Shahidah Pa’ad ialah Pensyarah Kanan di Jabatan Dakwah dan Pembangunan Insan, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya dan boleh dihubungi di shaaz2301@um.edu.my