22 July 2024

Bukan tanggungjawab sang ibu sahaja

Featured

Kenal pasti faktornya

Statistik mengenai buli siber di Malaysia menunjukkan masalah ini semakin serius, terutama dalam kalangan remaja. Menurut kajian Ipsos, Malaysia berada di tempat kedua di Asia selepas India dalam isu buli siber dalam kalangan belia.

Bringing back their smiles

O.L.D.I.E is more than just a health project—it’s a movement towards a better quality of life for our aging population.

Menyelami intipati budaya Temuan di Ulu Chemong

Program ini berjaya memberi pendedahan dan pemahaman yang mendalam tentang budaya dan gaya hidup orang asli Temuan dalam kalangan mahasiswa UM.

Bursa leading the way

The Zakat Index is a market capitalization-weighted index that tracks the performance of the largest 200 companies on the Main Market of Bursa Malaysia.

The ice cream of life

I challenge all of us to be more like ice cream. Let’s store our energy wisely, stay true to our unique ‘flavour’, and when called upon, let’s give it our all – whether it’s a small scoop or a whole tub of effort.

Share

Oleh: Dr. Yong Adilah Shamsul Harumain

Setiap kali melangkahkan kaki keluar dari rumah, sama ada ke tempat kerja atau pun untuk urusan seharian, pasti hati seorang ibu akan berasa sungguh berat untuk meninggalkan anak-anak. Bukan mudah untuk menjadi seorang ibu yang berkerjaya apatah lagi pada masa yang sama seorang ibu berkerjaya perlu memastikan kerja yang dijalankan dengan penuh amanah dan cemerlang. Harapan keluarga dan masyarakat adalah tinggi terhadap seorang ibu yang berkerjaya.

Kehidupan seorang ibu yang berkerjaya bermula sejak malam sebelum hari bekerja. Bermula dengan persiapan persekolahan anak-anak dan kemudiannya menguruskan rumahtangga dan keperluan suami serta ahli keluarga. Keesokan harinya pula, sejak pagi seorang ibu berkerjaya akan memikirkan perjalanan anak-anak ke sekolah, pengurusan anak-anak ke pusat transit atau ke sekolah agama.

Adakalanya kerja yang tidak dapat diselesaikan di tempat kerja, dibawa pula pulang ke rumah. Begitulah, rutin seharian seorang yang begelar ibu berkerjaya. Samada seorang ibu berkerjaya atau tidak, bukanlah persoalannya di sini bahkan senario berbeza seorang yang begelar ibu masih memikul tanggungjawab yang sama. Alah bisa tegal biasa. Sebaliknya, perubahan rutin, kesibukan dan kepenatan seorang ibu juga boleh menjadi suatu mimpi paling buruk apabila kemalangan boleh berlaku melibatkan nyawa seorang anak.

Sungguh pun begitu, wajarkah dipalit sepenuhnya tanggungjawab itu ke atas seorang ibu? Sebenarnya, masyarakat memainkan peranan penting dalam membendung kemalangan daripada berlaku.

Kekuatan sesebuah institusi keluarga turut tersandang di bahu seseorang yang bergelar ibu. Namun, untuk memastikan sesuatu rutin itu dapat ditangani dengan baik, sokongan dan peranan bapa amat penting. Pengorbanan dan toleransi kedua ibu bapa adalah amat mustahak.

Selain daripada itu, pihak pengurusan dan majikan di tempat kerja, masyarakat dan juga komuniti juga harus berganding idea dan tenaga dalam memastikan keselamatan dan kesejahteraan anak-anak terjamin. Pengurusan tadika dan sekolah juga boleh bersama-sama saling mengingatkan mengenai keberadaan dan keadaan anak-anak. Sudah pasti, isu tertinggal anak di dalam kereta yang boleh meragut nyawa anak-anak boleh dielakkan.

Manakala pengurusan di tempat kerja pula boleh memberi pelbagai inisiatif sokongan jika terdapatnya masalah seperti anak sakit atau sebagainya. Jumlah jam bekerja juga perlu menimbang keperluan seorang ibu yang sedang menyusu anak dan juga ibu yang mempunyai anak kecil supaya lebih banyak masa dapat diluangkan di rumah bersama anak-anak.

Kesedaran dan impak pihak pengurusan dan majikan terhadap seorang ibu yang berkerjaya bukanlah sekadar memberi peluang kepada ibu untuk mempunyai rutin harian yang lebih baik bahkan membantu generasi masa hadapan untuk membesar dengan lebih baik. Generasi masa hadapan inilah yang akan menerajui masa depan negara kita kelak.

Ini merupakan sebuah pelaburan yang terbaik bagi sesebuah negara. Sempena Hari Wanita Antarabangsa yang disambut pada 8 Mac 2024, sudah tiba masanya kita cakna tentang peranan masing-masing di dalam menjamin masa hadapan anak-anak kita. Peranan setiap pemegang taruh, termasuklah ibu, bapa dan ahli masyarakat adalah penting dalam menjamin sesebuah institusi keluarga yg berjaya dan bahagia. Ia tidaklah terletak di bahu seorang ibu sahaja.

Kejayaan seseorang ibu atau wanita bukanlah kejayaan diri sendiri malah merupakan sebuah kejayaan yang dimiliki oleh semua.


Penulis merupakan seorang ibu dan Pensyarah Kanan di Jabatan Perancangan Bandar dan Wilayah, Fakulti Alam Bina, Universiti Malaya, dan boleh dihubungi di adilah_shamsul@um.edu.my