Isu penderaan seksual kanak-kanak kekal sebagai salah satu masalah sosial paling serius di Malaysia, khususnya dalam kalangan komuniti berpendapatan rendah (B40) yang berdepan dengan kekangan akses kepada maklumat dan sokongan. Menyedari hakikat ini, sekumpulan pelajar daripada Fakulti Undang-Undang dan Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya telah menganjurkan program “Bengkel C.A.R.E.: Hak Saya, Suara Saya” yang bertempat di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kerinchi, Lembah Pantai. Bengkel ini dijalankan dengan kerjasama Pejabat Ahli Parlimen Lembah Pantai, Childline Foundation Malaysia, serta pemimpin komuniti setempat.
Isu yang dibangkitkan
Walaupun Malaysia mempunyai undang-undang perlindungan kanak-kanak yang kukuh seperti Akta Kanak-Kanak 2001 dan Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (SOACA), cabaran sebenar ialah kurangnya kesedaran di lapangan. Menurut Polis Diraja Malaysia, lebih 2,000 kes penderaan seksual kanak-kanak dilaporkan pada tahun 2023, namun lebih 90 peratus dipercayai tidak pernah sampai ke pihak berkuasa.
“Di sinilah kami lihat keperluan untuk mengadakan program seperti ini – bukan sahaja memberi kefahaman kepada kanak-kanak tentang apa itu penderaan seksual, tetapi juga mendidik mereka cara melindungi diri serta di mana mereka boleh mendapatkan bantuan,” jelas Delphine Arianna Thompson, Pengarah Projek Bengkel C.A.R.E: Hak Saya Suara Saya.




Pendekatan pendidikan
Program ini dibahagikan kepada beberapa sesi interaktif dan pendidikan:
- Sesi Penumpuan (Jom Teka Emosi): Aktiviti ini membantu kanak-kanak memahami bahawa emosi mereka adalah petunjuk penting sama ada sesuatu situasi itu selamat atau tidak.
- Sesi Kuliah: Fasilitator menerangkan dengan gaya mesra kanak-kanak tentang konsep penderaan seksual, perbezaan sentuhan selamat dan tidak selamat, strategi No-Go-Tell, serta hak mereka di bawah undang-undang.
- Sesi bersama Childline Foundation: Kanak-kanak dibimbing mengenali orang dewasa yang boleh dipercayai, dan menulis nama mereka pada helaian khas yang boleh disimpan sebagai rujukan jika berlaku sebarang kejadian.
- Sesi Bertenaga & Penilaian: Aktiviti permainan dan kuiz interaktif diadakan bagi memastikan peserta benar-benar memahami isi kandungan bengkel, sambil mengekalkan suasana yang menyeronokkan.
Selain itu, pasukan pelajar turut menghasilkan infografik yang ditampal di kawasan PPR selepas bengkel selesai. Infografik tersebut mengandungi maklumat ringkas tentang langkah praktikal untuk ibu bapa, saluran aduan seperti Talian Kasih 15999, serta peringatan mengenai sentuhan selamat dan tidak selamat untuk kanak-kanak.
Manfaat kolaborasi
Keunikan projek ini terletak pada kolaborasi rentas fakulti. Pelajar undang-undang membawa perspektif tentang hak kanak-kanak dan sistem perlindungan, manakala pelajar pendidikan membantu menyesuaikan kandungan agar mesra dan mudah difahami oleh kanak-kanak.
“Kerjasama dengan pelajar pendidikan amat penting kerana topik ini sangat berat. Mereka membantu kami menyampaikan isu rumit seperti penderaan seksual dalam bentuk cerita, permainan, dan aktiviti yang kanak-kanak boleh fahami,” tambah Delphine.
Dr. Zalina binti Abdul Halim daripada Fakulti Undang-undang dan Prof. Dr. Vishalache A/P Balakrishnan daripada Fakulti Pendidikan memainkan peranan penting sebagai penyelia projek dengan memberikan bimbingan yang berterusan serta panduan akademik yang jelas sepanjang pelaksanaan Bengkel C.A.R.E.: Hak Saya, Suara Saya. Mereka bukan sahaja memastikan kandungan projek selari dengan objektif SULAM dan keperluan kursus, malah turut membantu pasukan mengekalkan keseimbangan antara pendekatan akademik, praktikal, dan sensitiviti terhadap komuniti.
Harapan
Program ini bukan sahaja memberi kesan kepada kanak-kanak dan komuniti setempat, tetapi juga membentuk pengalaman bermakna kepada para pelajar yang terlibat. Mereka bukan sekadar menimba ilmu akademik, malah mengaplikasikan pengetahuan untuk menyumbang kepada masyarakat.
Menurut Marsya Reana Sofea, Setiausaha Projek, pengalaman ini juga memperkukuhkan kemahiran kepimpinan, komunikasi, dan pengurusan projek – persediaan penting untuk kerjaya profesional pada masa hadapan. “Sebagai pelajar undang-undang, saya kini lebih memahami bahawa undang-undang bukan sekadar peraturan di atas kertas, tetapi alat untuk keadilan sosial. Melindungi komuniti rentan, terutamanya kanak-kanak, memerlukan bukan sahaja undang-undang yang baik tetapi juga kesedaran dan tindakan bersama,” katanya.
Melalui usaha seperti Bengkel C.A.R.E., suara kanak-kanak dari komuniti B40 diangkat, kesedaran dipupuk, dan mesej jelas disampaikan: penderaan seksual bukan isu untuk disenyapkan, tetapi realiti yang mesti ditangani dengan berani dan penuh belas ihsan.

Maklumat lanjut mengenai program ini boleh didapati melalui Dr. Zalina binti Abdul Halim, Fakulti Undang-undang, Universiti Malaya, di zalina@um.edu.my
