21 July 2024

Ekoterapi dekati khazanah alam di Taman Negara

Featured

Bringing back their smiles

O.L.D.I.E is more than just a health project—it’s a movement towards a better quality of life for our aging population.

Menyelami intipati budaya Temuan di Ulu Chemong

Program ini berjaya memberi pendedahan dan pemahaman yang mendalam tentang budaya dan gaya hidup orang asli Temuan dalam kalangan mahasiswa UM.

Bursa leading the way

The Zakat Index is a market capitalization-weighted index that tracks the performance of the largest 200 companies on the Main Market of Bursa Malaysia.

The ice cream of life

I challenge all of us to be more like ice cream. Let’s store our energy wisely, stay true to our unique ‘flavour’, and when called upon, let’s give it our all – whether it’s a small scoop or a whole tub of effort.

Oral wellbeing for street kids of Chow Kit

In an effort to improve healthcare equity, students from...

Share

Ekoterapi, atau juga dikenali sebagai terapi alam, merupakan salah satu bentuk terapi yang melibatkan interaksi di antara manusia dengan alam semulajadi sebagai cara untuk meningkatkan kesihatan mental dan kesejahteraan emosi individu. Kaedah ini merangkumi pelbagai aktiviti seperti berjalan di hutan (atau dikenali juga sebagai ‘mandi hutan’), mendaki bukit dan gunung, menikmati kehijauan hutan dan deru air sungai yang mengalir, memerhati keunikan biodiversiti flora dan fauna, atau dengan hanya menghabiskan masa berkhemah di dalam hutan.

Terdapat banyak kajian yang telah dijalankan berkaitan kebaikan ekoterapi ini, terutamanya dari bidang kesihatan mental, ekologi dan psikologi. Antara sumber rujukan terawal ialah buku ‘Ecotherapy: The green agenda for mental health’ karangan Mind Health Association (MIND) yang diterbitkan pada tahun 2007. Pendekatan ekoterapi ini kini semakin mendapat perhatian para penyelidik di serata dunia bagi menangani masalah kesihatan mental yang semakin meningkat dalam kalangan belia, terutamanya mahasiswa universiti.

Menurut kajian, mahasiswa yang sering merasa tertekan akibat tuntutan tugasan akademik boleh merasa lebih tenang setelah menghabiskan masa ditemani kehijauan hutan. Aktiviti yang berasaskan interaksi dengan alam sebegini juga boleh membantu memperbaiki keupayaan seseorang untuk fokus, dan meningkatkan emosi diri yang positif.

Selain manfaat dari aspek mental, aktiviti ekoterapi seperti mendaki dan berjalan di dalam hutan juga memberi manfaat fizikal seperti meningkatkan kecergasan dan kesihatan jantung. Dan seperti diketahui, keadaan fizikal yang baik juga sebenarnya boleh menyokong kesihatan mental individu secara keseluruhan. Kajian juga mendapati seseorang yang meluangkan masa di dalam hutan turut merangsang daya kreativiti masing-masing, dan membina perasaan saling terhubung dengan alam sekitar dan individu lain.

Menyedari kepelbagaian manfaat yang boleh didapati menerusi aktiviti-aktiviti yang menyantuni alam ini, sekumpulan mahasiswa Universiti Malaya (UM) dari Kolej Kediaman Pertama telah menubuhkan sebuah kelab berasaskan ekoterapi yang dinamai ‘ASTAR Recreational and Educational Club’ (ASTREC). “Penubuhan kelab ini sebenarnya bersifat serampang dua mata. Selain objektif secara langsung yang mencipta platform untuk mahasiswa berekreasi sambil belajar yang diperkukuhkan dengan elemen ekoterapi, ASTREC juga secara tidak langsung bakal melahirkan pemimpin yang mencintai alam sekitar,” kata Dr Mohd Istajib Mokhtar, Pengetua Kolej Kediaman Pertama UM.

Dr Mohd Istajib yakin dengan menghubungkaitkan aktiviti gaya hidup sihat dengan usaha kelestarian alam dan komuniti setempat, bakal melahirkan mahasiswa holistik yang bakal menjuarai isu ‘planetary health’ (kesihatan bumi) pada masa hadapan.

Aktiviti pertama kelab ini adalah sebuah ekspedisi ringkas ke Taman Negara, Pahang. “Pengisian program ini direkabentuk khusus bagi memberi peluang ahli kelab untuk menikmati ‘mandi hutan’ yang sebenar, berlatar belakangkan hutan hujan tropika yang berusia lebih 100 juta tahun. Selain itu, para peserta juga berpeluang menyantuni masyarakat orang asli suku Batek yang menjadi penghuni tetap Taman Negara,” kata As’ad Zufayri, mahasiswa tahun kedua jurusan undang-undang UM yang juga merupakan pengarah ekspedisi.

Ekspedisi 3 hari 2 malam yang disertai 20 orang mahasiswa UM dari pelbagai latar belakang pengajian ini menyaksikan para peserta mendekati alam semulajadi bukan hanya menerusi pemerhatian flora dan fauna semata-mata, malah turut menuntut kecergasan fizikal.

“Melalui ekspedisi ini kami berpeluang melihat haiwan yang aktif pada waktu malam, seperti babi hutan, kelawar, dan kubung Sunda. Walaupun kami dimaklumkan gajah dan harimau juga mendiami Taman Negara, namun tiada di sekitar kawasan kami. Selain itu, kami juga berpeluang mendaki Bukit Teresek yang berketinggian 334 meter dari paras laut. Walaupun pendakiannya tidak mencabar, namun cukup memberi pengalaman kepada sebahagian peserta yang tidak pernah melakukan aktiviti mendaki,” terang As’ad.

Menariknya, para peserta turut menyantuni sebuah penempatan orang asli suku kaum Batek di dalam ekspedisi ini. “Untuk sebahagian besar daripada kami, ini merupakan kali pertama kami berinteraksi secara dekat dengan masyarakat orang asli. Hasil sesi ramah mesra bersama penduduk kampung dan tok batin telah memberi pengetahuan baharu mengenai sekelompok masyarakat yang terpinggir dari arus kemodenan kota, namun mempunyai budaya hidup yang amat rapat dengan alam semulajadi,” kata Muhammad Sauqi Hassan, mahasiswa tahun ketiga jurusan kejuruteraan bioperubatan yang juga merupakan salah seorang peserta ekspedisi.

Masyarakat di situ turut berkongsi panduan kehidupan di hutan, termasuklah melakukan demonstrasi menghidupkan api tanpa menggunakan peralatan tambahan atau bahan api. Mereka juga menunjukkan cara memburu haiwan di hutan menggunakan sumpit kepada para peserta. “Ternyata bukannya mudah untuk mengendalikan sumpit ini, apatah lagi menggunakannya bagi mencari makanan untuk kesemua ahli keluarga. Saya secara peribadi amat kagum dengan pengetahuan yang mereka miliki, terutamanya dalam mengharungi cabaran kehidupan di dalam hutan tebal ini,” kata Muhammad Sauqi lagi.

Menurut Dr Mohd Istajib, rata-rata para peserta memberikan respon yang positif di penghujung program. “Mereka bukan sahaja berjaya mencapai objektif program yang meningkatkan keupayaan masing-masing untuk menangani tekanan pembelajaran melalui ekoterapi, malah turut menerima beberapa nilai tambah. Saya harapkan program ini dapat diteruskan lagi pada masa hadapan dengan penambahbaikan yang akan mempertingkatkan daya tahan mahasiswa, di samping memupuk kepentingan konservasi biodiversiti di dalam diri mereka,” katanya mengakhiri temubual.


Maklumat lanjut mengenai program ini boleh didapati melalui Muhammad Sauqi Hassan di U2001871@siswa365.um.edu.my