Oleh Dr Nor Nazrina Mohamad Nazry
Sejak kebelakangan ini, banyak kajian berkenaan dunia maya mencetuskan kebimbangan. Di Semenanjung Malaysia, salah satu kajian yang melibatkan pelajar sekolah menengah berusia sekitar 13 hingga 17 tahun menemui bahawa 13.7% pernah menjadi mangsa buli siber dan 3.8% mengaku melakukannya. Kajian yang sama turut melaporkan bahawa tingkah laku bunuh diri seperti pemikiran, perancangan dan usaha berkait rapat dengan pengalaman menjadi mangsa buli siber.
Di samping itu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mendedahkan jumlah aduan buli siber pada tahun 2024 meningkat dengan banyaknya, iaitu sebanyak 8,339 berbanding tahun sebelumnya yang mencatatkan jumlah sebanyak 3,199. Jika dipuratakan, jumlah ini menunjukkan sebanyak 27 aduan dilaporkan pada setiap hari. Kajian lain menyokong situasi meresahkan ini, misalnya, tinjauan daripada Ipsos menyatakan 23% ibu bapa di Malaysia melaporkan bahawa anak-anak mereka pernah dibuli dalam dunia maya.
Jelaslah di sini, insiden buli siber bukanlah kejadian yang jarang berlaku. Gejala ini mengundang risiko yang berterusan, lebih-lebih lagi kepada golongan muda.
Kenapa buli siber itu berbahaya?
Menurut para pakar, buli siber boleh menjadi lebih berbahaya daripada buli biasa atau tradisional. Kenapa? Kerana:
- Tanpa nama: Pembuli boleh bersembunyi di sebalik nama pada layar, menyebabkan mereka berasa tiada kaitan dengan akibat buli tersebut
- Mudah tersebar: Gangguan dalam dunia digital boleh berlaku 24/7 walaupun berada di rumah, di tempat yang kita rasa selamat
- Skala dan tempoh kekal: Hantaran yang menyakitkan, gambar dan cerita palsu boleh tersebar luas dan berlarutan
- Kemudaratan psikologi: Lazimnya, mangsa mengalami depresi, kebimbangan dan rasa harga diri yang semakin menurun. Situasi ini boleh menjurus kepada tingkah laku bunuh diri
Di peringkat dunia, para penyelidik menzahirkan kebimbangan yang sama. Buli siber boleh mendorong kepada ancaman fizikal sekiranya berlarutan dan seterusnya menjejaskan iklim pembelajaran dan kesihatan emosi anak-anak di sekolah.
Usaha-usaha menangani
Di negara kita, usaha-usaha untuk menangani gejala ini telah dan sedang dilakukan. Antara inisiatifnya ialah:
- Perubahan peraturan: Malaysia mewajibkan platform media sosial yang mempunyai lebih lapan juta pengguna tempatan perlu memiliki lesen operasi. Usaha ini dilakukan untuk menjejak kandungan yang berbahaya termasuk buli siber
- Kebertanggungjawaban: SKMM telah meningkatkan pemantauan. Sebagai contoh, pada tahun 2024, platform media sosial diminta untuk mematuhi arahan bagi memadam kandungan tertentu
- Kesedaran dan laporan orang awam: Kempen kesedaran di kalangan orang awam membuahkan hasil di mana ramai rakyat Malaysia yang baik hati melaporkan insiden berkaitan dunia maya. Walau bagaimanapun, masih banyak lagi insiden yang belum dilaporkan. Mangsa lebih suka mendiamkan diri kerana berasa malu, takut dan tidak tahu saluran yang betul untuk meminta bantuan
Peranan netizen yang baik
Netizen yang bertanggungjawab malah bertimbang rasa memainkan watak yang penting dalam dunia siber. Disenaraikan di bawah langkah-langkah praktikal yang boleh dilakukan oleh rakyat Malaysia dan semua pengguna internet dalam membantu menangani buli siber:
- Empati dan kebaikan hati dalam interaksi: Sebelum membuat hantaran atau memberi komen, berhenti sekejap untuk berfikir – adakah ini akan menyakiti seseorang? Perlakukan orang lain atas talian sama seperti dalam dunia nyata. Kelakuan yang baik dan ringkas memberi impak apabila berada atas talian, contohnya, memberi sokongan kepada mangsa buli dan menolak untuk memanjangkan lagi hantaran yang menyakitkan
- Pemerhati yang aktif: Rata-rata saksi buli siber tidak tampil ke hadapan. Bersuara bila selamat atau melaporkan kepada pihak berkuasa boleh memberi kesan sebenarnya. Penyelidikan oleh para pakar menunjukkan campur tangan oleh rakan boleh mengurangkan tempoh dan tahap keterukan gangguan atas talian tersebut
- Literasi dan kesedaran digital: Sekolah, keluarga dan komuniti setempat harus berusaha untuk memupuk kelakuan digital yang selamat di kalangan anak-anak muda, misalnya, mengenal pasti bentuk gangguan, mengetahui bagaimana melindungi privasi dan menguruskan konflik secara aman. Menurut pakar, pembentukan literasi dan daya tahan emosi dalam diri anak-anak boleh membantu mereka menghadapi risiko-risiko atas talian
- Talian aduan yang efektif dan mematuhi undang-undang: Selalunya, platform atas talian menyediakan kemudahan untuk melaporkan kandungan yang tidak sesuai. Maka, netizen boleh menggunakannya. Pada masa yang sama, dalami peraturan siber seperti Akta Komunikasi dan Multimedia untuk mengenal pasti apa yang dilarang, selain daripada membuat aduan kepada pihak berkuasa apabila melihat kelakuan digital negatif
- Penglibatan orang awam berasaskan polisi: Tekanan orang awam dilihat dapat memastikan platform atas talian mengambil tindakan sewajarnya. Tamsilnya, penguatkuasaan pengesahan umur dan reka bentuk perisian yang dapat mengurangkan gangguan. Baru-baru ini, kerajaan telah mengarahkan TikTok dan platform-platform lain untuk menjalankan pengesahan umur yang lebih tegas dan pemantauan kandungan yang dikongsi oleh para pengguna
- Sokongan kepada mangsa buli: Memberi sokongan emosi dan mencadangkan mangsa buli untuk bertemu dengan kaunselor boleh membantu mereka. Oleh itu, institusi seperti sekolah dan universiti harus menyediakan sistem bantuan yang jelas dan konsisten
Kini dan masa depan
Daripada hari ke hari, teknologi semakin maju. Maka, buli siber boleh berlarutan kerana akses internet, penggunaan peranti mudah alih dan penglibatan media sosial sentiasa berkembang. Justeru, hala tuju yang komprehensif perlu dilaksanakan seperti kurikulum pendidikan holistik yang menampilkan kewarganegaraan digital bertanggungjawab, kerangka undang-undang yang lebih kukuh, kolaborasi daripada semua pihak dan penyelidikan tempatan untuk memantau trend dan menilai intervensi yang terbaik.
Netizen di mana-mana sahaja ada kuasa. Melalui rasa belas kasihan, pemerhatian aktif, ilmu pengetahuan dan tindakan yang bijak, warga net boleh mengarahkan kiblat dunia digital ke arah yang selamat, saling menghormati dan bermaruah tinggi. Seperti kata cendekiawan, moral dunia digital bukan terletak pada teknologi, tetapi pada manusia, pada penggunanya. Perlu diingat, di sebalik setiap layar digital ada seseorang. Maka, marilah kita bersama-sama memastikan dunia maya yang kita kongsi menjadi ruang menyokong untuk semua, bukan menyakiti sesama kita.
Dr Nor Nazrina Mohamad Nazry ialah Pensyarah Kanan di Jabatan Kurikulum & Teknologi Pengajaran, Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya dan boleh dihubungi di nazrina@um.edu.my.