UM bina komuniti lestari melalui program ‘Pahala Kompos’
Program Pahala Kompos yang berlangsung di Galeri Zero Waste Campaign Universiti Malaya (UM ZWC) hari ini berjaya memberi pendedahan kepada lebih 60 peserta, termasuk komuniti Petaling Jaya, mahasiswa Universiti Malaya, pembekal makanan sekitar Universiti Malaya serta delegasi dari Universitas Darunnajah Jakarta.




Program ini merupakan sebahagian daripada aktiviti kelestarian yang dikendalikan oleh pasukan penyelidik Universiti Malaya di bawah kelolaan UMCares yang bertajuk “Green Mosque Initiative: Pioneering Environmental Advocacy at Masjid Tun Abdul Aziz, Petaling Jaya” (MBPJ01-2025), sebuah usaha kolektif bersama pihak Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) melalui geran penyelidikan PJ Seed 6.0. Sejajar dengan hasrat MBPJ yang terangkum dalam pelan strategik Petaling Jaya Pintar, Mampan, dan Berdaya Tahan (PJSSR 2030), pasukan Penyelidik Universiti Malaya terpanggil untuk menggembleng tenaga bersama pemegang taruh yang lain khususnya komuniti Petaling Jaya dalam menjayakan gagasan ini yang mensasarkan bandar rendah karbon, ekonomi kitaran, bandar mesra kanak-kanak, bandar pembelajaran dan bandar yang mampan dari segi ekonomi.
Program ini telah mendapat sokongan padu daripada Jawatankuasa Masjid Tun Abdul Aziz, Petaling Jaya yang berusaha untuk meningkatkan kefahaman masyarakat mengenai amalan kompos sebagai pendekatan lestari dalam pengurusan sisa makanan, khususnya untuk meningkatkan kesedaran mengurangkan pembaziran makanan menjelang Ramadan 2026, khususnya dalam kalangan pembekal makanan dan pengusaha Bazar Ramadan.
Dr. Asmawati Muhamad, Ketua Penyelidik geran komuniti tersebut berkata usaha ini selari dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG 12); Penggunaan dan Pengeluaran Bertanggungjawab (Responsible Consumption and Production). Matlamat ini bertujuan untuk memastikan corak penggunaan serta pengeluaran yang mampan bagi mengurangkan sisa, meningkatkan kecekapan sumber, dan menggalakkan amalan lestari. “Masjid bukan hanya pusat ibadah, malah pusat ilmu dan pemangkin amalan kelestarian. Diharap pengurusan sisa secara sistematik khususnya pemprosesan sisa makanan menjadi baja kompos dapat dibudayakan serta diperluaskan ke masjid di seluruh negara,” katanya.
Program menampilkan sesi tausiyah Pahala Kompos oleh Prof. Dr. Sumiani Yusoff, Profesor Kehormat Institut Pengajian Termaju Universiti Malaya, yang menekankan bahawa penjagaan alam sekitar merupakan ibadah. Beliau menjelaskan bahawa sisa makanan menyumbang kepada pencemaran dan pelepasan gas metana, di mana setiap individu menghasilkan di antara 1.5 kilogram sehingga 2 kilogram sisa sehari, dengan sekurang-kurangnya 30 peratus boleh dijadikan bahan berguna. Beliau menggesa pengurangan pembaziran dan pengurusan sisa secara beretika, termasuk penghantaran sisa organik ke UM ZWC untuk dijadikan baja kompos. Beliau turut menekankan impak sisa bandar terhadap banjir kilat serta pencemaran tanah dan sungai.
Demonstrasi kompos disampaikan oleh Puan Mairuz Azlan, Pegawai Projek UM ZWC, yang menerangkan kaedah kompos di rumah, premis makanan, dan proses penghantaran sisa ke fasiliti UM ZWC. Peserta turut diberi peluang untuk meninjau tapak pemprosesan sisa bagi memahami proses praktikal pengurusan sisa makanan. Sementara itu, sesi taklimat tatacara pelupusan ayat al-Quran disampaikan oleh Ustaz Muhamad Nur Naqsyabandi bin Aziz, Pembantu Hal Ehwal Islam JAWI, yang memberikan panduan prosedur pelupusan mengikut syariah.
Di samping itu, Pelajar kursus Ilmu Wahyu, Program Sains Gunaan dengan Pengajian Islam, pada hari tersebut telah mengumpulkan 77 kilogram barangan kitar semula, yang dianggarkan dapat mengurangkan 259.5 kg CO₂. Jumlah ini setara dengan GHG yang dielakkan melalui 6.4 beg sisa, karbon yang diserap oleh 1.3 pokok berusia 10 tahun, atau tenaga untuk mengecas lebih 6,226 telefon pintar sehingga penuh.
Menurut penganjur, penyertaan pelbagai pihak termasuk delegasi Universitas Darunnajah Jakarta menunjukkan peningkatan kesedaran terhadap amalan kelestarian. Usaha seperti Pahala Kompos diyakini dapat memperkukuh kerjasama antara universiti, institusi agama, pembekal makanan dan masyarakat dalam memupuk budaya hijau secara berterusan. Pihak penganjur merakamkan penghargaan kepada UMSDC atas sokongan, fasiliti, dan ruang galeri UMZWC yang disediakan bagi menjayakan program ini.

Maklumat lanjut mengenai program boleh didapati melalui Dr Asmawati Muhamad, Pensyarah Kanan di Jabatan Fiqh-Usul dan Sains Gunaan, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya di asmawatimuhamad@um.edu.my