7 January 2026

Ikhlas bersama

Featured

Our night

Remembering a silver jubilee with gratitude and heart By Zuraini...

Meaningful angling

Reframing ESG as commercial opportunities for SMEs By Rozaimah Zainudin...

Pangkuannya

Kasih ibu madrasah pertama pembina tamadun manusia Oleh Muhammad Izzul...

Together

On creating a STEM blueprint for our future By Sarmila...

Memperkasa

Oleh Yazkhiruni Yahya Kecerdasan buatan sedang mengubah landskap kewangan global...

Share

Pelajar pergigian UM santuni golongan asnaf dan B40 di Taman Semarak, Nilai

Oleh Mohd Amirul Fahmi Che Mohd Fadzilah, Azwatee Ab Aziz dan Muhammad Husaini Ab Aziz

Penglibatan awal mahasiswa dalam program khidmat komuniti berimpak tinggi merupakan antara pendekatan strategik dalam melahirkan graduan pergigian yang holistik, berdaya saing dan berteraskan nilai kemanusiaan. Sejajar dengan aspirasi tersebut, Persatuan Pelajar Islam Pergigian Universiti Malaya (PPIPUM) telah terlibat secara aktif dalam Program Khatam Al-Quran & Khatan Jamaโ€™ie 2025 Negeri Sembilan, yang berlangsung di Masjid Al-Azim, Taman Semarak, Nilai pada 20 Disember 2025 lalu. Program ini dianjurkan oleh Persatuan Amal Bakti N9 dengan kerjasama Masjid Al-Azim Taman Semarak 2, PERKIM cawangan Nilai, JMB Taman Semarak 2 serta pasukan Sunathon University of Cyberjaya, sekali gus mencerminkan kolaborasi merentas institusi pada peringkat kebangsaan. Program ini merupakan inisiatif khidmat komuniti bertaraf kebangsaan yang menggabungkan elemen kerohanian, kesihatan dan pembangunan mahasiswa, selaras dengan aspirasi Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam melahirkan graduan holistik dan berjiwa rakyat.

Melalui program ini, pelajar pergigian Islam Universiti Malaya berperanan secara langsung dalam menyantuni golongan asnaf dan komuniti B40, khususnya memberikan pendidikan kesihatan mulut bagi meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan penjagaan kesihatan mulut, pencegahan penyakit gigi dan gusi, serta amalan kebersihan mulut yang betul. Penglibatan pelajar dalam program ini turut membentuk kemahiran komunikasi, empati, kepimpinan, kerja berpasukan dan profesionalisme, yang merupakan elemen penting dalam pembangunan graduan pergigian berkualiti. Lebih signifikan, penglibatan ini menyemai nilai ihsan, tanggungjawab sosial dan kesukarelawanan.

Di samping itu, melalui inisiatif Outpost Dentist for Community Service (ODOCS) di bawah Jabatan Restoratif, Fakulti Pergigian Universiti Malaya, perkhidmatan rawatan pergigian percuma daripada pensyarah pergigian UM (AP Dr Azwatee, Dr Amirul Fahmi dan Dr Husaini) telah disediakan kepada komuniti setempat menggunakan bas klinik pergigian bergerak UM. Seramai 40 orang pesakit daripada golongan asnaf dan B40 telah menerima rawatan termasuk cabutan gigi, penskaleran dan tampalan. Bas Klinik Pergigian Bergerak Universiti Malaya merupakan hasil sumbangan bersama daripada Wakaf Selangor, Association of Islamic Banking and Financial Institution Malaysia (AIBIM), Bank Muamalat, Yayasan Wakaf serta Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) atas usaha mantan dekan Fakulti Pergigian Universiti Malaya, Profesor Dr. Zamri Radzi.

Program ini turut mencatat penyertaan komuniti yang memberangsangkan dengan kehadiran hampir 200 orang, melibatkan pelbagai aktiviti kemasyarakatan dan kebajikan. Antaranya termasuk khatan jamaโ€™ie melibatkan 50 orang kanak-kanak golongan asnaf, program khatam Al-Quran yang disertai remaja golongan asnaf dan orang dewasa daripada komuniti B40, pemeriksaan kesihatan, pendidikan kesihatan pergigian serta rawatan klinikal.

โ€œKami amat bersyukur dan gembira melihat sambutan yang sangat baik daripada komuniti. Kehadiran hampir 200 orang menunjukkan program seperti ini amat diperlukan dan dihargai oleh masyarakat,โ€ ujar Haji Md Fakaruddin bin Ab Rahman Pengerusi Masjid Al-Azim.

Naib Pengerusi PERKIM cawangan Nilai dan juga setiausaha program, Jamsari bin Mohamad yang lebih mesra sebagai Tok Jay turut meluahkan rasa sebak dengan kejayaan penganjuran program tersebut.

โ€œSaya benar-benar terharu melihat kesungguhan semua pihak yang sanggup turun padang membantu masyarakat. Program seperti ini memberi impak besar kepada komuniti,โ€ ujarnya.

Sementara itu, Puan Kalsom bte Abu Bakar, Pengerusi Persatuan Amal Bakti N9, merakamkan penghargaan khususnya terhadap komitmen pelajar pergigian Universiti Malaya dan berharap kerjasama ini dapat diteruskan.

Penglibatan pelajar pergigian dalam program ini dipantau dan mendapat bimbingan oleh Dr Mohd Amirul Fahmi Che Mohd Fadzilah, selaku mentor pelajar pergigian. Secara keseluruhannya, penglibatan seramai 23 orang pelajar pergigian Islam Universiti Malaya dalam program ini bukan sahaja memberi manfaat langsung kepada golongan asnaf dan B40, malah memperkukuh kemahiran klinikal, komunikasi, empati dan profesionalisme pelajar melalui pendekatan pembelajaran.


Dr Mohd Amirul Fahmi Che Mohd Fadzilah, Profesor Madya Dr Azwatee Ab Aziz dan Dr Muhammad Husaini bin Ab Aziz merupakan pensyarah di Fakulti Pergigian, Universiti Malaya dan boleh dihubungi melalui e-mel di amirulfahmi@um.edu.my

Previous article
Next article