4 December 2024

Iklim organisasi yang sihat tingkat kesihatan mental di tempat kerja

Featured

Beyond the blessing

By Dr Cherish How As the Year of the Dragon...

Elak terperangkap dengan cinta ekspres

Oleh: Dr. Norsafatul Aznin binti A. Razak Dalam era moden...

Memperkasa mereka

Kesihatan mental remaja adalah salah satu aspek yang penting...

Algorithms of abuse

By Dr. Haezreena Begum Abdul Hamid Human trafficking is the...

Getting them on

By Ts Elman Mustafa El Bakri As 2024 draws to...

Share

Oleh: Prof. Madya Dr. Azmawaty Mohamad Nor, Prof. Madya Dr. Ahmad Zabidi Abdul Razak

Di dalam sesebuah organisasi, pelbagai faktor boleh memberikan kesan kepada iklim organisasi tersebut. Persekitaran kerja yang baik dapat memberikan kesan yang positif kepada kesihatan mental pekerja. Manakala persekitaran kerja yang negatif seperti dikriminasi dan ketidaksamaan, beban kerja yang berlebihan, kawalan pekerjaan yang rendah dan ketidakamanan pekerjaan boleh menimbulkan risiko kepada kesihatan mental.

Dapatan dari Pertubuhan kesihatan Dunia pada tahun 2019 telah mendapati bahawa 15% daripada pekerja dianggarkan mengalami gangguan mental. Di seluruh dunia, dianggarkan sebanyak 12 bilion kehilangan hari bekerja direkodkan setiap tahun akibat kemurungan dan kebimbangan dengan kos kehilangan produktiviti sebanyak AS$ 1 trilion setahun. Walau bagaimanapun, beberapa tindakan yang dilihat berkesan dapat membantu mencegah dan selanjutnya mengurangkan risiko kesihatan mental di tempat kerja, menggalakkan keperluan mencari bantuan bagi menangani isu kesihatan mental di tempat kerja, serta menyokong pekerja yang mengalami masalah kesihatan mental.

Di antara perkara yang dilihat penting dalam menyediakan iklim organisasi yang positif adalah kolegialiti yang bermaksud interaksi kerjasama antara rakan sekerja. Ini bermaksud cara sekumpulan rakan sekerja mengambil tanggungjawab kolektif untuk kerja mereka bersama-sama dengan penyeliaan minimum dari pihak atasan. Jadi bagaimana interaksi kerjasama antara rakan sekerja ini dapat dihasilkan?

Ia boleh dilaksanakan dengan memberi fokus kepada Esprit de corps iaitu kerjasama antara pekerja dan pengurusan, semangat bersama yang wujud dalam ahli kumpulan dan membangkitkan semangat, kesungguhan dan keikhlasan bekerja serta mementingkan kehormatan kumpulan.

Perkara kedua adalah pengecualian kepada rutin (Exception to Routine). Ianya bermakna keadaan atau situasi yang berbeza daripada rutin, amalan, prosedur dan protokol harian yang dijalankan. Sebagai contoh, sessebuah organisasi yang mewujudkan satu projek khas boleh beralih dari rutin biasa dan memberikan inisiatif berkeutamaan tinggi yang memerlukan sumber atau kaedah yang berbeza. Contoh lain boleh dilihat dari aspek inovasi dan perubahan di mana organisasi mungkin memperkenalkan alat, teknologi atau proses baharu yang memerlukan pekerja menyesuaikan rutin mereka buat sementara waktu. Ianya boleh digunapakai dalam pelaksaan maklum balas di mana perubahan atau pengecualian kepada rutin boleh membantu dalam meningkatkan kecekapan atau kepuasan. Menguruskan pengecualian kepada rutin secara berkesan boleh menjadi penting untuk pengekalan produktiviti dan semangat. Adalah penting bagi organisasi untuk menyesuaikan diri dan responsif terhadap pengecualian kepada rutin dan satu garis panduan yang jelas tentang cara mengendalikannya perlu diwujudkan.

Selain itu, mewujudkan satu iklim organisasi yang positif dan luar biasa (extraordinary) dari sudut kepimpinan juga amat penting. Kepimpinan yang baik dan luar biasa melibatkan seorang pemimpin bukan sekadar fokus terhadap misi dan visi organisasi tetapi mempunyai sifat empati tinggi dan memahami keperluan pekerja dalam mendapatkan latihan, keperluan kenaikan pangkat dan perkara yang boleh memastikan urusan pekerja berjalan lancar. Dari sudut seorang pekerja, luar biasa di sini bermaksud mereka yang mempunyai motivasi diri tanpa pengaruh luar. Pekerja sebegini menunjukkan minat terhadap pekerjaan mereka, bermotivasi tinggi, mengambil berat tentang kejayaan organisasi, komited, dan berusaha keras untuk menitipkan kejayaan untuk diri dan juga organisasi. Iklim organisasi yang menyokong boleh membuatkan para pekerja berasa dihargai, dipercayai dan berasa selamat.

Persekitaran kerja yang sihat boleh dizahirkan sekiranya organisasi turut mempromosikan perasaan keseronokan bekerja (excitement). Ini adalah elemen yang paling penting dalam memastikan wujud sikap positif dalam kalangan pekerja, pihak pemimpin organisasi serta berani untuk bersuara sekiranya wujud satu keadaan yang tidak selesa atau isu dengan penyelia atau ketua di organisasi. Keseronokan bekerja ini boleh diterapkan sekiranya terdapat pengiktirafan dan penghargaan daripada kepimpinan organisasi.

Justeru itu, adalah penting bagi setiap organisasi untuk memastikan terdapat iklim organisasi yang sihat seperti interaksi yang baik dalam kalangan pekerja dan pemimpin, melaksanakan pengecualian kepada rutin bagi penambahbaikan kepada sistem kerja, mewujudkan kerjasama baik yang luar biasa bagi memastikan wujud perasaan selamat dan yang juga keseronokan bekerja. Ini bagi memastikan iklim organisasi yang diwujudkan ini memberikan kesan positif kepada para pekerja dan pemimpin.


Dr Azmawaty adalah Timbalan Dekan Ijazah Dasar, Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya dan Anggota Lembaga Kaunselor Malaysia; manakala Dr Ahmad Zabidi adalah Dekan, Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya.